SENTIASA BERFIKIRAN UNGGUL

Isu kes perceraian di negara ini yang dilaporkan meningkat saban tahun, telah mencetuskan kegusaran beberapa pihak terhadap kewajaran fenomena ini. Sesetengah pihak cenderung menyalahkan pihak berkuasa agama sebagai pihak yang paling bertanggungjawab kerana kegagalannya dalam memberi kefahaman dan kesedaran pasangan suami istri mengenai hak dan tanggungjawab dalam keluarga mereka. Sesetengah pihak yang lain, menuding bahawa faktor ketidakmatangan, kelemahan pegangan agama dan salah komunikasi sebagai punca utama suami isteri untuk bercerai.  

Sebagai pihak yang diamanahkan oleh Tuhan bagi menjaga ‘tali hayat’ keberadaan manusia di muka bumi, setiap pasangan mestilah menjaga amanah itu dengan membina sikap saling memiliki dan menjalin komunikasi yang mantap. “Sebarang isu dan masalah rumah tangga yang timbul seperti kekangan kewangan, sikap egois, kekurangan didikan agama dan sebagainya akan mudah diatasi dengan membina komunikasi dua hala yang mantap” kata Dr Muhamad Zain bin Dollah, pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Dakwah JAWI .

“Setiap pasangan suami isteri mesti mempunyai sikap saling memiliki dan perlu menterjemahkan filosofi ‘jadikan isteri sebagai hak suami dan suami sebagai hak isteri’ sebagai perkara asas dalam berumah tangga. Dengan adanya sikap saling memiliki maka akan wujud komunikasi yang baik. Kelemahan dan kesalahan suami atau isteri akan mudah diterima dan difahami oleh setiap pasangan”.

Beliau menyarankan agar setiap pasangan menerapkan rumusan komunikasi berasaskan kepada ok versus ok dan tak ok versus tak ok. Rumusan ini merupakan rumusan ideal yang akan memberi panduan tetap kepada suami isteri agar seia sekata dalam setiap mengambil keputusan penting dalam rumah tangga mereka. Apabila salah satu pasangan tidak seimbang dalam menerapkan komunikasi maka akan timbul egoisme yang tidak dapat dikawal.

“Perkahwinan itu merupakan proses pembelajaran secara terus menerus. Setiap suami isteri dituntut untuk sentiasa belajar mengenali pasangan setiap saat agar perasaan ego, menang sendiri, sombong dan mengabaikan komunikasi tidak menjadi punca kepada permasalahan rumah tangga yang mengakibatkan perceraian”.

Komunikasi yang mantap ini merupakan elemen pelengkap kepada perkara asas yang lain dalam rumah tangga yang mesti dimiliki oleh suami isteri iaitu sikap saling mencintai dan kasih sayang (sakinah mawaddah wa rahmah). Konsep inilah tujuan teragung manusia dalam mendirikan rumah tangga. Jika pasangan suami isteri sudah tidak memiliki elemen yang paling fundamental ini, maka sebenarnya rumah tangga mereka hanyalah institusi yang kosong dan hampa.

“Sikap kasih sayang dan cinta ini menjadi elemen pembeza dengan makhluk lain seperti haiwan yang juga memiliki nafsu dan syahwat terhadap lawan jenis. Hakikatnya, sebagai ciptaan Allah, manusia dan haiwan sama-sama mempunyai nafsu dan perasaan (libido) kepada pasangannya. Namun, menerusi perkahwinan inilah yang membezakan libido antara manusia dan haiwan. Libido yang disalurkan dalam perkahwinan yang suci menjadi benteng kepada mementingkan keseronokan nafsu tanpa batasan dan tiada nilai moral yang bersifat kebinatangan”.

“Dalam institusi perkahwinan jugalah terjaminnya generasi yang mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan dalam agama. Bukan undang-undang hutan rimba sepertimana kehidupan binatang atau kehidupan seks bebas sepertimana yang terjadi dalam masyarakat Barat ”.

Oleh sebab itu, menurut Dr Muhamad Zain di dalam perspektif Barat, isu perceraian bukanlah isu serius yang perlu diambil perhatian sebagaimana dalam kalangan umat Islam. “Di negara Barat, isu perceraian merupakan perkara biasa sedangkan di Islam ia perkara yang cukup memalukan. Hal ini kerana perceraian menurut orang Barat sepertimana isu perkahwinan, merupakan nilai-nilai yang diada-adakan. Sepertimana juga pandangan mereka terhadap kewujudan agama yang dianggap sebagai ciptaan dan angan-angan manusia dalam menggariskan mana yang baik dan mana yang baik.”

Menyentuh ramuan dan petuah bijak bagi calon suami isteri yang hendak membina rumah tangga harmonis, romantik, serasi dan saling bertanggungjawab, Dr Muhamad Zain menegaskan bahawa pasangan sekufu merupakan prasyarat yang ideal dalam perkahwinan. Menurutnya lagi, “pasangan sekufu dapat dilihat dalam tiga kategori iaitu pertama, sekufu dalam konteks biologi. Dalam hal ini, seimbang dan sekufu dalam konteks biologi ialah bagaimana pasangan suami isteri seimbang dari segi umur dan dari segi genetik. Seimbang dari segi umur ialah umur suami tidak terlalu berbeza jauh dengan isteri dan isteri tidak lebih tua dengan suami. Dari segi genetik, perlu dipastikan calon pasangan hidup kita bebas daripada menghidap penyakit berat seperti penyakit gula, jantung, kanser dan sebagainya.”

Kategori sekufu kedua ialah mempunyai personaliti yang sama dan seimbang terutama dari segi intelektual, sama pendidikan dan sama taraf berfikirnya. Seimbang dari segi kecerdikan dan keupayaan berfikir ini akan menciptakan sikap saling mengerti dan memahami kesibukan masing-masing sehingga tidak mudah menyalahkan satu pihak sekiranya timbul perselisihan pendapat. Misalnya, kerjaya dan pencapaian isteri yang lebih unggul berbanding dengan suami. Dengan modal kemampuan intelektual yang dimiliki, si isteri tidak akan tidak akan sewenang-wenang dengan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada anak-anak dan pengurusan rumah tangga yang terletak di bawahnya. Sebaliknya, suami juga dihormati kerana peranannya sebagai kepala rumah tangga.

Kategori ketiga pula iaitu sekufu dengan menciptakan situasi kendiri. Pendekatan kendiri ialah dengan menumbuhkan sikap yang kreatif dan sentiasa berfikiran unggul, mantap dan cemerlang. Sikap kreatif terutama bagi menguruskan perbelanjaan dan mendapat pendapatan sampingan selain daripada punca utama pekerajaan. Seorang isteri meskipun mempunyai pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan suaminya tidak akan menyalahkan suami sekiranya suami tersebut bekerja dengan sungguh-sungguh, berkomitmen dan sentiasa prihatin kepada keluarganya. Isteri tidak melihat harta dan kekayaan semata-mata dalam menilai sebuah rumah tangganya, akan tetapi sejauh mana tanggungjawab dan perhatian suami terhadap keluarga itu jauh lebih penting.

“Bagaimanapun, aspek sekufu ini bukan satu-satunya faktor terwujudnya keluarga yang bahagia, harmonis dan sekaligus mengelakkan daripada perceraian. Perkara yang lebih penting ialah bagaimana mewujudkan komunikasi yang berkesan dan mantap dalam mengekalkan keluarga yang harmonis dan bahagia. Faktor pegangan agama yang kukuh turut memainkan peranan yang besar meskipun ia bukan menjadi faktor yang dominan” kata pakar psikologi ini lagi.

Menurut Dr Muhamad Zain lagi, meskipun pegangan agama kukuh tapi tidak diimbangi dengan komunikasi yang mantap, maka banyak juga berlaku kes perceraian yang melibatkan pasangan dengan latar belakang ini. Beliau mencontohkan kepada kehidupan keluarga yang ‘kurang beragama’ atau keluarga pencuri yang mampu mengekalkan keluarganya dengan harmoni kerana kemampuan mereka menjalin hubungan dan komunikasi yang baik dan difahami oleh kedua-dua belah pihak.

Bagi mengelakkan keruntuhan keluarga, beliau juga menggesa agar pasangan suami isteri mempelajari semua aspek mengenai keluarga terutama dalam hal psikologi. Dengan menguasai psikologi, setiap pasangan akan mengetahui dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasangannya. Dengan demikian akan tercipta sikap saling memahami dan mengelak saling menyalahkan yang pada akhirnya berujung kepada tragedi perceraian yang amat dielakkan oleh agama.

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply