Setelah Matinya Kepakaran, Pak Pandir Adalah Raja!

 

Dr Zubaidi Hj Ahmad pernah menulis: Saya menyedari ramai ibu bapa yang agak khuatir untuk memberikan suntikan vaksin kepada bayi mereka. Ini kerana mereka membaca berita-berita dari internet mengenai bahaya vaksin, padahal berita-berita ini diberitahu oleh orang yang tidak ada ilmu perubatan dan kebanyakan hujah yang diberikan adalah tidak benar.

Malah ada yang di kalangan kita menuduh bahawa program vaksin yang diberikan adalah konspirasi jahat untuk melemahkan umat Islam di seluruh dunia. Kononnya dengan pemberian vaksin ini akan menyebabkan umat Islam menjadi mudah diserang penyakit.

Saya sebenarnya tidak faham bagaimana teori konspirasi ini telah diterima oleh sebahagian daripada kita. Padahal dengan tidak memberikan vaksin, kita sebenarnya mendedahkan diri anak-anak kita dengan kemungkinan-kemungkinan dijangkiti penyakit berbahaya ini. (Rujuk: drzubaidi.com/blog/vaksin-untuk-bayi-kita-adakah-selamat/).

Dr Zubaidi ialah seorang doktor perubatan lulusan sebuah fakulti perubatan terkenal di India, Kastuba Medical College, Manipal, India. Kini, Dr Zubaidi ialah pegawai perubatan kanan di Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd. Beliau aktif menulis untuk membolehkan orang ramai berkongsi pengetahuan berguna mengenai perubatan dan kesihatan.

Tetapi, saya menolak pandangan Dr Zubaidi yang lain, iaitu “Hanya orang-orang kita skeptikal terhadap program imunisasi ini, sedangkan orang-orang lain berlumba-lumba untuk menyiapkan diri mereka dengan perlindungan imunisasi agar tidak dijangkiti oleh virus-virus berbahaya” sebaik sahaja selesai membaca buku tulisan Tom Nichols, The Death of Expertise: The Campaign against Established Knowledge and Why it Matters (2017). Bacaan saya adalah versi terjemahan bahasa Indonesia, Matinya Kepakaran: Perlawanan Terhadap Pengetahuan Yang Telah Mapan dan Mudaratnya yang diterbitkan oleh Kepustakaan Popular Gramedia pada bulan Disember 2018.

Perkara yang dibincangkan oleh Dr Zubaidi tentang penolakan suntikan vaksin bukanlah berlaku di Malaysia sahaja, dan menurut Tom Nichols ia juga berlaku di Amerika Syarikat akibat berkembangnya fahaman anti-intelektual dalam masyarakat awam sehingga kepentingan para pakar atau tenaga professional dalam pelbagai bidang semakin dipandang sinis kalaupun tidak ditolak sepenuhnya.

Fenomena itu bukan satu perkara baharu, bahkan ia telah muncul sejak sekian lama, dari permulaan pertembungan pandangan tradisi-moden dan menjadi lebih parah sejak munculnya internet, yang dianggap ‘hampir saperti evolusi terbalik: kita menjauhi pengetahuan yang teruji dan mundur menuju legenda dan mitos yang disampaikan dari mulut ke mulut. Hanya sekarang semua itu dikirimkan melalui alat elektronik.”

Bagi Tom Nichols, “saat ini bukanlah soal bagaimana orang-orang menolak keahlian, melainkan betapa seringnya mereka melakukan itu, di banyak isu, dan dengan kemarahan. Lagi-lagi, serangan terhadap kepakaran mungkin memang kian jelas akibat internet, perbincangan tanpa aturan di media sosial, dan tuntutan sirklus berita dua puluh empat jam….sikap selalu merasa benar dan penolakan…bukan hanya masalah ketidakpercayaan atau keraguan; ini adalah narsisme, yang digabung dengan penghinaan terhadap kepakaran, sebagai sejenis bentuk praktik aktualisasi diri (hal.xiv).

Secara psikologinya, fenomena ini dikenali sebagai kesan Dunning-Kruger. Dua ahli psikologi dari Universiti Cornell, Amerika Syarikat dalam penyelidikannya pada tahun 1999 menemukan fenomena semakin bodoh seseorang itu maka semakin yakin bahawa dirinya tidak bodoh. Sifat bodoh didasarkan kepada “tidak berkeahlian” atau “tidak kompeten” seseorang itu dalam perkara yang dijadikan bahan perbahasan, yakni “mereka bukan hanya salah dalam menyimpulkan dan membuat pilihan; inkompetensi juga merampas kemampuan mereka menyedari kesalahan tersebut” (hal.52) yang dalam bahasa Melayu sejalan dengan peribahasa, ‘cerdik tidak boleh diajar, bodoh tidak boleh ditegur’.

Wataknya, sombong dan angkuh dengan pendirian sendiri walaupun salah atau tidak memahami apa sebenarnya yang dibincangkan. Itulah sebabnya dalam permainan media sosial dipanggil ‘cognitive surplus’ oleh Clay Shirky (Rujuk Clay Shirky, Cognitive Surplus: How Technology Makes Consumers into Collaborators, 2010). Lebih menyedihkan, apabila ditegur mengenai ‘kedungunan’ itu, pelakunya membuat olahan yang lain sehingga memunculkan perkataan jelek, kata-kata nista dan maki hamun yang tidak sepatutnya berlaku dalam era manusia yang dianggap lebih moden dan berperadaban.

Kita di Malaysia mungkin masih belum lupa bagaimana ‘kematian seorang tokoh’ telah diberikan kupasan yang buruk oleh pihak yang menganggap dirinya adalah lebih baik dan mulia. Bahkan ketika menerima berita pemergian seorang tokoh agama, beberapa orang mengeluarkan kenyataan ‘menghina’ tanpa sedar bahawa dirinya sedang mengidap narsisme, atas sifatnya yang tidak menghormati nilai-nilai kemanusiaan dan keadaban bermasyarakat. Ini berlaku kerana kita ‘menilai diri kita terlalu tinggi’ dan melihat orang lain sebagai sesuatu yang remeh atau membosankan.

Tom Nichols pada asalnya menulis tema ‘matinya kepakaran’ sebagai sebuah rencana untuk blog pribadi pada tahun 2013, The War Room. Tulisan itu kemudiannya dikembangkan menjadi sebuah artikel setelah diminta oleh Sean Davis dari The Federalist. Apabila disiarkan, ia mendapat perhatian lebih sejuta pembaca di seluruh dunia. Populariti itu menyebabkan David McBride dari Oxford University Press meminta Tom Nichols mengembangkannya menjadi sebuah buku. Ketika itu beliau adalah professor di US Naval War College dan Harvard Extension School dalam bidang pengajian Rusia, senjata nuklear dan Hal Ehwal Keselamatan Negara.

Pernah bekerja sebagai penasihat Keselamatan dan Pertahanan kepada Senator Joh Heinz dari Parti Republikan.Tom Nichols adalah ahli kepada pergerakan Never Trump dan semasa kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, beliau mencadangkan agar golongan konservatif memilih Hillary Clinton kerana Donald Trump berhadapan dengan ‘ketidakstabilan mental’. Awal Oktober 2018, Tom Nichols tidak lagi menganggotai Republikan.

Selain persoalan penolakan vaksin, Tom Nichols turut membincangkan bagaimana sikap masyarakat awam turut menolak pandangan para pakar berkaitan kesihatan, politik dan sebagainya sehingga mereka lebih mempercayai ‘pendapat peribadi’ seseorang yang digelar selebriti. Ketika masyarakat awam lebih mempercayai pandangan Gwyneth Paltrow, pelakon, peniagawati dan penulis buku masakan, Tom melihat telah berlaku fenomena penolakan yang besar terhadap kepakaran doktor-doktor perubatan mengenai pencegahan penyakit kanser (GOOP.com.).

Paltrow, pada tahun 2014 pernah menulis mengenai panduan gineakologi mengenai kesihatan vagina dengan menganjurkan duduk terkangkang saperti di ‘singgahsana mini’ dengan membiarkan ‘kombinasi inframerah serta kukusan tumbuhan mugwort untuk membersihkan rahim’  bukan sahaja sekadar melepaskan wap tetapi juga ‘menyeimbangkan tingkat hormon perempuan.’

Idea atau amalan yang dicadangkan oleh Paltrow ditolak oleh banyak pakar atas alasan pelakon berkenaan sebenarnya tidak memahami dengan kesihatan dan sains perubatan. Seorang ahli geneakologi, Jen Gunter, mengkritik bahawa ‘wap tidak akan masuk ke rahim dari vagina’ kecuali dengan menggunakan alat tertentu untuk memberikan tekanan tambahan. Apa pun wap yang dikeluarkan oleh mugwoort, wormwood ‘tidak akan dapat membantu menyeimbangkan hormone reproduksi, mengatur sirklus menstruasi, mengatasi depresi atau menyembuhkan ketidaksuburan. Bahkan estrogen yang sudah diwapkan tidak dapat melakukannya.” (hal.140).

Disebabkan Paltrow ‘faham sains’, Laura Hooper Beck, seorang penulis satira menyindir sekiranya dia diminta berbuat demikian sebagai ‘seorang doktor’ dia tidak sanggup melakukannya kerana ‘seorang perempuan kurus berambut pirang yang mengenakan rambut palsu buruk mengatakan bahawa meniupkan udara panas ke vagina akan menyembuhkan semua hal yang pernah saya alami, termasuk hubungan buruk dengan ibu saya, maka saya akan mendengarkannya’.

Zaman dahulu, perempuan Amerika yang bijaksana harus ‘mengerahkan banyak sekali usaha untuk mengetahui cara aktris Hollywood memanaskan salurannya. Sekarang seorang perempuan yang mencari jawapan mengenai banyak hal, dari mode hingga ke kanser rahim, menggunakan lebih banyak waktu membaca GOOP, ketimbang berbicara dengan doktornya.” (hal. 141). Itulah pengaruh selebriti dalam kehidupan masyarakat awam walaupun diketahui bahawa selebriti itu bukanlah seorang pakar perubatan, apa yang dikatakan tetap berpengaruh dan dipercayai, mengatasi kepercayaan kepada pakar yang bertahun-tahun merawat atau menyelidiki masalah geneakologi perempuan.

Hal yang sama terjadi di Malaysia apabila seorang artis berpengaruh bercakap mengenai politik, pandangan dan pendapatnya walaupun kelihatan ‘bodoh’ atau ‘konyol’ tetap mempunyai pengaruhnya bagi sesetengah orang awam, termasuklah pengundi muda yang memuja selebriti tersebut.

Fenomena ini dipanggil oleh Tom Nichols sebagai ‘bias konfirmasi’, iaitu ‘kecenderungan alami untuk hanya menerima bukti yang mendokong hal yang sudah kita percayai. Kita juga memiliki pengalaman peribadi, prasangka, ketakutan, bahkan fobia yang membuat kita enggan menerima nasihat para pakar….Internet bukan hanya membuat kita lebih bodoh, melainkan lebih kejam: sendirian di balik papan ketik, banyak orang berdebat dan bukan berdiskusi, serta menghina dan bukan mendengar.’ (hal. 9-11).

Sebab itulah pandangan bodoh dan keliru berjaya mengalahkan pandangan yang berinformasi dan berfakta kerana orang tidak lagi menggunakan maklumat untuk berfikir ataupun sebagai input untuk membuat keputusan rasional, emosi menduduki tangga teratas dalam kewajaran baharu realiti likes, followers, share dan mesin pencari saperti google atau yahoo. Kini, data besar menjadi tumpukan ‘kecerdikan buatan’ dan populariti sementara yang meresahkan kebenaran dan terus dibiarkan berselimut dengan hipokrasi. Kita tahu, ada sekumpulan agensi yang tugasnya ialah menaikkan jumlah followers atau likes seseorang sekiranya dibayar untuk berbuat demikian walaupun orang yang melakukannya tidak faham atau merasai nilainya sesebuah pendapat atau pandangan.

Akibat komersialisasi, kapitalisma boleh menentukan rupa dan wajah manusia di dunia maya. Semua yang berniaga atau yang ingin memulakan perniagaan, melihat fenomena tersebut sebagai suatu peluang atau potensi, dan kerana itu mereka sanggup membayar seseorang untuk menulis ‘perakuan’ walaupun tidak pernah tahu bilakah produk itu muncul. Seorang yang mempunyai pengikut yang besar, boleh dibayar oleh syarikat tertentu untuk menjadi duta produk atau mengulas manfaat produk berkenaan sehingga warganet boleh percaya. Malangnya dalam perakuan tersebut tidak disebut bahawa produk berkenaan sebenarnya adalah ‘hampas’ yang muncul dalam dunia perubatan, hanya berselindung di sebalik nama herba dan campuran petua tradisional tanpa ujian klinikal dan pencerakinan bahan kimia.

Ramai yang percaya, herba tidak mengandungi kimia. Ia sesuatu yang silap dan dungu kerana kimia semulajadi terhasil daripada bahan alami, termasuk herba dan buah-buahan. Kita mungkin pernah mendengar, ada orang mengalami kesakitan yang semakin teruk hanya kerana enggan bertemu dengan doktor dan menghabiskan waktu-waktu perawatan dengan mengambil bahan-bahan alami atau makanan tambahan yang disyorkan oleh ‘penjual ubat’ yang tumbuh lebih hebat daripada cendawan selepas hujan.

Mereka menggunakan banyak perakuan kesembuhan yang menakjubkan sehingga orang awam percaya, sehingga, orang awam  tidak percaya bahawa pihak berwajib telah mengharamkan produk berkenaan kerana mengandungi dadah atau racun berjadual. Alasannya mungkin banyak, menemui doktor pakar adalah sesuatu yang menjemukan dan memakan masa sedangkan memperoleh ‘makanan tambahan’ adalah lebih mudah dengan hanya membuat pembelian secara online, produk berkenaan akan dihantar ke rumah dalam waktu yang singkat. Apatah lagi produk berkenaan dilabelkan sebagai ‘halal’ dan ‘tidak mengandungi kimia’ atau ‘wang dikembalikan jika tidak berpuas hati’. Tetapi, apabila sakit berterusan, hospital tetap menjadi tempat terakhir berikhtiar?

Menarik lagi apabila timbulnya situasi ‘orang biasa merasakan dirinya adalah timbunan pengetahuan’ dan ‘yakin dirinya tahu lebih banyak dibandingkan dengan para ahli, berpengetahuan luas berbanding dengan para pensyarah, dan lebih berwawasan daripada massa yang menurutnya mudah dibohongi; mereka adalah para pemberi penjelasan yang sangat senang memberikan pencerahan mengenai apa-apa saja kepada kita, mulai dari sejarah imperialisme sampai bahaya vaksin”. (hal. 15). Bahan-bahan yang dihendak dijual atau dijadikan ‘komoditi’ digambarkan begitu menakjubkan sehingga boleh memberikan ‘kepuasan hingga ke pagi’ dengan penjualnya adalah wanita muda, seksi dan gebu (kisah ‘ubat kuat untuk lelaki’ secara online). Dunia perniagaan yang hiperkeliru dan tersangat dungu sehingga membawa kepada fenomena ‘penolakan terhadap nasihat para pakar sebagai lambang kecanggihan budaya.’ (hal.25)

Mengenai tersesat di mesin pencari (search engine), Tom Nichols, semakin lama kita berada di dalamnya, kita mungkin akan termakan ‘khayalan bodoh’ kerana google  dianggap benar dan para pakar adalah salah. Mengakses internet, dalam keadaan tertentu ‘membuat orang berfikir mereka telah belajar sesuatu, pada hal kenyataannya, mereka tenggelam dalam lebih banyak data yang tidak mereka fahami. Ini terjadi kerana, setelah cukup lama mencari, kita tidak mampu lagi membedakan antara hal yang sekilas kita lihat dan hal yang benar-benar kita ketahui…..Orang merasakan dirinya cerdas kerana telah mencari di internet, sama saperti orang berfikir mereka perenang yang hebat hanya kerana basah setelah melewati hujan badai.’ (hal.142-145). Orang semakin kehilangan ‘kemampuan mengenali’ kerana tidak ramai yang benar-benar membaca artikel yang ditemui di internet. Mereka tidak membaca sebagaimana yang difahami oleh baby boomers, “mereka hanya membaca sekilas secara horizontal sepanjang judul, halaman isi, dan abstrak dengan cepat.” Mereka mencari ‘bukan untuk belajar’ tetapi ‘memenangkan argumen atau mengorfirmasi keyakinan yang sudah ada.” (hal. 146).

Tom Nichols menggambarkan ‘matinya kepakaran’ saperti ‘rubah dan landak’. Beliau meminjam gagasan pemikir Inggeris, Isaiah Berlin ketika membandingkan antara ‘pakar yang berpengetahuan luas dan inklusif’ dengan orang yang berpengetahuan sedikit dan keahlian yang sempit. Pada tahun 2005, Philip Tetlock mengumpulkan data mengenai ramalan pakar dalam ilmu sosial dan ditemukan bahawa ‘kecurigaan ramai orang awam bahawa pakar tidak sepenuhnya tahu apa yang mereka kerjakan.’ (hal.242). Tetlock meminjam analogi Isaiah Berlin, rubah lebih mengungguli landak dalam banyak perkara. Landak cenderung ‘terlalu fokus mengeneralisasikan pengetahuan spesifik’ di luar kompetensinya, sedangkan rubah, ‘mengintegrasikan lebih banyak informasi dan mengubah pendapat ketika dihadapkan dengan data baharu yang lebih baik’.

Gaya berfikir rubah, mengkritik diri sendiri dan selalu mempertimbangkan yang berlawanan berjaya mencegah ‘enthusiasme berlebihan’ sedangkan landak tidak melakukannya kerana menganggap ‘telah memiliki cukup informasi’. Inilah fenomena pakar sebenarnya, akan sentiasa memperlengkapkan dirinya dengan pengetahuan baharu dan sedia menukarkan pendirian lama sekiranya pendirian itu tidak lagi menepati piawaian atau prosedur semasa. Para pakar tidak membuat kesimpulan secara bersendirian, ia akan melihat dan mencari keputusan-keputuan yang lebih baharu, yang diambil oleh institusi yang dianggotainya ataupun institusi profesional yang dirujuknya.

Memang benar, pakar bukanlah seorang yang mampu ‘menghidupkan orang yang telah mati’ tetapi pakar memperoleh pengetahuan mengenai sebab-sebab yang membawa kepada kematian seseorang, berdasarkan bedah siasat ataupun simpton yang dikaji. Atas perihal itu, orang awam seharusnya bersedia memahami bahawa pakar juga adalah manusia, dan tidak terelak daripada melakukan kesilapan. Yang berbeza ialah pakar mungkin melakukan kesalahan, tetapi, tidak mengulangi kesalahan yang sama berulang kali dan sentiasa berusaha meminimumkan kegagalan, sedangkan orang awam, membuat keputusan berdasarkan ‘hearsay’ dan trial and error. Ertinya, mengulangi kesilapan adalah lebih besar berlaku dalam kalangan orang awam, akibat  trial and error.

Begitulah mengenai pandangan umum terhadap ‘bahayanya vaksin’ terhadap anak-anak. Saperti  ditulis oleh Dr Zubaidi, pada tahun 2014, ada sejumlah 102 laporan kejadian buruk mengenai imunisasi, tetapi ia adalah begitu kecil, iaitu 0.000025 peratus daripada 4.1 juta dos yang diberikan. Ertinya, pakar telah menyelamatkan lebih banyak nyawa kanak-kanak dan tidak semua yang mengalami ‘kesan buruk’ itu cacat atau meninggal, kesannya dapat dipulihkan dalam beberapa hari. Dan, kerana itu, memberikan vaksin kepada kanak-kanak akan membantu menghindari mereka daripada penyakit di masa hadapan, terutama apabila mereka bebas bercampur dengan lebih ramai orang di tempat terbuka, dan juga di ruang-ruang awam yang lainnya.

Tom Nichols mencadangkan lima tindakan untuk mengelakkan daripada ‘matinya kepakaran’ dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Lima cadangan itu ialah: (1) pakar bukanlah dalang kerana yang membuat keputusan terakhir ialah elit berkuasa; (2) pakar tidak mampu mengarahkan pemimpin mengikuti atau menerapkan apa yang dicadangkan; (3) tidak ada seorang pakar pun yang mampu memandu cadangan dari permulaan pembinaan konsep hinggalah kepada pelaksanaannya; (4) pakar tidak dapat mengendalikan seberapa banyak cadangan yang akan dilaksanakan oleh pemerintah; dan (5) pakar hanya dapat menawarkan pilihan atau alternatif.

Misalnya mengenai perubahan iklim, para pakar mampu mengemukakan model dan peninjauan suhu untuk beberapa ratus tahun sebelumnya, tetapi tidak mampu meramalkan apa yang harus dilakukan terhadap perubahan iklim.

Pakar dapat memberitahu orang awam apa yang bakal terjadi, tetapi orang awam perlu melibatkan diri untuk mengurangkan kepanasan global dengan tidak membebaskan ‘gas rumah kaca’ termasuk mengurangkan penggunaan tenaga fosil, menjaga kehijauan pokok, flora dan fauna, dan yang paling penting ialah tidak terlalu ghairah ‘membakar hutan’ demi menguatkan ekonomi. Ia perlu keseimbangan agar kelestarian alam terus terpelihara, dan para pakar boleh memberikan cadangan bagaimana melakukannya.

Banyak hal yang dibincangkan dalam buku ini. Begitu juga persoalan yang dimaksudkan dengan demokrasi yang semakin tercemar dengan nilai-nilai kapitalisma dan seruan kemakmuran ekonomi. Akibatnya, demokrasi saperti momokan yang terlalu manis bagi mereka yang berkuasa, tetapi terlalu perit bagi orang awam sebagaimana berlaku di Amerika Syarikat sekarang, kerana semua perkara perlu melibatkan ‘rundingan awam’. Ia bukan sahaja memakan masa, bahkan menyebabkan konflik tidak dapat dibendung dengan cepat dan masalah terus berlarutan sehinggalah keputusan secara demokratik diperoleh.

Tom Nichols berjaya mengingatkan pembaca, bahawa memang pakar tetap perlu dan diperlukan, walaupun orang awam melihatnya sebagai ‘tidak menyenangkan’ kerana pakar tetap mampu memberikan pandangan alternatif yang boleh membantu elit politik membuat keputusan, sama ada sejajar atau berlawanan. Jika ada kesilapan, kesilapan itu adalah tanggungjawab elit politik kerana merekalah sebenarnya yang membuat keputusan, bukan para pakar.

Sebuah buku yang menarik dan berjaya memberikan kita suatu perbincangan yang jelas bagaimana dilema intelektual yang dipercepatkan dengan banjir maklumat yang dianggap ‘sampah’ bertarung dalam lebuh raya digital yang kita agung-agungkan sebagai kemuncak peradaban manusia menuju Revolusi Industri 4.0.

Harapan sebenar penulis ialah agar Pak Pandir tidak akan menjadi raja, kerana kepakaran masih diperlukan sampai bila-bila. Itulah kesimpulan setelah menghabiskan hampir dua hari cuti Tahun Baru Cina membaca dengan tekun buku yang dilihat provokatif ini.

Sebelumnya, saya pernah membaca The Death of Distance: How Communications Revolution is Changing Our Lives (tulisan Frances Cairncross, 2001) tetapi kali ini saya tidak mahu The Death of Expertise benar-benar berlaku dalam kebuasan internet dan media sosial, juga kerakusan mengeksploitasi ‘data raya’. Kita khuatir, ia akan menyemarakkan ‘penipuan besar’ sebagaimana dibeberkan oleh Seth Stephens-Davidowitz, Everybody Lies: Big Data, New Data, and What the Internet Can Tell Us About Who We Really Are (2017). Kamarun KH

Nama Buku  : Matinya Kepakaran

Nama Pengarang: Tom Nichols

Nama Penerbit : Kepustakaan Popular Gramedia, 2018

Jumlah Halaman: 293 + xviii

 

 

.

No Comments

    Leave a reply