SERANGAN BUDAYA LUAR

Jika kita bercakap tentang masalah sosial, ia sangat luas skopnya.Ia bermula dengan individu  sebagai suatu elemen tersendiri dan ahli di dalam masyarakat.

Setiap individu itu ada pertalian dengan hubungan sosial. Jadi jika  kita melihat berlaku gejala sosial; ia tentulah ada hubungan dengan individu itu sendiri.

Bercakap tentang gejala sosial; ia membawa kita berbalik kepada masalah individu dan tentunya berkait rapat dengan pembinaan insan.

Mengikut ilmu sosiologi; karakter seseorang itu akan ditentukan oleh beberapa faktor dan gelagat sosial.Gelagat sosial ini akan mempengaruhi keseluruhan masyarakat.

Yang pertama  mempengaruhi institusi keluarga.

Di dalam tradisi Melayu terdapat perumpamaan seperti: “Kalau bapa kencing berdiri, anak akan kencing berlari.”

Itu menunjukkan bahawa keluarga sangat  memberi kesan kepada pembentukan insan atau individu.

Di dalam masyarakat kita sekarang ini,  sesebuah keluarga tentulah mengalami pertumbuhan yang tertentu-tidak lagi konservatif seperti dahulu.

Suatu ketika dahulu, institusi keluarga dianggap hampir satu-satunya penentu kepada corak pendidikan, tetapi dengan perkembangan dunia sekarang,  ia bukan lagi berpengaruh atau satu-satunya kuasa penentu.

Kerana sekarang kita sudah berada di era globalisasi, di era IT –justeru pengaruh keluarga semakin terhakis.

Pengaruh keluarga tidak lagi berlaku seratus peratus, tetapi mudah dipengaruhi oleh elemen lain terutamanya media massa.

Jika kita mahu kira di dalam peratus-mungkin tidak lagi sampai 50 peratus.Kalau dahulu mungkin melebihi 80 peratus.Sekarang kita dapat melihat bagaimana anak seorang guru agama pun sudah menjadi penjenayah misalnya.Sebaliknya anak “penyangak”  menjadi alim pula.

Yang keduanya ialah pengaruh rakan sebaya.Kadang-kadang anak yang dilahirkan di kalangan keluarga yang bagus (baik), tetapi berada di kalangan rakan sebaya yang tidak baik, anak-anak itu menjadi tidak baik.

Begitu juga yang berlaku sebaliknya, terdapat anak yang lahir di kalangan yang kurang baik  tetapi berada di kalangan rakan sebaya yang baik- anak itu menjadi baik pula.

Peranan rakan sebaya seperti rakan sepermainan dan rakan sekolah/kolej dan rakan lainnya ini amat besar pengaruhnya.

Kalau dahulu (tahun 60/70-an) ada “Sahabat Pena” , orang mencari rakan hanya melalui surat menyurat.

Tetapi sekarang anak-anak mencari rakan dengan pelbagai cara. Mencari melalui internet (sms, facebook, twitter ) dan pelbagai cara.

Kadang-kadang  anak-anak ini hatinya lebih menyayangi “peer” groupnya berbanding dengan keluarga atau adik beradik sendiri.

Mereka itu menjadi lebih rapat  kepada rakannya berbanding kepada keluarga sendiri.

Ini bermakna rakan sebaya merupakan  institusi kedua di dalam membentuk karakter individu.

Yang ketiganya ialah jiran tetangga.Di dalam Islam, apabila mahu mendirikan rumah kita hendaklah mendirikannya di tempat yang mempunyai persekitaran yang baik.

“Pastikan dahulu jiran tetangga yang baik sebelum memilih bentuk rumah yang diinginkan.!” Pesan Rasulullah.

Kalau di dalam masyarakat Melayu dahulu, apa sahaja yang berlaku di sekitarnya; masyarakat setempat dapat mengetahuinya.

Jiran tetangga turut memberi nasihat, tetapi tidak sebagaimana   kini; pengaruh jiran tetangga seolah-olah tiada langsung.

Jika berlaku penderaan atau sebagainya, jiran tetangga tidak mudah untuk menegur, ditakuti akan dikatakan suka mencampuri urusan orang lain dan sebagainya.

Jadi peranan keluarga dan jiran tetangga sudah mengecut. Apabila keadaan ini terjadi,  peranan lainlah (selalunya negatif) pula yang jadi pengganti.

Selain itu, peranan pusat-pusat ibadah seperti masjid,surau  dan sebagainya patut memainkan peranan.

Persoalannya sejauh mana komitmen kita terhadap masjid dan surau.Kalau dahulu-setiap hari kita sentiasa datang untuk solat berjamaah.Daripada situlah kita dapat tahu sama ada seseorang itu ada atau tiada; hidup atau mati mudah diketahui.

Saya juga ingin menyentuh tentang fungsi khutbah di masjid kita yang  tidak berfungsi dengan  baik.Ketika khutbah dibacakan ramai jemaah tertidur, ini berkemungkinan kerana khutbah tidak “up to date”.Para imam pula sekadar “membaca” khutbah sahaja.

Ia bermakna kepimpinan di masjid tidak begitu berkesan, tidak sebagaimana kepimpinan di masjid dahulu.

Satu lagi institusi lagi yang sangat penting ialah sekolah.Sekolah tempat mendidik dan menentukan sistem nilai umpamanya.Tetapi fungsi sekolah telah menjadi tempat pelajar mengejar markah; untuk mengejar supaya dapat skor A umpamanya.

Ia seolah –olah sekolah tidak lagi benar-benar menjadi institusi  mendidik insan.Ia bukan lagi tempat mengindoktrinasikan  nilai.Ia seolah-olah telah bertukar kepada tempat orang mencari kedudukan.Untuk mendapat biasiswa atau lain-lain penghargaan.

Sistem nilai juga semakin mengelirukan-umpamanya guru di sekolah mengajar sistem nilai yang baik itu sekian-sekian; tetapi di luar sana  orang yang mencuri atau makan rasuah disanjung-tetapi orang yang jujur ditolak ke tepi.

Saya juga ingin menyentuh tentang peranan kelab-kelab rekreasi; kalau masyarakat dahulu, kita berkreasi di majlis-majlis agama atau majlis kenduri perkahwinan.

Tetapi sekarang kita berkreasi ke tempat-tempat yang jauh daripada orang ramai-ia bukan bertambah baik (mesra) tetapi sebaliknya pula.

Sepatutnya tempat rekreasi menjadi lokasi meredakan masalah; tetapi berlaku sebaliknya-dia menjadi tempat orang mengorat, tempat khalwat atau  minuman keras.

Jadi institusi ini tidak lagi berfungsi dengan baik.

Yang tinggal hanyalah media massa.Ia suatu institusi yang sangat berpengaruh.

Hidangan  di media massa menjadi ikutan remaja dan orang muda –kita tengok seperti program “Sure Heboh” atau  Akademi Fantasia dan lain jadi sangat popular.

Oleh kerana  media massa di negara kita dipengaruhi   hampir keseluruhannya oleh Barat di bawah  suasana langit terbuka dan sebagainya. Maka orang kita  sudah dipengaruhi oleh media massa dengan segala nilai Barat yang ditonjolkan.

Jadi apabila kita melihat perkembangan semasa yang sangat dipengaruhi nilai dan  daripada perspektif budaya, maka kita akan nampaklah bahawa krisis itu sangat besar.

Apabila ada krisis, maka wujudlah konflik.

Kita menghadapi krisis akhlak yang lebih besar jika hendak dibandingkan dengan masyarakat  Cina misalnya.Sistem nilai mereka boleh berubah mengikut kepentingan atau keadaan.

Berbanding dengan kita yang Muslim yang berhadapan dengan keadaan semasa yang bertentangan dengan nilai yang kita sedia pegang.

Masalahpun  timbul sama ada mahu mengikut sepenuhnya nilai-nilai Barat atau mahu sesuaikan dengan nilai-nilai keislaman yang kita yakini.

Berbalik kepada institusi keluarga

Ia seharusnya bermula dengan keputusan  untuk memilih calon yang akan dijadikan pasangan hidup.Di sini pun telah berlaku “krisis”-kalau dahulu umpamanya, untuk mencari pasangan, kita hanya perlu merisik  di tempat kenduri-kendara.

 Ada juga orang tua yang mengatur “match making” antara keluarga dengan sesebuah keluarga.Tetapi sekarang sudah tiada, mekanisme lama itu sudah tidak lagi berpengaruh.

Dan orang yang mahu mencari jodoh juga menggunakan mekanisme baru-seperti mengorat dengan pelbagai cara.Dan di dalam hubungan  cara baru inilah banyak berlaku aspek yang terlepas pandang.

Anjuran Nabi s.a.w. sudah mula dilupakan di dalam tatacara mencari jodoh; ia tentulah tidak memberi kebaikan.Kebanyakannya terpengaruh dengan rupa paras dan ramai juga kerana  mementingkan glamor.

Maka di dalam perkahwinan itu banyak berlaku perebutan (struggle)  kepimpinan-siapakah  yang mahu memimpin rumahtangga?

Agama dan budaya kita mengatakan suami itu memimpin tetapi Barat mengatakan kita ini  setara (equal)-berlakulah kemelut berpanjangan.

Apabila belaku perebutan , terjadilah krisis di dalam keluarga. Kalau nasib baik –tidak berlaku perceraian-tetapi jika sebaliknya, ia  akan pecah berderai.

Kita dapati di dalam membina rumahtangga-yang sangat dipentingkan ialah nilai-nilai material.Kalau suami bagus materialnya-isteri akan kelihatan  baik.Tetapi jika suami kurang baik materialnya, isteri asyik  mengungkit dan membandingakan dengan lelaki lain.

Di sini berlaku krisis, pandangan serong dan berkemungkinan berlaku kecurangan.Apabila kehadiran anak, ia juga menambahkan pelbagai masalah.inilah kebanyakan krisis rumahtangga manusia sekarang.

Apabila berlaku krisis, cara penyelesaiannya bukan cara Islam pula.

Kalau dahulu, keluargalah (ibu bapa) tempat mengadu masalah sejak awal-awal berlaku krisis.Tetapi sekarang tidak sedemikian, maka banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku pun terjadi.Sekarang sudah jadi pengetahuan umum krisis rumahtangga masyarakat kita kerana rahsia keluarga sudah dibongkar di mahkamah.Kemudian disambut meriah oleh media massa.

Mahkamah kita pula bukan dilaksanakan secara seratus peratus menurut Islam.

Maka segala nilai didedahkan seluas-luasnya.Kalau dahulu ada istilah “rahsia umum” tetapi sekarang tidak ada lagi-yang ada ialah “pengetahuan umum”.

Krisis  institusi kekeluargaan masyarakat kita  ini semakin parah.Sudah ramai yang tidak segan silu bertukar pasangan-curang dan sebagainya-kerana institusi keluarga bukan lagi  suatu nilai  ikatan yang kuat.

Institusi kekeluargaan tidak lagi berfungsi sebagaimana sepatutnya.

Apabila bercakap tentang pembangunan material, kita tidak boleh mengetepikan begitu sahaja.Ataupun kita  mesti berpaling terus daripada pemodenan dan pengaruh Barat. Kita tidak boleh ketepikan realiti bahawa kita berada di dunia yang mempunyai langit terbuka.

Beberapa tahun lalu, kita pernah mendengar ibu bapa mengharamkan anak-anak menonton TV.Tetapi kesudahannya anak-anaknya mencuri-curi menonton di rumah jiran dan akhirnya banyak anak-anak itu hidup menyeleweng dan lebih teruk akhlaknya berbanding anak-anak orang lain yang mempunyai TV di rumah.

Jadi kita kena tegakkan rasional. Kita perhatikan kata ulama besar, Abul Hasan An-Nadwi di dalam bukunya,  “ Maza khasiral aalam…” diterjemah sebagai “ Kerugian Dunia kerana ‘kemunduran’ Islam”  mendedahkan bagaimana   sikap  terlalu ekstrem menolak Barat di samping  sikap terlalu ekstrem sehingga menerima Barat sepenuhnya sehingga kedua-dua golongan ini akhirnya “hancur.”

Kita dapat perhatikan terdapat golongan yang menolak terus Barat, sebagaimana Arab Saudi sebelum ini.

Tetapi akhirnya dia tidak mampu bertahan di dalam kepesatan dunia masa kini.Maka akhirnya “dinding”-nya runtuh sehingga mendatangkan “banjir” pula.Sekarang ini kalau kita melihat kasino-kasino di Barat, ramai sekali orang-orang Arab ini berjudi di dalamnya.

Jadi An-Nadwi berkata terimalah pengaruh Barat secara sederhana dan secara sedar dan cuba modifikasi menurut acuan dan budaya kita.

Tentang pendidikan seks

Pendidikan seks sudah lama wujud di dalam kitab-kitab fiqah kita.Umpamanya bab haidh, bab bersetubuh dan lain, semuanya telah ada di dalam kitab tetapi dipersembahkan di dalam persekitaran yang amat kondusif.

Anak-anak yang dianggap belum matang dilarang untuk mendengarnya.

Tetapi pendidikan seks yang  sedang cuba dipopularkan sekarang berdasarkan method Barat.Pada Barat, mereka hanya mahu hubungan seks itu berlaku dengan cara “teratur” supaya pelakunya tidak terkena penyakit AIDS dan lain-lain penyakit-itu sahaja.

Pada falsafah Barat, pendidikan seks sangat penting tetapi pada masyarakat kita ia juga perlu tetapi hendaklah dilaksanakan di dalam suasana yang amat kondusif.

Jangan dilakukan perbincangan secara terbuka kerana seks ini apabila semakin menjadi rahsia umum-ia semakin kuat daya tarikannya.

Jika dilakukan secara terbuka, maka kesannya ialah akan mudah dilakukan orang secara terbuka pula.Setakat ini kita dengar banyak perlakuan seks haram di luar rumah, terutama di kalangan muda dan remaja.

Jadi pendidikan seks ini berdasarkan “percubaan” kita.Jika percubaan itu ternyata positif ia patut diteruskan-tetapi kita harus berhati-hati kerana berkemungkinan negatif itu cukup banyak (tinggi).

Jangan terlalu terbuka (bebas) dan jangan juga terlalu konservatif.Kedua-duanya adalah penyelewengan.Justeru, ahli psikologi dan pendidik kita perlu berbincang secara serius sebelum memulakan pendidikan seks ini.

Tidaklah sekadar mendengar kata-kata ahli sosiologi atau orang politik sahaja.Para pendidik harus berbincang serius kerana kita sangat berbeza dengan Barat di segi pandangan hidup, budaya dan agama.

Kita jangan sekadar modifikasi cara Barat , tetapi lahirkan daripada falsafah kita sendiri-pendidikan seks berdasarkan Islam dan nilai-nilai budaya Melayu.

Begitu juga kita harus membina semula semua institusi bermula dengan institusi keluarga seutuhnya berlandaskan method [email protected]

Catatan Ibnu Abbas

No Comments

    Leave a reply