Seni khat atau tulisan jawi?

MINGGU ini politik dan perkembangan dalam negara agar ribut dengan langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun hadapan.

Maka gegak gempitalah beberapa pertubuhan bukan Melayu melatah, gelisah dan kelam kabut walaupun pihak kementerian telah menjelaskan bahawa tulisan dan seni khat adalah bertujuan untuk menerapkan dan memperkukuhkan elemen warisan kebangsaan selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Ironinya yang terkait sehingga menjadi berselirat adalah tulisan jawi. Seni khat dan tulisan jawi adalah dua perkara yang berbeza walaupun mempunyai kaitan secara tidak langsung.

Apa yang boleh difahami adalah yang hendak diperkenalkan oleh kementerian ialah seni khat atau kaligrafi Melayu yang pastinya menggunakan tulisan jawi sebagai medium pembelajaran.

Soalnya kenapa langkah ini mendapat tentangan? Adakah pihak-pihak berkaitan cuba untuk memainkan sentimen perkauman, agama dan cauvinisme dalam kalangan rakyat sehingga menimbulkan kekeliruan?

Seni khat dan tulisan jawi kedua-duanya ialah elemen warisan kebangsaan Malaysia. Kewujudannya perlu diperkasakan agar tidak hanya kekal menjadi satu perlambangan dalam citra kehidupan rakyat Malaysia.

Tetapi menjadi satu ilmu yang boleh dikongsi bersama oleh semua kaum dan agama di Malaysia sebagai satu budaya kebangsaan Malaysia.

Barangkali kita pasti terbiasa dengan tulisan jawi dan khat di papan tanda, mata wang Ringgit Malaysia, bingkai hiasan di rumah-rumah masyarakat Melayu-Islam bahkan pernah tular di media sosial khabarnya di pejabat seorang menteri di sebuah kementerian pun ada tersangkut bingkai tulisan khat-al-Quran yang amat cantik berlatarkan gambar sang menteri yang sedang tekun bekerja di mejanya.

Sehingga kini tidak diketahui apakah niat sebenar gambar itu disebarkan?

Jika ditinjau dari sudut sejarah, tulisan jawi adalah satu bukti yang melambangkan bahawa bangsa Melayu bertamadun dan berperadaban.

Sebagaimana seni kaligrafi Cina yang menggambarkan betapa hebatnya tamadun Cina, maka itu jugalah yang terzahir pada seni khat atau kaligrafi Melayu-Islam. Tulisan jawi bukan sekadar satu tulisan tetapi membawa bersama aspek bahasa yang mempunyai pengaruh Arab dan berinovasikan Melayu.

Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu pada tahun 1972 menjelaskan: “Chara menchiptakan huruf baru dengan mengikut chorak-rupa huruf Arab itu memang lazim serupa di-mana2 terdapat sesuatu bangsa bukan Arab yang telah memeluk agama Islam dan menggunakan abjad Arab.”

Seterusnya beliau menjelaskan lagi: “Bahasa Melayu yang tadinya bahasa pasaran terbatas itu telah mengalami suatu perubahan besar, suatu revolusi. Selain dari diperkaya perbendaharaan-katanya dengan istilah2 dan perkataan2 Arab dan Farsi, bahasa Melayu juga dijadikan bahasa pengantar utama Islam diseluruh Kepulauan Melayu-Indonesia, sehingga pada abad keenambelas selambat-lambatnya ia telah berjaya menchapai peringkat bahasa sastera dan agama yang luhur dan sanggup menggulingkan kedaulatan bahasa Jawa dalam bidang2 ini.”

Semua kenyataan ini menunjukkan bahawa seni khat mahu pun tulisan jawi bukanlah suatu yang asing bagi rakyat Malaysia.

Kewujudannya adalah sebagai suatu elemen yang melengkapkan seni budaya warisan Malaysia yang perlu dipertahankan. Untuk mempertahankannya, maka satu usaha pendedahan dan pembelajaran pada peringkat awal amatlah perlu agar generasi yang dilahirkan kenal dan tahu tentang budaya dan warisan mereka tanpa mengira latarbelakang agama.

Penulis berpandangan bahawa isu ini sebenarnya sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang lebih besar melibatkan persoalan parti politik tertentu.

Maka isu ini dilaungkan bagi menampakkan drama betapa seriusnya isu ini dan membolehkan rakyat melupai isu lain yang sebenarnya sangat merisaukan pihak-pihak yang tertentu.

Oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Sumber : Sinar Harian Online

No Comments

    Leave a reply