SEMOGA YTL COMMUNICATION TIDAK ‘ANGKUH’ LAGI

Berita Kementerian Pendidikan Malaysia tidak menyambung konsep pembelajaran maya (VLE) menggunakan perkhidmatan internet yang disediakan oleh YTL Communications cukup melegakan ramai pihak.

Dalam kenyataan yang saya terima menerusi whatsApp daripada seorang kenalan di Kementerian Pendidikan Malaysia pada petang Khamis, 27 Jun lalu cukup meyakinkan saya mengenai tindakan tersebut.

Saya yakin KPM telah membuat keputusan tepat apabila tidak menyambung kontrak dan menggantikan VLEFrog dengan Google Classroom. Sekolah-sekolah milik KPM tidak lagi bergantung kepada teknologi yang dikawal oleh YTL Communications. Selepas ini tidak ada juga ungkapan “No” kepada ‘Yes!”. Yes! merupakan jenama kepada perkhidmatan internet 4GLTE yang dikendalikan oleh YTL Communications.

YTL Communications adalah salah sebuah anak syarikat dalam kumpulan YTL. YTL turut mempunyai kepentingan dalam bidang kuari dan pembekalan simen, khidmat pengangkutan berel (ERL), pembinaan dan hartanah di samping perniagaan barangan berjenama. Saya mula merasa terkilan kepada hampir kesemua jenama YTL beberapa tahun lalu apabila salah seorang pewaris empayar berkenaan mengulas mengenai ‘crony-capitalism’.

Pewaris itu mungkin sudah melupakan sejarah jerit payah perjuangan pengasasnya untuk membangun dan memajukan syarikat. YTL pernah memiliki janakuasa elektrik bebas, yang kemudian menjadi salah sebuah syarikat pembekal tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad sebaik sahaja perkhidmatan utiliti itu diswastakan.

Saya teringat bagaimana bekas Pengarah Urusannya terpaksa berhadapan dengan situasi sukar apabila enggan bersetuju dengan tawaran harga pembelian tenaga yang dikeluarkan oleh IPP (Independent Power Producer). Keriuhan itu menjadikan Allahyarham Tan Sri Ani Arope (1932-2014) akhirnya terpaksa meletakkan jawatan.

Tahun 1992 berlaku ‘blackout’ menyebabkan seluruh negara bergelap. Ketika itu saya bertugas di Pulau Pinang. Akibat terputusnya bekalan elektrik, saya terpaksa turun ke Ground Floor  menggunakan tangga. Bayangkan bagaimana siksa untuk menurun di anak tangga sebuah bangunan tinggi yang berbentuk bulat.

Bangunan tinggi tidak bulat mungkin anak tangganya tidak curam sebagaimana anak tangga di bangunan Komtar. Lutut saya sedikit ‘bergetar’ apabila sampai ke tingkat 20 (dari tingkat 38) walaupun setahun lalu, saya berjaya mendaki Great Wall di China dalam keadaan sedikit tercungap. Saya terpaksa mengambil langkah berehat seketika sebelum terusw2 menurun anak tangga hingga tingkat 3.

Seharian kami tidak mempunyai bekalan elektrik. Walaupun di bangunan tinggi saperti Komtar menyediakan generator, kegunaan adalah terhad. Lif hanya boleh digunakan bagi mereka yang bermasalah kesihatan, termasuk ibu-ibu mengandung. Ketika itu saya berumur 35 tahun dan mampu berjalan kaki sejauh empat atau lima kilometer.

Rupa-rupanya terputus bekalan elektrik pada hari tersebut bukanlah disebabkan oleh kegagalan sistem grid kuasa. Ia adalah satu tindakan yang sengaja dilakukan untuk membolehkan munculnya IPP sebagai ‘feeder’ kepada TNB.

Pendedahan itu dibuat beliau dalam buku Memoirs of Tan Sri Ani Arope. Buku setebal 143 halaman yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh Fullbright Alumni Association of Malaysia (FAAM). Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang dikuasai oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamed memaksa tanah kepunyaan TNB diserahkan kepada pihak ketiga untuk membina loji janakuasa. Tanah milik TNB itu adalah di Paka, Terengganu dan Pasir Gudang, Johor.

Paka adalah kawasan yang berhampiran dengan kawasan penapisan dan industri yang berasaskan petrokimia dalam daerah Kemaman. Kemaman ketika itu sudah dikenali sebagai kawasan pendaratan hasil-hasil petroleum yang digerudi dari perut bumi Laut China Selatan. Pasir Gudang ialah kawasan perindustrian baharu yang beberapa hari lalu diancam oleh pencemaran udara. Tiga bulan lalu, Sungai Kim Kim dilaporkan menjadi saluran pembuangan bahan kimia oleh sebuah kilang memproses tayar terpakai.

Menurut Tan Sri Ani Arope, sebagaimana dikutip oleh Starbiz, TNB memang mempunyai perancangan untuk menghasilkan lebih banyak tenaga dengan membina sendiri loji janakuasa. “Tetapi, kami diberitahu oleh EPU bahawa ia mempunyai rancangan sendiri. Kami diberi amaran oleh EPU bahawa jika loji itu, yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan tidak dibina, Malaysia akan mengalami satu lagi ‘black-out’.

TNB mempunyai 250 orang jurutera ketika itu, dan adalah tidak munasabah menyalahkan punca black-out pada tahun 1992 disebabkan oleh perancangan yang lemah. (Keadilan Daily, 22 Mei 2014). Turut diperkatakan ialah bagaimana TNB dipaksa membeli seunit tenaga yang dihasilkan oleh IPP dengan harga 21 sen sedangkan TNB sendiri boleh mengeluarkan tenaga dengan kos 8 sen seunit. Ertinya, IPP membekalkan harga tenaga yang lebih mahal kepada TNB dan TNB akan menjual dengan harga 16 sen seunit kepada pengguna. Ini menyebabkan TNB menanggung kerugian manakala IPP memperoleh keuntungan yang banyak.

Lim Kit Siang pernah membangkitkan perihal IPP dan meminta kerajaan mengkaji semula dasar pembelian tenaga oleh TNB. Beberapa tahun isu tersebut berlarutan, akhirnya ketika Najib menjadi Perdana Menteri ke-6 difikirkan bagaimana untuk menguasai IPP. IMDB kemudiannya membeli semula loji kuasa yang dipunyai oleh IPP. Pengambilalihan itu kemudiannya dipertikaikan oleh PH sebagai tindakan ‘menggelapkan wang’.

Salah sebuah anak syarikat YTL Group terbabit dalam perniagaan membekalkan kuasa elektrik kepada TNB. Atas sebab itulah saya melihat istilah ‘crony-capitalism’ turut membabitkan YTL.  Begitu juga dengan perundingan untuk mengambil alih pengeluaran simen di Perak oleh YTL.

Sebagai pembekal kemudahan internet dan pembelajaran maya ke sekolah-sekolah, YTL telah dibayar dengan banyaknya oleh kerajaan. Suatu ketika, timbul isu bagaimana YTL memperoleh kontrak tersebut, dan bagi KPM, proses pengendalian tender telah dibuat secara telus dan mengikut peraturan. Sayangnya, spesifikasi yang disediakan oleh salah seorang pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menggantikan projek Schoolnet mengambil spesifikasi yang disediakan oleh pasukan teknikal yang dibiayai oleh YTL.

Apabila YTL bersaing untuk mendapatkan tender berkenaan, secara teorinya ia mendapat laluan mudah. Tawarannya memenuhi spesifikasi yang dikehendaki. Ketika isu itu meletus, ada pihak mendakwa YTL memperoleh kontrak berkenaan atas dasar ‘crony-capitalism’.

YTL juga gagal dalam banyak perkara, termasuk mendirikan menara di semua sekolah-sekolah milik KPM. YTL juga berhadapan masalah untuk membina menara telekomunikasi di Sarawak kerana kerajaan negeri inginkan supaya anak syarikat milik kerajaan negeri diberikan kontrak membina dan menguruskannya. Bagi sekolah-sekolah pedalaman, YTL tidak sanggup berbelanja lebih untuk menyediakan kemudahan internet, kerana kosnya adalah lebih besar daripada hasil.

VLEFrog Cost

Faktor yang banyak diperkatakan mengenai YTL Communications ialah penyewaan tapak menara telekomunikasi di sekolah. Secara keseluruhannya, dalam perjanjian dikatakan merugikan KPM kerana sewaannya adalah RM 1,000 setahun untuk kesemuanya. Setelah tersedar kesilapan dalam perjanjian tersebut, KPM memohon agar kadar sewa tanah dikaji semula agar lebih menguntungkan kerajaan.

Turut dikaitkan ialah amalan perniagaan YTL Communications. Pemancar signal yang dipautkan dengan menara telekomunikasi di halakan ke arah kawasan luar sekolah. Dengan cara itu, YTL akan memperoleh keuntungan besar dan lebih ramai pelanggan, iaitu bukan komuniti pelajar atau sekolah. Itulah sebabnya signal di luar kawasan sekolah lebih kuat berbanding dalam kawasan sekolah.

kronologi 1Bestarinet

Permasalahan itu kemudiannya mewujudkan pelbagai jargon teknikal. YTL mengeluarkan rekod, hasil pemantauan pihak sekolah tidak menggunakan kemudahan VLEFrog secara maksimum manakala kelajuannya menjadi terhad apabila lebih ramai pengguna pada sesuatu masa. Cadangan kemudian dibuat agar guru-guru dan pelajar menjadualkan pembelajaran mereka mengenai VLEFrog.

Rentetan kepada masalah dan sebab berkenaan mungkin menjadi faktor KPM tidak dapat mempertimbangkan penyambungannya setelah dimulakan pada tahun 2012. Mulai 1 Julai hingga 31 Disember ini, KPM menawarkan kepada tiga syarikat pesaing, iaitu Maxis Broadband Sdn Bhd, Celcom Axiata Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Berhad. Tarikh 1 Januari 2020, akan ditentukan syarikat manakah yang memperoleh kontrak sebenar untuk meneruskan projek 1Bestrasinet.

Kontrak perbekalan dengan YTL Communications mula menjadi kontroversi pada tahun 2015. Satu persidangan Jawatan Kuasa Kira-kira Wang Negara (Public Accounts Committee) pada 13 Mac 2015 telah membentangkan laporan mereka dalam persidangan Parlimen ke-13 ,Penggal Ketiga. PAC ketika itu dipengerusikan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Persidangan selama dua jam itu tidak berupaya mencungkil banyak kelemahan  termasuklah pertimbangan kos dan faedahnya kepada komuniti sekolah. Kontrak pembekalan internet dan VLEFrog disambung untuk tempoh tiga tahun lagi mulai Jun 2016.

Yuran langganan internet ialah RM 130 bagi setiap sekolah untuk setiap Mbps (Megabit per second). Dalam Fasa II (Utusan Malaysia, 12.12.2016), sekolah yang kecil akan menerima 6Mbps dengan bayaran RM783; sekolah yang sederhana ramai menerima 10Mbps dengan kadar RM 1,304 manakala sekolah besar mendapat 15Mbps pada kadar RM 1,955. Ia berbeza dengan harga tawaran yang dibuat oleh TM menerusi jenama Unifi pada tahun 2016. Unifi mengenakan caj sekitar RM 4 setiap Mbps sebulan. Analisis yang dibuat akhirnya menemukan perbandingan yang jelas, YTL Communications mengenakan caj 30 kali ganda lebih tinggi kepada KPM bagi mendapatkan bekalan perkhidmatannya.

Dilaporkan setiap bekalan internet yang ‘kesemutan’ itu membolehkan YTL Communications memperoleh keuntungan atas angin yang besar. Ada andaian bahawa sekolah yang mendapat bekalan 30 Mbps dan mencapai tahap memuaskan sehingga 99 peratus, terpaksa membayar RM 19,000 sebulan. Kos yang terpaksa dibayar adalan lebih 200 kali ganda. Peringkat ini YTL dianggarkan memperoleh keuntungan sebanyak RM 100 juta.

YTL agreement

Bagi penggunaan VLEFrog, setiap sekolah dikenakan bayaran RM 1,668 sebulan. Bagi sekolah pedalaman dikenakan kos tambahan sebanyak RM 450 sebulan. Perisian VLEFrog menyebabkan KPM terpaksa membayar RM 650 juta setahun sedangkan 576 daripada 828 judul buku dalam format PDF adalah buku teks yang dibekalkan secara percuma kepada setiap pelajar. Dianggarkan lebih 6,700 video adalah ‘disedut’ dari youtube. Secara terselindungnya YTL mengenakan caj langganan untuk mengakses youtube menerusi VLEFrog. VLE benar-benar melompat seperti ‘katak’. (Rujuk: https://mindarakyat.blogspot.com/2019/02/skandal-1bestarinet-didedahkan-kerajaan.html)

Harapan kepada Menteri Pendidikan ialah menyiasat dan membongkar ‘sisi gelap’ mengenai keuntungan besar langganan VLEFrog dan caj yang melampau yang dikenakan menyebabkan kos 1Bestarinet menerusi YTL Communications Fasa II menjangkau RM 1.5 bilion untuk tempoh tiga tahun. Jika dicampur dengan kos Fasa 1, melibatkan peruntukan sebanyak RM 663 juta. Bagi tempoh  lima tahun pertama, anggaran peruntukan yang diperlukan ialah RM 1.735 bilion, lima tahun kedua RM 1.475 bilion dan lima tahun ketiga sejumlah RM 1.225. Bagi tempoh 15 tahun, KPM menanggung kos sebanyak RM 4.456 bilion.

Dengan terhentinya kontrak penyambungan internet dan VLEFrog, YTL lebih memahami apa makna crony-capitalism dan tidak ‘angkuh’ ketika 1Bestarinet menjadi isu. Kali ini, diharapkan tidak ada lagi pekikan NO kepada Yes! kerana Yes! tidak lagi menguasai sekolah-sekolah di Malaysia.

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply