Semua Ahli Parlimen wajib isytihar harta

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta bertujuan menghalang mereka menggunakan pengaruh sebagai ahli politik dan pemimpin untuk mendapat bayaran.

Perdana Menteri berkata, usul yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini akan merangkumi semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang dan tidak hanya tertumpu kepada wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) saja.

“Ya, sepatutnya semua (Ahli Parlimen) akan isytihar harta mereka kerana parti pembangkang pun ada pengaruh. Kita tidak harus guna pengaruh untuk mendapat bayaran.

“Kita akan membawa usul ini di Dewan Rakyat. Sama ada diluluskan atau tidak, itu soal lain,” katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan ruang pameran Marvel Studios di pusat beli-belah Pavilion di sini, hari ini.

Beliau ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Difahamkan, usul itu akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat bersidang mulai 1 Julai sehingga 18 Julai ini.

Pada masa ini, hanya Ahli Parlimen PH dikehendaki mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka kepada SPRM walaupun ia bukan daripada dasar kerajaan dan tidak termaktub dalam undang-undang.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, pembukaan ruang pameran Marvel Studio itu akan menjana pendapatan ekonomi pelancongan negara.

“Saya fikir ramai akan datang melihat pameran ini. Ia luar biasa. Biasanya mereka melihat karektor dalam filem, sekarang dalam bentuk nyata.

“Malahan, dulu kalau hendak buat kartun kena lukis dengan tangan, sekarang tidak payah, tetapi guna animasi,” katanya.

Ditanya watak karektor Marvel yang digemari, Perdana Menteri berkata, beliau menyukai watak Thanos.

“Saya suka watak yang besar (Thanos). Yang pegang kapak. Saya suka sebab dia garang,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply