SEMUA UMAT ISLAM MERUPAKAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH – DR YUSUF AL QARADAWI

Doha, Sabtu – Umat Islam hari ini makin tenat dengan pelbagai ujian dan cabaran. Pertumpahan darah berlaku, tanah suci dijajah, kelaparan dan penderitaan berlaku dengan amat dahsyat.

Justeru, tiada keperluan untuk menghabiskan masa berbincang semula isu khilaf yang sudah lama tenggelam dalam sejarah iaitu isu berkenaan siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi berkata demikian mengulas penganjuran Persidangan Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berlangsung di bandar Grozny, Chechnya baru-baru ini.

Dilaporkan persidangan itu telah mengeluarkan kelompok Salafi dan Ikhwan Muslimin daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Berikut adalah antara isi penting kenyataan Syeikh Al-Qaradawi yang disiarkan di laman web rasmi Kesatuan Ulama Islam Sedunia semalam:

  1. Saya terganggu dengan penganjuran persidangan ini. Ia dilihat membawa kemudaratan.
  2. Persidangan ini dianjurkan dengan mendapat kerjasama Presiden Chechnya yang tunduk kepada kerajaan Russia. Pada masa sama, Russia telah membunuh saudara kita di Syria, menyeksa, menghancurkan rumah mereka dengan menggunakan bom, roket dan pesawat pejuang dengan alasan menghapuskan pengganas. Hakikatnya merekalah pengganas sebenar.
  3. Resolusi persidangan telah mengeluarkan golongan ahli hadis dan salafi di kalangan Wahabi daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Resolusi persidangan sepatutnya menyatupadukan umat Islam tetapi sebaliknya berlaku. Sedangkan musuh Islam sedang bersatu menyerang dan menghancurkan negara umat Islam satu demi satu.
  4. Semua umat Islam merupakan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka beriman kepada Allah, Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mereka tidak mengamalkan bid’ah takfiriah. Mereka juga tidak menolak Al-Quran dan Sunnah.
  5. Umat kini makin tenat dan tiada masa untuk menghidupkan semula khilaf yang telah berlalu dalam sejarah sebelum ini. Tanah suci umat Islam dirobek musuh, umat Islam dibunuh di Palestin, Syria, Yaman dan lain-lain.
  6. Telah berlalu zaman khilaf furu’ dalam masalah akidah seperti Sifat Allah, Takwil, Tafwid dan lain-lain. Mereka yang membincang perkara ini telah ketinggalan zaman, sibuk dengan perkara lampau, memecahbelahkan umat. Sedangkan ketika ini musuh Islam di timur dan barat bersatu menghancurkan Islam.
  7. Kita tidak pula mendengar mereka yang mengaku sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah berani membuat kenyataan menentang Iran, Hizbullah di Syria, Syiah Houthi di Yaman dan Russia.
  8. Telah banyak dianjurkan persidangan oleh ulama kerajaan yang akhirnya senyap apabila melihat kekejaman Russia dan sekutunya. Ada yang tunduk kepada diktator di rantau Arab, menggalakkan pertumpahan darah, mendukung rejim Al-Sisi di Mesir, Bashar Al-Assad di Syria, Ali Abdullah Salleh dan Syiah Houthi di Yaman. Walaupun dalam persidangan itu turut dijemput alim ulama dari serata dunia.
  9. Kita bertanya, apakah akan dilakukan selepas ditentukan siapa Ahli Sunnah, siapa bukan Ahli Sunnah? Adakah akan dibuat kenyataan menentang Syiah dan Nusairiyah di Syria, Yaman dan Iraq?

Sumber: www.indahnyaislam.my

#TANWIR: Anti Kekerasan

No Comments

    Leave a reply