Semangat niaga Aceh dibawa ke Malaysia

MINGGU lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif mengenai warga Aceh di negara ini dipercayai menguasai sektor peruncitan dan perkhidmatan, dengan sebahagian besarnya bertumpu di sekitar Lembah Klang.

Selain Lembah Klang, operasi warga Aceh turut melebar ke kawasan lain, antaranya Bandar Raya Ipoh, tempat saya pernah bertugas.

Dalam sektor peruncitan, ramai antara mereka membuka kedai runcit. Kecuali pasar mini dimiliki keturunan Tionghua, kedai milik warga Aceh jika diperhatikan lebih lengkap jualannya, termasuk membabitkan barangan basah, berbanding kebanyakan kedai runcit diusahakan orang Melayu, mahupun India.

Pernah terdetik persoalan dalam hati mengenai kemampuan peniaga keturunan Aceh khususnya soal dana atau modal yang mereka peroleh bagi membuka perniagaan itu, sedangkan ramai juga orang Melayu tempatan berhempas pulas menyediakan modal untuk membuka perniagaan sama.

Bagi yang sudah memiliki perniagaan pula, mereka terpaksa berhempas pulas mempertahankannya, termasuk disebabkan faktor modal pusingan yang semakin mengecil.

Dalam kalangan komuniti peniaga runcit tempatan atau persatuan yang mewakili mereka, isu peniaga warga Aceh sudah lama diperkatakan. Bagaimanapun, ia tidak menjadi buah mulut kebanyakan rakyat kita yang lain, sehingga muka depan BH menyiarkan laporan mengenai aktiviti warga Aceh itu.

Peniaga Aceh jadi pesaing

Bagi komuniti peniaga runcit tempatan, peniaga Aceh menjadi pesaing dan menjejaskan periuk nasi mereka. Kebimbangan itu ada kewajarannya jika dilihat kepada kemampuan kedai runcit atau pasar raya mini dimiliki warga Aceh yang rata-rata lebih lengkap.

Kebetulan ketika isu ini hangat diperkatakan, seorang kenalan lama ada menghubungi saya untuk bertanyakan khabar beberapa hari lalu, lantas saya terus bertanyakan isu mengenai peniaga warga Aceh ini kerana beliau juga bekas pegawai Jabatan Imigresen sebelum bersara.

Kenalan itu memaklumkan, beliau sendiri atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pernah ke Banda Aceh selepas kejadian tsunami besar pada 2004. Tujuannya mahu membawa anak warga Aceh di sana untuk ditempatkan di rumah anak yatim atau sekolah tahfiz tertentu di Malaysia, dalam usaha membantu mereka yang kehilangan ibu bapa akibat bencana dahsyat itu.

Ketika itu, pihaknya turut mahu membantu golongan dewasa, terutama wanita untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Malaysia, namun kenalan saya itu memaklumkan kebanyakan warga Aceh lebih berminat untuk berniaga.

Penjelasan dan perkongsian pengalaman bekas pegawai Imigresen itu sedikit sebanyak menjawab persoalan dalam minda saya, mengapa warga Aceh mampu membuka kedai runcit atau pasar mini sedemikian rupa.

Mengambil kira perkara itu ditambah pendedahan BH bahawa perniagaan Aceh di negara ini dipercayai dilindungi warga tempatan yang membenarkan nama mereka digunakan dalam lesen, dana kewangan komuniti Aceh kukuh susulan pelancaran tabung bencana mangsa tragedi tsunami pada 2004.

Selain itu, sebahagian besar warga Aceh yang berniaga dikatakan memiliki kad pengenalan Malaysia, maka tidak hairan komuniti berkenaan mampu menguasai sektor peruncitan dan perkhidmatan dengan sebahagian besarnya bertumpu di sekitar Lembah Klang.

Carian saya berhubung isu peniaga asing di negara ini menemui satu artikel pernah disiarkan BH dua tahun lalu. Ia melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyenaraikan 23 jenis aktiviti perniagaan yang dilarang dikendalikan syarikat dan warga asing, dalam usaha mengurangkan kesan kebanjiran tidak terkawal golongan itu dalam sektor peruncitan dan perdagangan sekitar ibu negara.

Beri perhatian isu lain

Antara aktiviti berkenaan ialah penjaja atau peniaga kecil, pasar raya atau pasar mini (kurang 3,000 meter persegi), kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam, kedai gunting rambut, stesen minyak (dengan atau tanpa kedai runcit), pasar basah kekal, kedai kali lima kekal, kiosk tekstil, pakaian dan kasut (kecuali jenama antarabangsa atau eksklusif), perniagaan beg (kecuali jenama antarabangsa atau eksklusif) serta perniagaan perabot kayu jati dan perabot am.

Senarai itu terkandung dalam garis panduan khusus untuk mempertimbangkan permohonan lesen premis perniagaan oleh peniaga atau syarikat asing yang disediakan pada ketika itu. Namun, dari segi status pelaksanaannya tidak dapat dipastikan.

Satu perkara yang perlu difikirkan dalam soal penguasaan warga Aceh ini. Selain persaingan dengan peniaga tempatan, beberapa isu lain turut perlu diberi perhatian adalah isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan, keselamatan, malah aliran keluar wang negara.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

Sumber : Berita Harian

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply