Serangan koronavirus adakah takdir?

Manusia diberi kemampuan untuk memilih pelbagai takdir Allah.Terbaharu serangan koronavirus yang melanda Asia kini adalah merupakan takdir Allah SWT yang berdasarkan hukum-hukum yang telah ditetapkan-Nya. Dan yang jelas jika manusia tidak cuba mengelak atau menghindari daripadanya, dia pasti akan menerima akibatnya dan itu adalah takdir.

Amat sedIh dan rasa terkilan ketika rencana ini ditulis beberapa hari yang lepas kita sudah masuk Jumaat kedua namun kenapa tiada khutbah khusus tentang bahaya koronavirus ini d  setiap Masjid seperti Putrajaya dan Masjid Negara contohnya. Apakah kerana penyedia teks khutbah belum bersedia untuk berbuat demikian.? Bagaimana pula dengan minggu ini? Biasanya dalam isu-isu tertentu khutbah menjadi salah satu medium untuk mengingatkan masyarakat supaya lebih bersiap  siaga. Jakim kenalah mengambil perhatian serius dalam perkara ini.

Segala kejadian yang menimpa manusia sehingga menimbulkan rasa sedih atau penderitaan selalunya disebut musibah. Ada hal-hal yang tidak diinginkan atau dihindari, ada pula yang diinginkan oleh manusia. Manusia mencuba seboleh mungkin untuk menghindari musibah, seperti bencana dan malapetaka ini, kerana tidak ada orang yang menginginkan kesedihan,penderitaan hingga menbawa kepada kematian.

Dalam hal ini apa yang sepatutnya kita lakukan.Pelbagai peristiwa penyakit yang mengancam manusia menyaksikan kepentingan manfaat doa atau berdoa. Walaupun bukan semua yang kita pohon akan tercapai tetapi kita tidak boleh meninggalkan doa. Yang penting kita perlu optimis.

Sesungguhnya kita tidak boleh berputus asa daripada menanti rahmat-Nya. Rasulullah SAW bersabda: Berdoalah kepada Allah disertai dengan keyakinan penuh bahawa Dia akan memperkenankannya.

Untuk mencapai sesuatu hajat dan hasrat, tumpuan utama ialah pergantungan kepada Allah.

Oleh itu dalam menghadapi musibah atau bala bencana seperti ini, tidak ada yang lain melainkan kita perlu mengunakan senjata-senjata orang mukmin yang ada iaitu doa, senjata fakir (contohnya sembahyang hajat) selain melakukan pelbagai ikhtiar dan usaha lain.

Justeru mari kita sama-sama menyempurnakan solat hajat dan berdoa kepada-Nya daripada kemudaratan musibah penyakit koronavirus yang sedang melanda negara ini. Selain itu kita juga tidak seharusnya mengetepikan ikhtiar secara perubatan moden.

Kita manusia tidak memiliki daya dan upaya selain mengharap pertolongan-Nya. Begitu juga ketidakupayaan kita untuk menolak sesuatu musibah.

Jadi, langkah terbaik adalah apa yang dianjurkan oleh agama iaitu berusaha, berdoa dan bertawakal. Agama menjadikan doa sebagai salah satu bentuk yang sangat jelas dari penghambaan diri kepada Allah. Justeru, Allah murka apabila hamba-Nya tidak memohon kepada-Nya.

Allah berfirman: Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakan mereka) maka kami seksa mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah Al-An’aam ayat 42-43).

Kita digalakkan sentiasa berdoa memohon kepada-Nya setiap ketika. Jangan menjadi seperti kaum musyrik yang hanya berdoa ketika dalam kesusahan. Sikap buruk mereka ini diceritakan dalam Surah Yunus ayat 12.

Antara lain firmannya yang bermaksud: Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya.

Sifat Allah sebagai Al-Mujib (Yang Maha Mengabulkan Doa) berfungsi saat permohonan diajukan kepada Allah atau ketika kita berkehendak kepada pertolongan-Nya. Dia mengabul atau memperkenankan semua permintaan atau permohonan hamba-Nya.

Jangan kata seorang mukmin yang ikhlas berdoa, syaitan pun dimakbulkan Allah SWT doanya ketika ia bermohon untuk dipanjangkan usianya hingga Hari Kebangkitan (al-Quran Surah Al-Araf ayat 14-15).

Dalam berdoa, kita wajib meyakini bahawa Allah akan memperkenankan-Nya. Kita ucapkan kalimah istighfar (mohon keampunan) yang bukan sahaja dapat menghindari musibah daripada diri sendiri tetapi juga pada orang-orang yang berada di sekitarnya.

Banyak manfaat yang kita perolehi melalui zikir atau doa dan tidak sedikit mudarat yang menimpa jika manusia mengabaikannya. Kerana keengganan melakukan doa maka ia boleh diertikan sebagai satu bentuk penolakan manusia akan hakikat kebergantungan kepada Allah SWT.

Dari hakikat ini sebenarnya tidak ada tempat bagi seseorang atau masyarakat untuk berputus asa atau hidup dalam pesimis.

Mari kita hadapi kesulitan ini dengan penuh optimis dan melakukan pelbagai ikhtiar secara fizikal dan kerohanian. Sandarkan sepenuh harapan kepada bantuan Allah SWT.

Doa Nabi Ayyub a.s yang didatangi berbagai cubaan, sangat menarik untuk dihayati. “Ingatlah akan hamba Kami, Ayyub, ketika dia menyeru Tuhannya, “Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan.” Perhatikanlah begaimana beliau tidak menyatakan bahawa yang menjadikan beliau sakit dan ditimpa berbagai cubaan adalah Allah s.w.t, tetapi syaitan. Sebabnya kerana sangat tidak wajar menisbahkan keburukan kepada Allah s.w.t. Nabi Ibrahim pun berucap demikian, “Kalau aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkanku.”

Agama tidak melarang kita mengeluh, lebih-lebih lagi kalau keluhan ditujukan Allah sambil berusaha. Ketika itu, keluhan menjadi tanda optimis. Para nabi pun mengeluh, Ingatlah hamba kami, Ayyub, ketika dia menyeru Tuhannya, “Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan.” Dengarkan juga keluhan Nabi Yaakub a.s yang ucapannya diabadikan di dalam al-Quran, “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahanku dan kesedihanku.” Nabi Muhammad s.a.w juga demikian, beliau mengeluh ketika di Mekah ditolak dan di Thaif pun diganggu, “Wahai Tuhanku! Kepada siapa Engkau serahkan aku? Kepada musuh yang selalu menggangguku atau kepada teman yang patah sayap menghadapiku? Akan tetapi, selama Engkau tidak murka kepadaku, aku sama sekali tidak peduli.”

Seorang muslim diwajibkan menghindari musibah dan mengatasi musibah yang menimpa dirinya. Contohnya ialah seseorang itu mesti menjaga kesihatan supaya tidak terkena penyakit. Namun apabila sakit, maka ia perlu mengubati penyakit itu agar sembuh. Usaha yang harus dilakukan oleh manusia untuk menghindari musibah bukan hanya dengan menghadapinya tetapi juga dengan mencegahnya.

Selain itu, Allah juga mengingatkan orang-orang yang beriman agar tidak menjatuhkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Seorang mukmin harus mengetahui dan menyedari hakikat takdir sehingga ia mampu menjalani kehidupan dan melaluinya dengan tenang. Tidak panik ketika bencana datang, pun tidak gelisah ketika musibah menimpa. Juga tidak bergembira secara berlebihan ketika memperolehi nikmat.

Takdir adalah ketentuan daripada Allah Yang Maha Kuasa sehingga manusia harus menerimanya, sama ada hal yang baik mahupun yang buruk. Kepercayaan kepada takdir merupakan salah satu daripada enam rukun iman.

Mempercayai takdir bererti beriman kepada ilmu Allah yang qadim, yang meliputi segala sesuatu, baik yang telah mahupun yang akan terjadi. Dialah yang menuliskan segala hal di Luh Mahfuz. Semua yang terjadi adalah kerana kehendak dan keinginan-Nya. Allah Maha Kuasa melakukan apa pun. Allah yang menciptakan semuanya. Tiada tuhan selain Dia. Tiada pencipta selain Dia. Tiada Yang Maha Mengatur selain Dia.

Dari segi realiti, memang benar kita tidak boleh lepas daripada takdir Tuhan. Tetapi takdirnya tidak hanya satu.

Tetapi bila dia berusaha menghindarkan diri daripada bahaya tersebut, maka itu pun takdir. Bukankah Allah telah memberi manusia itu kemampuan untuk memilih?

Sesuatu yang tidak difahami apabila seseorang itu mengingati takdir pada waktu kesusahan dan lebih mengelirukan lagi apabila mempersalahkan takdir bagi bala bencana yang menimpanya. Mereka menutup kesalahan-kesalahannya dengan dalih takdir.

Manusia mempunyai takdir sesuai dengan ukuran yang diberikan oleh Allah atas­nya. Manusia tidak dapat terbang seperti burung. Ini adalah takdir-Nya atau ukuran kemampuan yang ditetapkan oleh Allah ke atas manusia.

Di samping itu manusia berada dalam lingkungan takdir, sehingga apa yang dilakukannya tidak terlepas daripada hukum-hukum dengan bermacam kadar ukurannya itu. Kita dapat memilih yang mana di antara takdir (ukuran-ukuran) yang ditetapkan oleh Allah untuk kita ambil.

Dalam satu peristiwa Saidina Umar al-Khatab enggan memasuki satu daerah yang dihinggapi wabak taun. Beliau kemudian ditanya: “Apakah kamu menghindari daripada takdir Allah?

Umar berkata: “Saya menghindari daripada takdir yang satu ke takdir yang lain.

Kejadian wabak penyakit taun ini me­rupakan takdir Allah. Maknanya dengan menghindarinya sehingga selamat daripada penyakit tersebut juga takdir. Jadi adakah ini bermakna ada takdir baik dan takdir buruk? Tapi kita perlu ingat, kita diberi takdir untuk memilih.

Justeru, jangan hanya ketika terjadi malapetaka kita mengucapkan “itu takdir. Ucaplah juga di saat memperoleh kesenangan. Takdir tidak sama dengan me­nerima nasib secara pasrah dalam erti tidak mahu berusaha sama sekali.

Doktrin tentang takdir dalam Islam tidak mengarahkan manusia kepada sikap fata­listik atau menyerah kalah kepada nasib. Islam sangat menekankan pentingnya usaha dan amal perbuatan.

Dalam al-Quran dinyatakan bahawa manusia tidak akan mendapat sesuatu selain yang dia usahakan, dan bahawa hasil usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan dibalas dengan balasan yang setimpal.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya, dan bahawa sesungguhnya usaha itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat kelak), kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (Surah al-Najm ayat 39-41).

Ayat ini sering dijadikan rujukan bahawa makna takdir harus diletakkan secara seimbang dengan mempertimbangkan peranan ikhtiar.

Dalam teologi Islam diajarkan bahawa Tuhan berkehendak mutlak. Tuhanlah yang menciptakan alam termasuk manusia. Kerana itu, kebebasan manusia sangat kecil di hadapan Tuhan. Secara alamiah sesungguhnya manusia telah memiliki takdir yang tidak boleh diubah. Manusia secara fizik tidak boleh berbuat lain kecuali mengikuti hukum alam.

Tetapi manusia memiliki daya kreatif. Inilah yang menyebabkan manusia bebas berfikiran dan berkehendak. Kehidupan manusia, menurut teologi Asyariah, merupakan realisasi daripada apa yang digariskan Tuhan pada saat azali, sama ada kehidupan yang baik ataupun yang buruk, beruntung atau rugi dan senang atau derita. Manusia akan menjalani semua ini sejak lahir hingga mati.

Oleh Mohd Shauki Majid Pengarah Media Dan Komunikasi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia(OMIW)

Sumber : malaysiadateline.com

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply