SEMANGAT RAKYAT IRAN TIDAK GOYAH

Ketepikan soal perbezaan mazhab.

Lihatlah semangat rakyat Iran yang tidak luntur walaupun ditekan hebat oleh kuasa-kuasa besar, terutamanya Amerika Syarikat.

Sejarah hubungan tegang Iran-Amerika Syarikat telah lama bermula. Negara-negara Barat mula bermusuh dengan Iran apabila Iran tidak memenuhi permintaan Tentera Bersekutu untuk menghalau pasukan teknikal Jerman selepas Perang Dunia II. Iran menjadi pembekal minyak utama kepada Tentera Bersekutu. Perang Dunia II menunjukkan permusuhan yang ketara antara Tentera Bersekutu dan Tentera Berikat. Jerman berada dalam kelompok Tentera Berikat.

Akibatnya, Tentera Bersekutu menjatuhkan Shah Reza. Beliau digantikan dengan anaknya Shah Mohamad Reza.

Pada tahun 1950, Perdana Menteri Iran, Mohamad Mossadeq membuat keputusan menasionalisasikan telaga minyak. Akibatnya, kapitalis dari negara-negara Barat mula bertindak balas untuk menyingkirkan Mossadeg.

Pasukan perisikan Amerika Syarikat dan Britain mengambil tindakan untuk menggulingkan Mossadeg dan menabalkan semula Mohamad Shah Reza sebagai pemimpin Iran. Ketika itu, Mohamad Shah Reza berlindung di Amerika Syarikat setelah kedudukannya terancam dan dibenci oleh rakyat Iran. Sebagai pemerintahan boneka, Mohamad Shah Reza bertindak kejam ke atas rakyatnya, terutama mereka yang menentang penguasaan telaga minyak oleh syarikat-syarikat multinasional  dari Britain.

Mosadeg kemudiannya berjaya disingkirkan dan dikenakan ‘tahanan di rumah’. Mohamad Shah Reza kembali berkuasa pada tahun 1967. Telaga minyak Iran dibahagi-bahagikan antara beberapa syarikat multinasional Britain dan Amerika Syarikat. Pemerintahan Shah Reza dibayangi oleh kehendak Amerika Syarikat.

Mohamad Shah Reza kemudiannya disingkirkan dalam Revolusi Iran pada tahun 1979. Beliau merupakan pemerintah kedua dan terakhir dinasti Pahlavi. Pada 27 Julai 1980. Shah Reza meninggal dunia dalam pengasingan di Kaherah, Mesir.

Selepas Revolusi Iran, hubungan dengan Amerika Syarikat kembali tegang. Kisah penyanderaan kakitangan kedutaan Amerika Syarikat di Iran telah menyebabkan tekanan menjadi lebih besar dan Amerika Syarikat kemudiannya memutuskan hubungan diplomatik.

Pada tahun yang sama, Iran dan Irak berperang. Ia berpunca daripada pencerobohan tentera Iraq di kawasan sempadan Iran, dan berlanjutan sehingga Ogos 1988.

Tahun 1991 berlaku Perang Teluk atas dakwaan Kuwait. Irak telah menceroboh telaga minyak Kuwait. Kuwait mendapat bantuan Amerika Syarikat dan pasukan tentera NATO. Dalam perang tersebut, Amerika Syarikat menjadikan Arab Saudi sebagai pengkalan tentara untuk menyerang Irak. Akhir Januari 1991, tentera Irak dipaksa keluar dari Kuwait dan memberikan kemenangan kepada Tentera Bersekutu.

trump dilemma

Selepas Amerika Syarikat dikuasai semula oleh Republikan menerusi kemenangan George Walker Bush (Bush Jr), percaturan geopolitik di Timur Tengah menjadi semakin giat dilakukan dan sebahagiannya adalah ‘dendam’ kekalahan Georger Herbert Bush (Bush Sr) mempertahankan jawatan presiden untuk penggal kedua akibat skandal Iran Contra.

Skandal tersebut mula dikesan berlaku pada bulan Oktober 1980.Semasa kempen perebutan presiden antara Ronald Reagan dan Jimmy Carter, Bush Sr ketika itu adalah pengarah Agensi Perisikan Amerika Syarikat. Bush Sr menggunakan krisis tebusan di Teheran sebagai helah kempen untuk melumpuhkan sokongan terhadap Jimmy Carter, yang berusaha memimpin Amerika Syarikat bagi penggal kedua.

Skandal tersebut akhirnya mempengaruhi keputusan pemilihan presiden dan Ronald Reagan dimasyhurkan sebagai Presiden Amerika Syarikat. Kemenangan itu disambut dengan penuh gembira kerana pada hari menangkat sumpah, 20 Januari 1981, kesemua 52 orang tebusan di Teheran kembali ke Amerika Syarikat. Konspirasi itu kemudiannya cuba ditutup dan bukti-buktinya cuba dihapuskan oleh Bush Sr. Salah satu bukti ialah menghapuskan jejak-jejak kehadiran Bush Sr di Paris dalam misi rahsia itu.Dengan menaiki jet supersonic SR71-Blackbird, Bush Sr boleh tiba dalam tempoh dua jam dari Paris.

Sebaik sahaja tiba, Bush Sr terus berkempen membantu Ronald Reagan. Bagaimanapun rahsia itu terbongkar dan berjaya mengetepikan dakwaan bahawa juruterbang SR71-Blackbird, Gunther Rushbacher memang dilatih untuk pesawat tersebut, bukannya seorang juruterbang tidak mahir.

Kes tersebut kemudiannya ditutup pada tahun 1991. Dua tahun kemudian (1993), Lee Hamilton memulakan siasatan semula. Akhirnya, pembabitan Bush dan Reagan dilihat sebagai kes jenayah. Siasatan itu turut membuka rahsia bahawa pada tahun 1984, William Buckley, agen CIA yang bertindak sebagai kontraktor di Timur Tengah diculik oleh Hezzbollah di Lebanon. Buckley mati ditembak tetapi beberapa orang lagi masih berada dalam tawanan Hezbollah, termasuk warganegara Britain yang bekerja untuk CIA.

Majlis Keselamatan Negara (NSC) Amerika Syarikat berusaha mendapat kerjasama Iran. Iran bersetuju sekiranya Amerika Syarikat bersedia untuk membekalkan senjata termasuklah peluru berpandu penangkis pesawat Hawk. Leftenan Kolonel Oliver North diberikan tanggungjawab tersebut dan senjata-senjata yang dipersetujui itu diseludup ke Iran melalui Israel. Sejak kejayaan Revolusi Iran, Amerika Syarikat menyekat penjualan senjata kepada Iran. Adnan Khasoogi dikatakan memperoleh komisyen daripada transaksi berkenaan. Kes itu kemudiannya dinamakan Iranian Gate. Reagan dipersalahkan dan Bush Sr sebaik sahaja dipilih menjadi Presiden (1988-1992), memutuskan penyiasatan kes tersebut ditutup.

Untuk kempen penggal kedua, Bush Sr terus dibelenggu dengan skandal berkenaan walaupun dalam penggal pertama, rakyat Amerika Syarikat melupakannya kerana meletusnya Perang Teluk I.  Ketika mengimpikan pencalonan semula (1992), Bush Sr akhirnya terpaksa menerima kenyataan dan menggunakan hari-hari terakhirnya mengampunkan pelaku-pelaku yang terbabit dalam Iran Contra, termasuk Casper Weinberger dan rakan-rakanya. Bill Clinton akhirnya berjaya dan diangkat sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-41 selama dua penggal (1993-1996 dan 1997-2000).

Bush Jr mengambil alih jawatan presiden Amerika Syarikat ke-42 pada tahun 2000. Bulan September 2001, meletus satu tragedi yang kemudiannya menjadi asas untuk melibatkan diri dalam peperangan di Timur Tengah dan Afrika Utara. Bush Jr meletakkan Iran dan Irak sebagai ‘paksi kejahatan’ dan seterusnya menggubal satu akta yang membolehkan Amerika Syarikat menyerang mana-mana kawasan atas nama ‘memerangi keganasan’. Tahun 2003, Bush mengerahkan tentera untuk ‘membunuh Saddam Hussein’ dengan hanya berlandaskan maklumat risikan Israel bahawa Irak menyimpan senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Amerika Syarikat seterusnya memasuki Afghanistan untuk menjejaki Osama Benladen yang dikatakan mempunyai kaitan dengan serangan ke atas World Trade Center (WTC) dan bangunan Pentagon menggunakan pesawat komersial. Teori serangan ke atas WTC masih belum dapat dibuktikan, tetapi dakwaan Irak menyimpan WMD dengan jelasnya terbukti salah. Ia adalah alasan Bush Jr untuk menguasai telaga minyak Irak. Irak kini hancur dan dikuasai oleh Amerika Syarikat.

Apabila Mejar Jeneral Qassem Soleimani dibunuh kejam menggunakan dron dalam perjalanannya ke Lapangan Terbang Baghdad, Iran melihat tragedi itu sebagai permulaan perang membabitkan Amerika Syarikat. Sebelumnya, pada era Barrack H Obama, Iran didakwa telah melakukan pengayaan uranium dengan bantuan teknologi Rusia bagi mengeluarkan senjata canggih. Akibatnya, Iran dikenakan sekatan ekonomi dan minyak hanya boleh dijual atas alasan kemanusiaan, membeli makanan.

Iran berjaya membina semula kekuatan negaranya menerusi pendekatan pendidikan. Iran berjaya menghasilkan ribuan tenaga pakar dalam pelbagai bidang, dan kini, walaupun dikenakan sekatan ekonomi, Iran telah muncul sebagai sebuah negara yang serba serbinya lengkap. Sebab itulah, apabila Qassem Soleimani diiringi untuk dikebumikan, terdengar teriakan daripada orang awam. Mereka seolah-olah bersepakat meletakkan harga kepala Donald Trump sebanyak $80 juta dolar. Ia berdasarkan, setiap rakyat Iran menyumbangkan satu dolar, jumlah tersebut tidak perlu dikeluarkan oleh kerajaan.

Qassem Soleimani (11 Mac 1957 – 3 Januari 2020) adalah orang kepercayaan pemimpin Revolusi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Beliau adalah perancang dan penggerak utama tentera elit Iran untuk membantu Iran meningkatkan kekuatan ketenteraan. Dan, sebelum mati dibunuh kejam, Qassem Soleimani adalah pemimpin yang merancang dan melaksanakan tindakan untuk menghapuskan kumpulan militan yang amat ditakuti sekarang, iaitu ISIL atau DAESH.

qassem

Sejak beliau begitu aktif menyerang kawasan-kawasan yang ditawan oleh DAESH, melangkaui Iran, Syria dan Libya, Amerika Syarikat merasa bersalah kerana negara itu turut terbabit membantu DAESH untuk menjadikan rantau Timur Tengah terus bergolak. Iran turut memberikan kerjasama kepada pemimpin Syria, Bashar al-Assad untuk menyerang kumpulan pemberontak yang mendapat bantuan senjata dan kewangan dari Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat mengharapkan Bashar al-Assad disingkirkan, tetapi sejak pemberontakan berlaku selepas Arab Spring, Bashar masih mampu bertahan walaupun sebahagian rakyatnya menjadi pelarian di beberapa buah negara sempadan.

Setelah Saddam Hussein berjaya dibunuh (30 Disember 2006), Amerika Syarikat turut membabitkan diri untuk membunuh Muammar Gadafi dengan menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada pemberontak. Muammar Gadafi akhirnya berjaya dibunuh (20 Oktober 2011) oleh tentera Amerika Syarikat dengan bantuan rakyat Libya sendiri menerusi penyaluran maklumat di mana pemimpin dari suku Badui itu bersembunyi.

Saddam dianggap sebagai musuh utama Israel kerana mempunyai kekuatan tentera darat yang besar. Muammad Gadafi dilabelkan sebagai ‘pemimpin gila’ kerana sentiasa bertekad untuk melawan hegemoni Amerika Syarikat ke atas geopolitik dunia dan melindungi Israel. Simpati Irak dan Libya ke atas masyarakat Palestin adalah tinggi, dan kerana itulah kedua-dua pemimpin tersebut perlu dihapuskan dengan apa cara sekalipun. Saddam dihapuskan dengan alasan menyimpan WMD manakala Gadafi, secara tidak langsung menghasut rakyatnya agar bangkit menentang sistem pemerintahan diktator.

Alasan yang sama digunakan oleh propaganda untuk menggambarkan watak Bashar al-Assad. Setelah hampir sepuluh tahun Bashar gagal dibunuh, Amerika Syarikat melihat semula kepada Iran kerana Iran sebenarnya telah bermusuh dengan Arab Saudi atas alasan pertembungan mazhab, Syiah dan Wahabi. Iran adalah sebuah negara Islam yang maju, dan jika tidak dilakukan sesuatu tindakan akan menjadi ancaman besar kepada Israel.

Inilah sebenarnya yang dibimbangkan oleh Amerika Syarikat. Namun Iran tidak gentar dengan ancaman Donald Trump, Amerika Syarikat akan menyerang Iran dengan lebih dahsyat lagi sekiranya Iran bertindak balas menyerang pengkalan-pengkalan tenteranya di Irak dan di Timur Tengah. Meskipun Iran tidak mempunyai kelengkapan senjata yang lebih banyak, tidak bererti Iran takut dengan ancaman Amerika Syarikat.

Pada 7 Januari 2020, Iran sudah mula menyerang pengkalan tentera Amerika Syarikat di Irak. Perseteruan dan konflik dengan Iran telah berlangsung beberapa bulan sebelumnya, di mana tuduh menuduh berlaku. Iran menghalang kapal tangki dan dagang Amerika Syarikat yang memasuki Selat Hormuz, satu-satunya jalan laut yang menghubungkan Irak dan jalan mengangkut minyak ke Amerika Syarikat sebelum belayar ke Laut Arab dan seterusnya ke Terusan Suez.

Donald Trump memberi amaran akan menyerang 52 kawasan termasuk pusat kebudayaan Iran sekiranya negara itu bertindak balas manakala Irak sudah membuat keputusan agar tentera Amerika Syarikat segera keluar daripada negaranya,

Usaha Trump melakukan pembunuhan ke atas Qassem Soleimani, kerana Soleimani dikatakan terbabit membunuh askar Amerika Syarikat ketika Perang Irak.

mq-9-reaper_003

Dron yang digunakan untuk membunuh itu dikatakan dilancarkan dari pengkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar dan harga sebuah dron MQ-9 Reaper ialah $16 juta dolar. Jun 2019, tentera Iran berjaya menembak jatuh sebuah dron pengintip Amerika Syarikat Global Hawk yang berharga $176 juta dolar.

MQ-9 Reaper mampu membawa 4 buah peluru berpandu Hellfire H9X ‘Ninja dan boleh mencapai kelajuan hampir 500 kilometer sejam dan melakukan perjalanan sejauh 1,150 kilometer serta terbang setinggi 50,000 kaki dari aras laut.

Apa yang dibimbangkan, tindak balas Iran boleh mengundang peperangan yang lebih besar, dan ada yang meramalkan bakal memulakan bibit Perang Dunia III. Ada juga yang percaya, Perang Dunia III tidak akan berlaku dalam masa terdekat dan disebabkan oleh tindak balas Iran. Iran sebenarnya berusaha meruntuhkan tembok hegemoni Amerika Syarikat, yang selama ini dianggap ‘pengawal keselamatan’ dunia.

Dalam hal ini, Iran tidak akan bersendirian. Rusia, China dan Turki mungkin akan bersama selain Syria kerana negara-negara tersebut mempunyai rasa marah kepada keputusan Donald Trump, termasuklah memulakan perang perdagangan dengan China.

Global Hawk

Apa pun keputusan yang bakal berlaku selanjutnya, Amerika Syarikat terpaksa menerima hakikat bahawa kehadiran tenteranya di Timur Tengah bukan atas semangat mempertahankan negara, tetapi atas kepentingan kapitalis dalam industri minyak dan gas. Berbeza dengan semangat 80 juta rakyat Iran, mereka sanggup berperang demi mempertahankan kedaulatan negara dan memulakan peradaban yang lebih besar untuk Islam walaupun sebahagian negara Islam menolaknya atas perbezaan mazhab.

Pembabitan Amerika Syarikat di Vietnam (1965-1974)  atas kebimbangannya terhadap ideologi komunis (Teori Domino) manakala pembabitannya di Irak (2003) untuk menghapus senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan perangnya dengan Iran atas ego Donald Trump dengan harapan, keberaniannya itu mampu memenangi Pilihan Raya Presiden akhir tahun ini dan mengalihkan isu bahawa dirinya bakal dipecat atas dakwaan salahguna kuasa untuk kepentingan peribadi dan politik.

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply