SETIAP RAKYAT MALAYSIA MELAHAP HAMPIR 50 BUNGKUS MI SEGERA SETAHUN

Permintaan mi segera di Malaysia telah meningkat kepada 1.36 bilion paket pada tahun lalu. Peningkatan ini menjadikan Malaysia berada di tangga ke-13 sebagai pengguna terbesar di dunia. Ertinya dalam setahun, hampir 50 bungkus mi segera dimakan oleh rakyat Malaysia atau purata setiap bulan ialah hampir kepada empat bungkus.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Pesatuan Mi Segera Dunia (WINA) yang berpengkalan di Jepun, permintaan Mi Segera telah meningkat dari dari 1.32 bilion (2011) kepada 1.36 bilion pada tahun lalu. Bagaimanapun, permintaan Mi Segera dilaporkan mengalami penurunan kepada 1.30 bilion paket pada tahun 2012 manakala pada tahun 2013 meningkat kepada 1.335 dan 1.34 pada tahun 2014. (“Permintaan mi segera di Malaysia 1.36b peket”, Utusan Malaysia, 1.9.2016).

Menariknya juga, sejumlah 3.6 peket Mi sehari dibeli oleh rakyat Malaysia setiap hari di mana 1.4 juta peket adalah jenama Maggi. Ertinya jenama Maggi menguasai hampir 40 peratus pasaran Mi Segera di Malaysia. Lain-lain jenama Mi Segera yang terdapat dalam pasaran Malaysia ialah Mi Sedaap, Mamee, Indomie, Mee Bahkut Tea dan lain-lainnya. Ada Mi Segera yang diberikan sijil halal, dan tidak kurang juga yang menipu sijil halal atau menggunakan sijil halal palsu dan tidak ada tanda halal.

Mi Segera merupakan sajian popular dalam kalangan pelajar dan kanak-kanak disebabkan harganya yang murah dan proses penyediaanya yang ringkas atau mudah. Idea untuk mencipta mi segera dikatakan bermula sejak Dinasti Qing di China di mana mi yimian digoreng, membolehkannya disimpan dalam jangka masa yang lama serta disediakan dengan cepat. Serupa juga, “mi benang ayam” (mi halus yang digoreng dan dihidangkan dengan air panas serta pilihan telur) boleh didapati di China dan Taiwan sejak Dinasti Qing (1644-1911), juga dikenali sebagai Dinasti Manchu, yang didirikan oleh bangsa Manchuria dari klan Aisin Gioro. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Mi_segera).

Mi segera yang ada sekarang merupakan hasil penciptaan seorang usahawan Jepun berketurunan Taiwan bernama Momofuku Ando, pengasas syarikat Nissin Foods.  Mi segera keluaran syarikat tersebut direbus dengan perencah, digoreng dengan minyak masak (misalnya minyak sawit) untuk menyahkan kelembapan. Ianya dikeringkan bagi membentuk gumpalan.

Setelah membuat beberapa percubaan Ando akhirnya membuat kesimpulan bahawa minyak sawit adalah yang paling berkesan walaupun sebelumnya garam dan asap digunakan dalam proses pengawetannya. Pada tahun 1958, Nissin Foods melancarkan mi segera pertama yang dinamakan Chikin Ramen di Osaka. Pada tahun 1971, Nissin Foods melancarkan mi cawan dalam bekas stryofoam kalis air dan seterusnya menambahkan sayur-sayuran kering dan sup lengkap.

China merupakan pengguna terbesar mi segera (40.43 bilion peket) dan diikuti oleh Indonesia (13.2 bilion peket) manakala India berada di tangga ke lapan (3.26 bilion) di Belakang Filipina (3.48 bilion) dan Korea Selatan (3.65 bilion). Dalam satu tinjauan di Jepun (tahun 2000), mi segera merupakan ciptaan Jepun yang terpenting diikuti karaoke.

Penggunaan mi segera turut dijadikan satu daripada beberapa kayu ukur ekonomi dan pada tahun 2005, mi segera jenama Mama menduduki tangga teratas dalam pasaran mi segera di Thailand. Ketika Thailand berada dalam situasi kemelesetan ekonomi, jualan mi segera jenama Mama telah meningkat sebanyak 15 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2005. Peningkatan permintaan ini disebabkan sebahagian rakyat Thailand tidak mampu membeli lain-lain jenis makanan.

Hal yang sama berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar universiti dari kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk membeli makanan lain, memerlukan perbelanjaan besar manakala mi segera yang jauh lebih rendah menjadi pilihan untuk mengalas perut walaupun disedari tabiat berpanjangan boleh mendatangkan kemudaratan kesihatan.

Menurut Dr Zubaidi Haji Ahmad, mi segera mempunyai kandungan bahan pengawet methy p-hydroxybenzoate dan asid boric, yang walaupun dibenarkan penggunaannya, ia mestilah dalam kuantiti tertentu. Penggunaan berlebihan akan mengakibatkan gangguan kepada kesihatan tubuh. (http://drzubaidi.com/blog/selamatkah-makan-mi-segera/).

Baginya, memakan mi segera dibolehkan tetapi tidaklah dalam kuantiti yang banyak dan berpanjangan. Ia bergantung kepada tabiat pemakanan di setiap negara, maka sebab itulah penggunaan bahan pengawet dikawal oleh kerajaan, khususnya pihak bekuasa kesihatan di sesebuah negara. Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura menetapkan penggunaan methy p-hydroxybenzoate sebagai bahan pengawet dalam mi segera dengan kadar 1,000 mg per kg manakala Hong Kong ialah 550mg per kg.

Rakyat Hong Kong makan mi segera hampir setiap hari manakala rakyat Amerika Syarikat mengambilnya antara sekali atau dua kali dalam setiap bulan. Setakat ini belum ada fakta yang jelas mengenai bahayanya mi segera jika diambil secara berlebihan, tetapi masyarakat diingatkan supaya berwaspada dengan popularitinya di mana ada pihak yang berusaha menambahkan penggunaan bahan pengawet untuk menaikkan selera.

Penggunaan bahan pengawet tanpa kawalan atau melebihi boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit terutama yang berkaitan dengan proses pencernaan. Kesan makanan segera dikhuatiri dapat mengumpul lebih banyak lemak dalam badan seseorang sehingga boleh menyebabkan berlakunya berat badan berlebihan atau obesiti.

Hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiti Kebangsaan, seperti yang diberitahu oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, negara berhadapan dengan masalah kesihatan yang sangat membimbangkan terutamanya berat badan berlebihan atau obesiti. Separuh rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan ia meningkat secara mendadak dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, prevalence obesity telah meningkat dari 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada tahun 2006 dan terus meningkat ke 15.1 peratus (2011) dan 17.7 peratus (2015).  Hampir separuh orang dewasa Malaysia mempunyai paras kalestrol yang tinggi iaitu 47.7 peratus dan 30 peratus mempunyai berat badan berlebihan. (Sinar Harian, http://www.sinarharian.com.my/nasional/separuh-rakyat-malaysia-obesiti-1.480847).

Meskipun mi segera merupakan makanan ekonomi dunia, kandungan bahan yang terdapat di dalam turut meliputi bahan bukan makanan yang dibenarkan, antaranya: Asid tartaric, sejenis bahan kimia yang digunakan untuk memutihkan cermin dan lebih beracun dari alkohol tulen; Kalsium Oksida, bahan kimia yang digunakan untuk merawat sisa buangan dan racun serangga; tertiary butylhydroquinone (TBHQ) yang dihasilkan berasaskan bahan petroleum; propyl Gallate, sejenis sebatian seperti hormone yang boleh memberikan kesan sampingan kepada perkembangan janin dan sperma; pentasodium triphospat, bahan kimia yang digunakan membersihkan lombong dan rawatan air; propylene glycol, pelarut sintetik yang digunakan dalam aplikasi pendingin antibeku automotif, cecair dalam tekanan haudralik; polydiminethylsiloxane, bahan kimia yang digunakan dalam kanta sentuh, syampu, minyak pelincir dan jubin tahan panas; dan pewarna tiruan yang boleh menyumbang kepada tingkahlaku hiperaktif kanak-kanak dan kerosakan saraf.

Itulah sebabnya wanita hamil dan kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun tidak digalakkan mengambil mi segera, termasuklah dari jenama yang mendapat kelulusan pihak berkuasa.  Golongan dewasa, seboleh-bolehnya elakkan dari mengambil mi segera sebagai makanan rutin harian, yang tentunya kekenyalan mi itu diproses menggunakan bahan kimia selain perencah yang mengandungi bahan perisa kerana ia boleh menganggu proses pencernaan. Akibat proses pencernaan yang kurang baik, akan menyebabkan seseorang itu mudah diserang oleh kanser usus.

Menurut Menteri Kesihatan, sebanyak 13.02 peratus daripada rekod kematian di hospital kerajaan dan 25.53 peratus di hospital swasta pada tahun 2014 adalah disebabkan oleh penyakit kanser. Kematian akibat kanser member impak negatif daripada segi ekonomi kepada keluarga dan masyarakat serta mengurangkan produktiviti negara.

Menurut Dr S Subramaniam, sepertiga penyakit kanser boleh dicegah kerana ianya berkaitan dengan tabiat manusia itu sendiri. Faktor-faktor risiko penyakit kanser serupa dengan faktor risiko penyakit tidak berjangkit lain iaitu gaya hidup tidak aktif, tabiat merokok, amalan pemakanan kurang sihat, berlebihan berat badan atau obes dan pengambilan alkohol.

Tabiat pemakanan yang mengutamakan makanan segera, termasuk mi segera secara berterusan boleh menyebabkan serangan jantung dan strok. Dalam satu perbincangan di Kolej Kardiologi Amerika Syarikat di Anaheim melaporkan, risiko remaja diserang penyakit yang berkaitan kardiovaskular adalah disebabkan lebihan lemak tepu dan kalestrol yang tinggi akibat gemar mengambil makanan segera.

Dalam kajian lain, daripada 100 orang kanak-kanak mengambil makanan segera adalah mereka yang kurang mengambil makanan kaya dengan serat, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, zat besi, vitamin E dan susu amat mudah mudah diserang asma. Asma yang berpanjangan boleh membawa kepada radang paru-paru.

Mengambil mi segera merupakan kegemaran yang telah mengubah gaya hidup sihat. Sebab itulah bagi menjamin kesihatan yang lebih baik, kita diajak untuk mengubah gaya hidup, termasuk menjauhkan diri daripada memakan makanan segera secara berterusan, tidak terkecuali mi segera.

Catatan: Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply