Setiap orang ada legasinya, ia tidak boleh dihapuskan

Sedih dan pilu apabila membaca dakwaan bahawa akibat percaturan politik yang berlaku dalam negara, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menuduh akibat kritikan pedasnya terhadap kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak maka legasinya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke empat sedang mengalami proses penghapusannya.

Seperti yang dilaporkan Aedi Asri dalam “Di satu sudut kota yang dibinanya, Dr Mahathir terus gigih melawan”, Free Malaysia Today, 23.5.2017 bahawa “satu demi satu legasi yang dibinanya sepanjang 22 tahun mentadbir negara cuba dihapuskan” dengan memberi contoh ‘tiada lagi perlumbaan Formula One di Litar Sepang dan Wawasan 2020’ walaupun masyarakat umum sedar ia dilakukan atas pertimbangan yang wajar, bukannya suatu hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Mengendalikan perlumbaan Formula One memerlukan perbelanjaan yang besar, tetapi kerana keegoan Dr Mahathir sendiri ia tetap mahu melakukannya kerana beliau mengajar rakyat tempatan dengan etos ‘buat dahulu berhujah kemudian’ dan atas sifat itulah semasa beliau mentadbirkan negara sering menyerang sesiapa yang tidak bersetuju dengannya.

Pernah suatu ketika Dr Mahathir mendisiplinkan para menteri agar tidak bercakap dan berbahas panjang lebar mengenai sesuatu perkara, kerana beliau percaya dengan ‘banyak bercakap sesuatu perkara tidak akan menjadi kenyataan’ dan sikap yang sama telah diambil ketika menyerang Tunku Abdul Rahman dalam surat terbukanya sehingga menyebabkan keanggotaannya dalam UMNO terputus pada tahun 1970 selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum 1969 kepada calon PAS, Yusuf Rawa di Kota Setar Selatan dengan majoriti 989 undi.

Dr Mahathir yang tidak mahu mengakui kesilapan sendiri sebaliknya telah menyalahkan sesiap sahaja di atas kekalahan tersebut termasuklah Tunku Abdul Rahman yang dilihat ‘pro-Cina’ dan tidak serius dalam mentadbir negara, sebaliknya mendakwa Tunku lebih gemar berseloroh dan menghabiskan masa dengan bersukaria.

Kritikan Dr Mahathir itu bukan sekadar menyebarkan surat terbuka mengutuk Tunku Abdul Rahman bahkan turut menulis sebuah buku yang menggemparkan iklim politik negara, Malay Dilemma yang hingga sekarang dinilai suatu pemikiran idealistik dan terlalu banyak percanggahannya dengan apa yang dilaksanakan beliau sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan penilaian sejarah, Dr Mahathir secara halusnya turut berusaha menghapuskan legasi yang diusahakan oleh Tun Abdul Razak untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan menerusi Dasar Ekonomi Baharu, Rukunegara dan dasar pembangunan tanah kerana beliau begitu gilakan kepada perubahan teknologi sehingga melupakan bahawa bidang pertanian adalah salah satu sumber ekonomi negara.

Selepas tempoh DEB berakhir, Dr Mahathir memperkenalkan Wawasan 2020 dengan tidak mempunyai rangka kerja yang jelas. Sebaliknya, secara di awing-awangan, beliau membiarkan rakyat mencari jawapan untuk mengatasi sembilan cabaran bagi menentukan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 dengan mengandaikan purata pertumbuhan ekonomi dengan kadar 7 peratus setiap tahun bagi tempoh 30 tahun.

Tanpa membayangkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia pernah mencapai negatif selepas lima tahun beliau menjawat jawatan Perdana Menteri apabila berlakunya kemelesetan ekonomi yang menyebabkan getah dan kelapa sawit tidak dapat dijual. Ia adalah tahun-tahun yang mengakibatkan Dr Mahathir melakukan perubahan ke atas dasar ekonomi negara dengan memperkenalkan dasar penswastaan dan pensyarikatan Malaysia, yang antara lainnya, untuk mengurangkan bilangan penjawat awam dan memberikan keuntungan kepada orang perseorangan dengan memfaraidkan cabang perniagaan dan perkhidmatan kerajaan.

Di bawah kepimpinan Dr Mahathir juga turut diperkenalkan konsep penyewaan kenderaan kerajaan kepada sebuah syarikat pengendali dengan bayaran yang terlalu tinggi. Bukan setakat itu yang dilakukan, bagi membolehkan agensi-agensi kerajaan memanfaatkan teknologi maklumat, konsep sewaan perkakasan turut diperkenalkan di mana kadar sewaan bulanannya adalah tinggi dengan alasan termasuk kos penyelenggaraan.

Perkembangan seterusnya, selepas Tun Daim Zainudin diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan, Dr Mahathir hampir kesemuanya menyerahkan kaedah pengurusan ekonomi negara menurut acuan tertentu sehingga dilihat menjadikan beberapa orang teramat kaya sehingga boleh memiliki saham yang besar dalam institusi kewangan, pengangkutan, perkhidmatan lalu-lintas (pembinaan lebuh raya) dan paling menyedihkan ialah penswastaan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang akhirnya gagal dan memaksa kerajaan membelinya semula dengan harga tinggi.

Kalau menganggap Najib berusaha menghapuskan Wawasan 2020 dengan menggantikan Transformasi Nasional 2050 (TN50), ia adalah suatu dakwaan yang sama apabila Dr Mahathir memperkenalkan Wawasan 2020 untuk menenggelamkan Rukunegara. Apa yang dijelmakan oleh Dr Mahathir menerusi Wawasan 2020 merupakan ‘rebranding’ kerapa Rukunegara sebagaimana dikupas secara ilmiahnya oleh pakar sejarah, Dr Cheah Boon Kheng dalam bukunya, Malaysia: The Making of a Nation (ISEAS, 2002).

Ertinya, dengan memperkenalkan Wawasan 2020, Dr Mahathir berusaha ‘menghapuskan legasi Tun Razak’ yang mencetuskan rangka konsep falsafah negara berdasarkan lima prinsip utama yang kini dirasai semakin dilupakan oleh rakyat Malaysia dan penghayatannya telah menyimpang daripada kelahiran masyarakat beradab dan beradat. Akibatnya, ada pihak bercadang untuk mengembalikan falsafah negara itu sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Malaysia.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, yang sekarang turut mendedahkan banyak kelemahan Dr Mahathir, Tun Musa Hitam pernah menganjurkan bahawa ahli-ahli UMNO sesekali perlu kepada ‘sikap kurang ajar’ kerana apa yang Dr Mahathir cuba terapkan ialah budaya ‘yes man’ yang bukan sahaja menyebabkan ‘kekakuan minda’ bahkan boleh melemahkan budaya berfikir.

Tentunya, dengan termeterainya pemilikan saham sebanyak 49.9 peratus oleh Geely dari China ke atas Proton, Dr Mahathir akan terus membuat kesimpulan bahawa ekonomi Malaysia akan terus dikuasai oleh kapitalis China walaupun pada zamannya, beliau begitu bersungguh-sungguh membawa pelaburan asing dari Jepun dan Korea Selatan sehingga memperlekehkan pelabur-pelabur dari Eropah dan Amerika Syarikat. Tetapi, ketika itu, tidak ada suara lantang mengkritik Dasar Pandang ke-Timur untuk menjepun atau mengkoreakan Malaysia.

Ketika Proton mula ditubuhkan, ia memberik keuntungan besar kepada Mitsubishi Motor Company dari Jepun apabila model-model kenderaan dari Jepun itu dijenamakan sebagai Proton. Tetapi, setelah Proton menguasai pasaran kenderaan di Malaysia, Proton tetap mengalami kerugian dan perlukan suntikan modal dari kerajaan sehinggalah lahirnya Perodua yang berjaya mengambil alih penguasaan Proton dalam segmen kereta penumpang tempatan.

Akibat terlalu percayakan konsep monopoli, Dr Mahathir membenarkan Proton untuk menubuhkan Proton Edar sehingga berlakunya ‘konflik pengedaran’ dengan EON. Keadaan ini menyebabkan Proton kehilangan pengguna dan akhirnya terpaksa mengakui era kegemilangannya sudah berakhir, dan hari ini Proton terus berhadapan dengan masalah besar sehingga terpaksa mencari rakan strategiknya. Proton juga gagal dalam pasaran antarabangsa, kerana Dr Mahathir kadangkala lebih gemar kepada legasi ‘menang sorak kampong tergadai’ sebagaimana kisah Pak Kaduk yang menang sorak tetapi ayamnya sendiri sudah ditukar secara licik.

Proses pemindahan teknologi yang diharapkan dari Jepun tidak menepati sasaran, sebaliknya Proton terus menggunakan teknologi yang sudah tidak diperlukan oleh Mitsubishi dengan mendapat acuan yang diubahsuai, dan ketika Proton mengeluarkan produk terbaharunya, Mitsubishi melancarkan modelnya yang lain, yang lebih canggih dan rekaan yang menarik. Akhirnya, Proton kalah apabila model-model kereta baharu diperkenalkan.

Ketika rakyat Malaysia diberitahu bahawa Kuala Lumpur City Center (KLCC) dibangunkan, ia merupakan kebanggaan dan mercutanda yang baharu. Permulaannya, KLCC memberikan ruang kepada Bumiputera untuk berniaga, tetapi, dengan memberikan kontrak pengurusan kepada sebuah syarikat asing, peniaga Bumiputera akhirnya tersingkir. Inilah dasar yang diletakkan oleh Dr Mahathir untuk menyingkirkan peniaga-peniaga Bumiputera di premis yang dibanggakan, sehingga menyebabkan gedung-gedung mewah terlalu padat dengan syarikat-syarikat multinasional dan jenama antarabangsa.

Kebanggaan rakyat Malaysia pada suatu ketika dengan mercutanda Dayabumi, kini bangunan yang tersergam megah seakan-akan sepi tanpa penghuni manakala perniaga-peniaga yang sebelumnya boleh mengaut keuntungan mengeluh, dan terpaksa meninggalkannya. Pembinaan Dayabumi hanya menguntungkan syarikat yang ada hubungan keluarga dengan Dr Mahathir dan isu ini pernah menjadi bahan kempen Team B yang mencabar Dr Mahathir semasa pemilihan UMNO 1987, yang menampakkan legasi terbesar beliau ialah membina kroni untuk memanjangkan hayat politiknya, sebab itu beliau boleh berkuasa sehingga 22 tahun lamanya.

Apa yang dipersoalkan sekarang ialah bagaimana Dr Mahathir membina kekayaan anak-anaknya menerusi pelbagai tindakan dan keputusannya semasa menjawat jawatan Perdana Menteri. Ia bukan bertujuan menghapuskan legasi yang dibina, kerana belum terdengar suatu perancangan berskala besar untuk menghapuskan Putrajaya ataupun KLCC, Dayabumi. Apa yang cuba disanggah ialah kecaman beliau sendiri yang berusaha menjatuhkan Dato’ Sri Najib yang pernah membantu memberikan kemenangan kepadanya semasa perebutan kuasa dalam politik pada tahun 1987 yang ketika itu dianggap telah berlaku ‘swing’ dan memenangkan Dr Mahathir dengan kelebihan 43 undi.

Saperti yang dijelaskan oleh seorang pensyarah undang-undang dari Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom, sebagai Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir telah menyebabkan Perlembagaan ‘koma’ kesihatannya kerana “memusnahkanbadan kehakiman, mengawal kuasa diraja dan mengukuhkan cabang eksekutif dengan meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan agensi lain di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.”(Rujuk: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/24/pm-ke-4-punca-perlembagaan-koma-kata-pensyarah/)

Inilah yang perlu diberikan perhatian, kerana yang berlaku sekarang ialah kerosakan yang dimulakan oleh Dr Mahathir sendiri, bukannya penghapusan legasi yang dibina selama 22 tahun pentadbirannya. Bukankah itu juga merupakan legasi Dr Mahathir, tetapi kenapa tidak dikupas dengan baik kesannya ke atas masyarakat Malaysia apabila beliau berusaha melakukan perubahan tersebut demi mengekalkan kuasanya selama 22 tahun?

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply