SENTUHAN DAN TEKNOLOGI SENTUH

 

 

Dua puluh tahun lalu (1998) John Naisbitt memulakan projek penulisan buku High Tech, High Touch dengan harapan untuk mencari erti kehidupan disebabkan semakin maju dan berkembangnya teknologi, manusia menjadi semakin kecamuk dan semakin takut kepada kematian. Persoalan agama telah dikesampingkan sedangkan agama sentiasa menjadi penawar kepada ketakutan, termasuklah memandu manusia untuk menggunakan teknologi secara positif dan cenderung kepada pengharapan yang terlalu tinggi.

Naisbitt memahami bahawa manusia Amerika Syarikat sebenarnya sedang berada di Zon Mabuk Teknologi dan teknologi juga telah menyebabkan manusia menjadi semakin kehilangan sentuhan interpersonal saperti berbual-bual dengan kehadiran fizikal, saling berpandangan dan seterusnya menunjukkan aksi bukan verbal. Pada tahun yang sama (1998), John L Locke pula menulis sebuah buku yang melihat betapa manusia semakin meninggalkan peranan asasinya dan membentuk masyarakat kurang bercakap (devoicing society).

John L Locke merupakan pakar bahasa hayat (bioliguist) banyak memberikan pandangan terhadap perkembangan bahasa dalam perhubungan manusia untuk membentuk kehidupan yang lebih baik. Dalam buku Devoicing Society, perkembangan teknologi pesanan pendek, surat elektronik, mel suara, facsimile dan sebagainya telah membawa ‘kecelakaan besar kepada manusia’ iaitu melupakan peranan asasnya bercakap atau berbual-bual dengan orang lain.

Fenomena sedemikian telah menjadikan teknologi sebagai pemusnah seni berbual-bual dan hubungan fizikal yang berkesan. Kini, komunikasi yang terarah kepada penggunaan gajet dan peralatan telekomunikasi canggih hampir memusnahkan kemurnian seni berbual-bual dengan bahasa santun dan dianggap paling ajaib sentuhannnya.

Kita mungkin mendengar, keruntuhan rumah tangga turut disumbangkan oleh ketaksuban teknologi sehingga terlupa ‘kebebasan’ yang dimiliki dan peluang yang ada menyebabkan ada hati yang menjeruk rasa, menahan pedih tanpa diucapkan dengan kata-kata atau lisan.

Kisah rumah tangga yang runtuh akibat tidak ada persefahaman dalam komunikasi keluarga sebahagiannya berpunca daripada apa yang terpapar menerusi skrin telefon pintar, yang kadangkala tidak sepatutnya berlaku. Misalnya, seorang isteri bertemu semula dengan bekas kekasihnya ketika majlis “reunion”, mengambil gambar dalam situasi terlajak mesra telah mengundang cemburu si suami.

Apatah lagi apabila kenangan “reunion’ itu diperkatakan manakala rakan-rakan lama semakin galak membuat posting dan bercerita kisah silam itu. Apatah lagi jika ‘bekas kekasih’ itu sedang mencari ‘kekasih baharu’ dan tentunya bila berjumpa kembali, ingatan cinta zaman persekolahan menjadi begitu indah dan mempersonakan.

Nostalgia cinta itu boleh menjejaskan hubungan dengan suami atau anak-anak. Apatah lagi apabila anak-anak sudah menginjak dewasa dan mempunyai pekerjaan sendiri. Si suami pun bukanlah semakin muda dan ketikanya mempunyai kelemahan atau kekurangan tenaga, akibat penyakit yang datang seiring usia dan sebagainya.

Suami sudah beberapa tahun bersara. Persaraan itu menyebabkan lebih banyak masa terluang di rumah. Bagi seorang isteri, rutin hariannya turut bertambah apabila si suami berada di rumah, termasuklah melayan karenahnya, dan makan minumnya. Kalau sebelumnya, si isteri mungkin terpaksa menyediakan makan malam kerana suami pulang sebaik sahaja waktu Maghrib.

Isteri semakin merasakan tugas hariannya semakin membebankan. Apatah lagi masing-masing mempunyai sejarah dan nostalgia yang kembali muncul dalam ingatan apabila berjaya dicelotehkan menerusi ruangan maya: facebook, whatsapp, instagram mahupun we chat dan messenger. Semuanya menyebabkan banyak masa dihabiskan untuk melayarinya dan sesekali menjampuk.

Sebab itulah ada isteri saperti tidak boleh berengang dengan telefon pintar. Kalau sebelumnya muncul telefon pintar, isteri banyak menghabiskan masa menonton televisyen sehingga menganggu masa tidur. Banyak drama siaran tengah malam menarik dan mencengkam emosi. Terasa sesal kalau jalan ceritanya terputus, dan sambungannya tidak dapat ditonton.

Program televisyen sekarang terasa banyak yang membosankan. Ia bosan kerana ada pengendali stesen televisyen berbayar melakukan ulang tayang beratus kali bahkan ada program tahun 2014 masih disiarkan pada tahun 2018. Diulang-ulang sehingga ada pelanggan merasakan ia suatu tindakan yang tidak menguntungkan atau bosan.

Telefon pintar menjadi alternative kerana ia banyak berkisar dalam kerangka sentuhan emosi. Sentuhan menjadi suatu medium perhubungan yang semakin beremosi dalam laman sosial dan kerana itulah ada di antara kita menyimpan pelbagai potret selfie, yang kemudiannya bila terasa bosan dan terlalu banyak mesej yang ‘terlepas’, mula membuka semula ‘album’ yang tersimpan.

Emosi ‘bosan’ itu menjadi lebih indah apabila menemukan semula ‘kenangan’ sama ada dalam bingkai ‘potret selfie’ atau ‘wefie’. Maka, tanpa banyak berfikir, gambar-gambar diposkan ke dinding maya. Tentunya, mendapat komen yang banyak terutama memuji adalah sesuatu yang membanggakan, akhirnya, lemas dengan puji-pujian itu sehingga terlupa rutin harian. Emosi untuk memenuhi tuntutan keluarga mula bergeser dengan rutin melayani laman sosial.

Satu kes yang melibatkan seorang anak remaja terabai persekolahannya disebabkan si ibu terlalu obses dengan sembang maya benar-benar menjentik hati saya. Si ibu itu menjadi begitu obses dengan laman sosial selepas kematian suaminya dua tahun lalu. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan seorang anak lelaki.

Mungkin takdir Allah SWT ingin memberikan pengajaran berguna kepada keluarga tersebut, si ibu meninggal dunia hujung tahun lalu akibat angina ahmar dan sawan tarik. Menurut doktor, si ibu mengalami ischaemic stroke. Salur darah ke otak dikatakan terumbat lebih 70 peratus dan jika umurnya panjang, pesakit kebiasaannya akan lumpur seumur hidup.

Setelah berada di hospital selama seminggu, si ibu meninggal selepas azan subuh. Anak lelakinya tidak sedikitpun menunjukkan rasa sedih atas kehilangan itu. Setitik air matapun tidak menitis. Anak lelaki itu sebenarnya sudah lama ‘berdendam’ kerana si ibu telah lama tidak memberikan perhatian kepadanya, bahkan si anak sudah lama ponteng sekolah, dan tidak menduduki PT3 pada tahun lepas.

Salah seorang ahli keluarga, cuba mendapatkan reaksi anak lelaki tunggal yang baru kehilangan ibu. Dia yang menjadi yatim piatu, tidak tahu apa akan berlaku selanjutnya. Tetapi, apa yang diketahuinya, akan hidup bersama salah seorang kakaknya, iaitu anak isteri pertama arwah ayahnya.

Terbongkar keseluruhan kisah, kehidupan yang sulit dan kusut itu sebenarnya kerana ‘siibu taksub’ melayani sembang maya. Akibat terlalu percaya kepada ‘kekasih’ yang dikenalinya menerusi laman sosial, dia sanggup ditipu sehingga semua duit jualan rumah dihabiskan membantu “kekasih maya”, yang kononnya tidak cukup modal berniaga walaupun mendapat kontrak besar di luar negara.

Atas obses yang melampaui inilah akhirnya tekanan darah tidak terkawal dan seterusnya membawa kepada angina ahmar. Akibat tekanan dan diabaikan, si anak turut terjebak dengan aktiviti rempit dan sesekali mengambil dadah.

Kisah kekalutan hidup akibat taksub teknologi sebegitulah yang tidak dimahukan oleh John Naisbitt ketika beliau berusaha menulis buku berkenaan. Beliau mahukan agar manusia kembali hidup dengan mengimbangi budaya dan tidak melupakan peranan tradisi, seni berhubung dan berbual-bual dalam kehadiran fizikal, dan teknologi hanya sebagai alat untuk membantu, bukan terlalu bergantung harap kepadanya sehingga menjadi terlalu takut pada kematian.

Takut matu sebenarnya kemuncak kepada penguasaan manusia kepada rasionalisma materialistic. Sebab itu, manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk menghindarkan diri dari kematian. Hingga kini, teknologi belum muktamad boleh membantu mengelakkan manusia daripada mati, hanya sekadar memanjangkan usia sekiranya takdir belum muncul.

Sepasang suami isteri juga tetap mengharapkan rumah tangganya akan bahagia hingga ke akhir hayat. Kita mungkin resah bila rumah tangga runtuh ketika hayatnya masih muda, yakni di bawah lima tahun. Dilaporkan kes itu semakin meningkat setiap tahun disebabkan jurang komunikasi semakin melebar antara pasangan sebagi faktor dominan. Masalah-masalah lain tidaklah begitu meresahkan, kecuali ego antara pasangan yang sukar ditundukkan.

Penceraian dalam kalangan pasangan berusia turut meningkat naik. Apakah faktor yang menyebabkan pasangan berusia semakin cenderung memusnahkan rumah tangga selepas saling memahami sekian lama? Istilah berkenaan dikenali sebagai jukunen rikon. Faktor di Jepun ialah wanita boleh mendapatkan separuh daripada wang pensaraan suami. Mungkin didesak oleh kepentingan wang, wanita sanggup mengemukakan tuntutan penceraian di Jepun.

Di Malaysia, dari perspektif Islam sekiranya berlaku penceraian, pasangan yang bercerai boleh menuntut harta sepencarian, tetapi bukan wang persaraan suami. Desakan menuntut harta sepencarian bukanlah faktor utama dalam penceraian pasangan berusia di Malaysia.

Dalam satu pengamatan kes, penceraian pasangan berusia adalah berpunca daripada sikap isteri. Setelah mempunyai cucu, si isteri lebih mementingkan cucu sehingga sanggup tidur bersama cucu waktu malam. Hak suami semakin terabai apabila isteri melihat dirinya tidak lagi perlu memberikan perhatian kepada suami. Segala-galanya dipersiapkan ala kadar, dan ada ketika mengherdik suami.

Secara psikologinya, seorang lelaki tetap memerlukan layanan dari seorang wanita, terutama isteri. Isteri yang sudah menopaus merasakan ‘hubungan intim’ antara mereka berdua bukan lagi keperluan. Dan, kerana itulah ada ketikanya, sentuhan suami tidak dilayan bahkan diherdik seolah-olah ‘tidak jemu-jemu’.

Keajaiban sentuhan bukan atas tujuan seks semata-mata. Dari perspektif kesihatan, akibat sentuhan seorang lelaki, wanita akan mengeluarkan enzim oxytoxin. Enzim yang meransang rasa ingin disentuh oleh seorang lelaki mungkin semakin berkurangan disebabkan mentaliti wanita berusia agak sukar menerima si suami sebagaimana saat pertama mereka diijabkabulkan.

Isteri mungkin ingin merasakan sedikit ‘kebebasan’ apabila zaman-zaman sebelumnya terlalu banyak berkorban untuk menjaga anak-anak ketika suami mencari rezeki. Tetapi, setelah anak-anak sudah bekerja dan mempunyai kehidupan masing-masing, si isteri terasa suami bukan lagi tempat bergantung. Anak-anak boleh membantu, kalaupun ada yang menitipkan wang bulanan, anak-anak lebih mengutamakan ibu daripada bapa.

Sebagai seorang bapa, walaupun masih boleh menyara  kehidupan sendiri melalui wang pencen bulanan, sikap anak yang memberikan wang bulanan kepada ibu menyebabkan ibu mula mengalihkan pandangan, kalau suami tidak ada pun mereka boleh hidup. Mereka boleh hidup bersama anak-anak, sebab itulah, dalam keadaan apa pun, si isteri akan lebih ‘dengar cakap anak daripada suami sendiri’.

Hati seorang lelaki, boleh jadi mudah merajuk ataupun juga memendam perasaan. Lama kelamaan perasaan terpendam itu akan terlahir dalam tindakan, sekiranya jiwa yang terpendam itu meluap marah, isteri semakin melupakan hakikat bahawa dirinya masih ada suami.

Isteri menghabiskan masa dengan melayari dan melayani sembang maya. Kadangkala tidak peduli suami berada di sebelah. Komunikasi tanpa lisan yang dianggarkan mengandungi hampir atau lebih 80 peratus aktiviti komunikasi tidak dipedulikan. Sentuhan mesra saperti menjadi sesuatu yang menakutkan, seolah-olah si suami sedang ‘membuang tabiat’.

Dari perspektif agama, memeluk isteri adalah satu aktiviti yang menyehatkan. Ada ungkapan bahawa tindakan itu akan memberikan markah pahala, tetapi, apabila dilakukan oleh suami, suami dituduh ‘buang tabiat’. Isteri pula tidak menuduh dirinya sendiri ‘buang tabiat’ apabila lupakan suami, sebaliknya tidak boleh berpisah dengan telefon pintar, bangun pagi baca whatsapp, terjaga dari tidur tengok skrin facebook, sebelum tidur ikut campur celoteh rakan-rakan sama ada di mesengger atau whatsApp.

Apa akan jadi dengan fenomena saperti ini? Sentuhan bukan lagi menjadi pengerat kasih dan makna ritualistik sebaliknya ‘teknologi sentuhan’ mengambil peranan dalam nostalgia dan harapan yang belum pasti. Kesemuanya itu menjadikan kehidupan semakin berkecamuk, apatah apabila menemui celoteh nakal dan komen atau gambar yang boleh menduga kesetiaan pasangan.

Dr Seadah A Ghani dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) misalnya berkata “antara bukti yang dilihatnya adalah secara purata lima daripada 10 orang rakan karibnya bercerai pada usia emas.” Sebelum ini beliau hanya melihat fenomena itu banyak berlaku di Barat, tetapi selepas menamatkan pengajian di luar negara, ‘saya terkejut kerana ia juga semakin banyak di Asia termasuk Malaysia.” Ertinya, penceraian pasangan warga emas turut mencemaskan. (Rujuk: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0630&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz5bjQmMSXW )

Katanya, kebanyakan penceraian warga emas berlaku di peringkat kelima perkembangan keluarga, iaitu anak-anak sudah dewasa dan keluar rumah akibat belajar atau mengikut keluarga masing-masing. Ada lelaki, setelah memperoleh wang pensaraan mula merancang untuk berkahwin baru. Cerita bagaimana mereka kahwin di luar negara (Thailand atau Indonesia) banyak dilaporkan, tetapi akhirnya wanita-wanita muda yang dikahwini itu bukanlah teman yang setia, hanya mahukan wangnya sahaja. Selagi ada wang, selagi itu ada ‘sayang’.

Bagaimanapun, itu adalah satu perspektif, perspektif yang cuba menyalahkan lelaki. Memang ramai lelaki merasakan ‘naluri hidup’ mereka terbantut apabila isteri tidak lagi boleh disentuh dan ditegur. Ini kerana selepas umur 50 tahun, wanita seolah-olah ‘menutupi’ keinginannya kerana melihat sudah kehilangan ‘tarikannya’. Tetapi, itu bukan faktor dominan. Dominannya ialah sikap wanita itu sendiri yang semakin berusia semakin sukar difahami. Malah leterannya semakin sehari semakin menjadi-jadi sehingga kata-katanya kadangkala mendahului proses berfikir.

Emosi marahnya juga begitu kuat apabila keinginan luarannya tercabar. Akibat terlalu obsess dengan teknologi sentuh, banyak perkara yang hendak dicubanya. Dari menikmati makanan yang dipaparkan di laman sosial hinggalah membeli pelbagai barangan secara ‘online’. Barangan itu bukanlah suatu keperluan yang mendesak, tetapi kerana ‘terlajak obses’ boleh sahaja melakukan transaksi secara online. Bila ditanya untuk apa?

Memasak pun sesekali sahaja. Bukan saperti sebelumnya. Kalau dahulu memang betul setiap hari kerana anak-anak perlukan makanan. Sekarang anak-anak sudah dewasa dan hidup sendiri, kebanyakannya membeli makanan di kedai kerana lebih jimat berbanding masuk sendiri untuk berdua.

Nyatalah apa yang dibimbangkan oleh John Naisbit mengenai Zon Mabuk Teknologi sudah menjadi penyebab berlakunya keruntuhan rumah tangga pasangan Muslim di Malaysia. Kalau sebelumnya kita mendengar lafaz cerai melalui pesanan ringkas, surat elektronik, whatsapps dan messanger, tetapi kini, obsess teknologi sentuh juga menjadi punca penceraian, termasuk pasangan warga emas.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply