“Semburit”: Kenapa Malu Menyebutnya?

Mungkin istilah semburit bunyinya negatif bagi sesetengah orang untuk menyebutnya.

Semburit juga mungkin merupakan istilah popular yang boleh menjadi istilah pecah panggung dalam tempoh sebulan dua ini.

Istilah tersebut bukanlah istilah baharu yang muncul selepas tersebarnya video lucah membabitkan ahli politik.

Video lucah berkenaan dilaporkan dirakam pada 11 Mei 2019 di sebuah hotel empat bintang yang terletak di tepi laut di sebuah pekan bernama Sandakan. Ketika itu berlangsungnya kempen PRK Sandakan, yang akhirnya calon DAP berjaya mengekalkan kerusi tersebut.

Seorang pakar falsafah bahasa Melayu dan juga penasihat Persatuan Linguistik Malaysia keberatan dengan cadangan agar istilah berkenaan dibuang daripada entri Kamus Dewan. Bagi Datuk Dr Awang Sariyan, semburit adalah istilah terbitan daripada kata asal, iaitu ‘buritan’. Buritan bermaksud bahagian belakang kapal atau perahu.

Semburit mempunyai padanan dengan perkataan Inggeris, sodomy. Semburit membawa maksud pelakukan seks antara lelaki. Pelakuan seks antara lelaki turut diistilahkan ‘perjantanan’.

Istilah semburit telah lama berada dalam kamus. Misalnya, Kamus Dewan (Edisi Ketiga, cetakan ketiga 1997) di halaman 1232 manakala dalam Edisi Keempat (cetakan 2007) berada di halaman 1438. Istilah ini sudah begitu lama berada dalam perkamusan Melayu, bahkan dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, edisi ekonomi (cetakan 2002) turut dimasukkan sebagai satu daripada hampir satu juta patah perkataan Melayu yang disusun oleh Haji Zainal Abidin Safarwan. Edisi awal kamus ini diterbitkan pada tahun 1995.

Dalam tiga kamus tersebut (dua edisi Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan) tidak ada keterangan bahawa istilah semburit itu merupakan istilah asing. Saya tetap beranggapan dan yakin, istilah itu sebenarnya merupakan istilah Melayu, maka tidak ada sebab perkataan semburit perlu dibuang daripada mana-mana entri perkamusan Melayu.

Atas alasan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak wajar membuangnya dalam edisi yang akan diperbaharui bagi Kamus Dewan, begitu juga dengan Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan. Kekalkan istilah tersebut kerana ia adalah satu tanda yang jelas, jika semburit ‘malu’ untuk disebut, maka pelakuan sedemikian sepatutnya dijauhi oleh semua orang Melayu.

Seperti orang Melayu sedia maklum, hubungan sesama jantina tetap menjadi pelakuan yang terkutuk dan tidak bermoral. Pelakuan itu melanggar fitrah manusia, bahkan Islam sebagai agama keseluruhan orang Melayu Malaysia, mengutukinya.

Pada tahun 1998, kes semburit turut mengecohkan politik Malaysia. Semasa kes tersebut dibicarakan di mahkamah, tidak ada media yang menamakan seks luar tabi’e atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sodomy itu dengan istilah semburit. Maka, kes berkenaan yang berlanjutan sekian lama, tidak mempopularkan istilah semburit, yang popular ialah liwat dan seks luar tabi’e. Istilah tersebut menjadi popular ketika umat Islam di Malaysia sedang riuh-rendah meraikan Aidilfitri 1440 Hijrah.

Video lucah itu laporkan tersebar pada pagi sehari sebelum Aidilfitri. Sebelah petang, muncul seseorang mengakui sebagai salah seorang ‘lelaki dalam video’ berkenaan. Setelah membaca berita itu, saya kembali terkenangkan istilah semburit, kerana sebelumnya saya pernah membaca sebuah buku politik mengenai Islam yang ditulis oleh seorang sarjana asing. Gordons P Means yang mengulas dan menganalisis politik Islam di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Tahun 1954, Gordon P Means datang ke Malaya dan Singapura untuk membuat penyelidikan mengenai ‘politics of decolonization’. Beliau datang semula ke Tanah Melayu pada tahun 1962. Profesor Emeritus Gordon P Means telah menulis beberapa buah buku mengenai politik Malaysia, antaranya Malaysian Politics: The Second Generation, penyusun bersama Temiar-English Dictionary. Dalam Political Islam in Southeast Asia, yang turut diterbitkan di Malaysia oleh Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) pada tahun 2009, Gordon P Means menggunakan tajuk kecil, Reformasi, Semburit and the 1999 Elections. Istilah semburit turut dimasukkan dalam senarai indeks buku berkenaan.

Setakat ini, saya belum menemui penggunaan istilah semburit dalam mana-mana catatan berhubung dangan aktiviti seks sesama lelaki digunakan lebih awal daripada yang digunakan oleh Gordon P Means. Mungkin pernah ada istilah sepadan yang pernah digunakan ketika heboh mengenai pembabitan seorang ahli politik dalam seks luar tabi’e atau kes liwat. Mohamad Sabu memanggil pelakuan tersebut sebagai ‘al-juburi’ dan dalam loghat tertentu, ia bermaksud ‘main belakang’.

Bagi seorang ahli politik dari Kedah, Datuk Shahanim Mohamad Yusof mohon agar perkataan tersebut dikeluarkan daripada perkamusan Melayu kerana tidak sesuai digunakan dan membawa maksud berbeza antara negeri-negeri di utara. Saya tidak merasakan ia sesuatu yang meloyakan kerana ramai yang faham bahawa ‘burit’ itu bermakna bahagian belakang, kecuali kepada penduduk Pantai Timur, ia merujuk kepada kemaluan wanita. Bagaimanapun, istilah tersebut kadangkala digunakan sebagai istilah menyampah, bukan memperlekehkan wanita.

Alasannya, perkataan tersebut mengandungi penghinaan kepada wanita, kerana dikaitkan dengan kemaluan. Tidak elok disebut. Apabila terlalu biasa disebut, ia akan memberikan konotasi jelek. Kalau tahun 1999, istilah yang popular ialah liwat. Tetapi, apabila kes yang sama dibicarakan di mahkamah, liwat tidak lagi menjadi suatu istilah yang ngeri atau ngilu untuk disebut. Bahkan pada suatu ketika, untuk menyebut istilah canggih ada yang membantah. Kini, istilah canggih semakin dilupakan.

Saya pernah meremang bulu roma apabila terlihat sebuah toko pakaian berjenama Lanun Johor di NU Sentral Kuala Lumpur ketika pertama kali mengunjungi kedai buku MPH tiga tahun lalu. Setahun lalu, kedai berjenama Lanun Johor sudah tiada. . Saya anggap jenama tersebut berusaha untuk menumpang kejayaan sebuah filem pecah panggung, iaitu Pirates of Carribean.

Begitu juga ketika pertama kali diperkenalkan dengan nama tempat Batang Berjuntai. Kini nama Batang Berjuntai sudah ditukarkan kepada Bestari Jaya. Bagi ‘orang lama’ mereka lebih mudah menyebut Batang Berjuntai daripada Bestari Jaya. Saya turut teringat ketika majlis perasmian Universiti Selangor, yang ketika itu dikenali sebagai Universiti Industri Selangaor (UNISEL). Surat pelawaan penubuhannya disampaikan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, iaitu Najib Razak.

Dalam ucapannya, Najib membayangkan bahawa kampus yang lebih selesa akan didirikan di suatu tempat yang agak’malu’ untuk disebutkan. Ia merujuk kepada Batang Berjuntai. Setelah beberapa lama kemudian, kita diberitahu bahawa nama Batang Berjuntai sudah ditukarkan kepada Bestari Jaya. Hingga kini, masih tertulis Batang Berjuntai di papan tanda dalam kurungan selepas Bestari Jaya. Sebabnya, masih ramai yang lebih mengenali Batang Berjuntai daripada Bestari Jaya.

Jika perkataan semburit dibuang daripada peristilahan bahasa Melayu, pelakuan seperti itu tidak terjamin akan terhapus secara beriringan. Bahkan aktiviti semburit telah berlaku sekian lama dalam peradaban manusia, ada kisah Nabi Luth a.s yang tercacat. Bahkan dalam tamadun manusia sebelum lahirnya Islam, sudah berlaku aktiviti seumpamanya sehingga tenggelam sebuah bandar bernama Pompei di Itali.

Apa yang perlu diperjuangkan oleh setiap rakyat Malaysia ialah menolak pelakuan semburit, bukan hanya mendesak istilah tersebut dikeluarkan daripada perkamusan Melayu. Semburit atau sodomi adalah aktiviti yang melanggar fitrah manusia. Manusia secara fitrahnya dicipta secara berpasang-pasangan, iaitu berbeza jantina. Daripada perbezaan jantina itulah mengembangkan zuriat dan bukan atas naluri kepuasan seks antara lelaki sebagaimana dimaksudkan oleh istilah semburit.

Tidak ada sebab  munasabah istilah semburit digugurkan, kerana maksudnya adalah jelas. Seks antara lelaki adalah tindakan yang amat tidak bermoral dan setiap hubungan seks wajib berlangsung dalam persekitaran yang halal bagi membentuk kehidupan bermoral. Bagi setiap ahli politik, tidak wajar bagi mereka menyokong perjuangan LBGT, kerana perjuangan itulah yang telah merosakkan tatacara hidup yang bermoral. Tidak usah berdalih-dalih, LBGT dibolehkan asalkan atas kerelaan masing-masing, kerana fenomena itulah yang memualkan sejarah manusia bukan istilah semburit.

Istilah itu memang tepat menggambarkan pelakuan tidak senonoh dan di luar kebiasaan. Istilah itu tepat dengan maknanya, maka ketepatan maksud dan tujuan adalah lebih penting. Jika malu menyebutnya, ia hendaklah disusuli dengan rasa jijik untuk melakukannya. Tidak perlu banyak alasan lagi, kerana semburit memang pelakuan yang melibatkan manusia rosak moral dan menolak fitrah kehidupannya sendiri.

Mahanor Saleha.

No Comments

    Leave a reply