SEX AND POWER: THE RETURN (AKHIR)

Zulkifli Salleh yang pernah saya kenali ketika bersembang-sembang di gerai mamak berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 7 Ogos 2012 menulis dalam blognya, perihal pandangan mata seseorang terhadap perilaku gay.

Tulis beliau: Membeliakkan anak mata, tegas Stephanie Pappas, ialah petunjuk tepat orientasi seks seseorang.  Apabila seseorang melihat imej erotik dan menjadi teruja, anak matanya terbuka luas dalam reaksi tanpa kesedaran yang dapat digunakan untuk orientasi kajian dan keterujaan tanpa ukuran genital invasif.

Petua mudah:  Anak mata lelaki “tulen” terbeliak ke arah wanita, manakala anak mata gay, terbeliak ke arah lelaki.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih mendalam mengenai dunia gay, mahupun dunia lelaki yang disifatkan sebagai biseksual. Biseksual bermaksud: tertarik dari segi seks kepada laki-laki dan juga perempuan. Ertinya, biseksual itu mempunyai keinginan seks dengan berlainan jantina dan sesama jenis. Pada peringkat awal, mungkin tertarik dengan kelainan jantina, dan mungkin ada keinginan yang lain, dalam ketika yang berlainan tertarik dengan keingina seks sesama jenis.

Contoh yang menarik ialah mengenai bekas Perdana Menteri wanita pertama Iceland, Jóhanna Sigurðardóttir (2009-2013). Johanna pernah berkahwin dengan seorang lelaki pada 1970 dan mereka kemudiannya bercerai pada tahun 1987. Perkahwinan selama 17 tahun mendapat dua orang cahaya mata lelaki, Sigurður Egill Þorvaldsson dan Davíð Steinar Þorvaldsson.

perkahwinan pasangan lesbian

Sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri, Johanna mengusulkan satu undang-undang yang membolehkan perkahwinan sejenis di Iceland. Tahun 2010, sebaik sahaja undang-undang itu diluluskan Johanna Sigurdardottir berkahwin dengan pasangan lesbiannya, Jónína Leósdóttir. Hubungan intim antara keduanya dikatakan sudah bermula sejak tahun 2002. Pasangan tersebut juga merupakan pasangan lesbian pertama di Iceland yang berkahwin sebaik sahaja undang-undang perkahwinan sejenis diluluskan.

Tahun 2013, Parlimen United Kingdom meluluskan undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis. Pasangan temaha muslim pertama (gay) yang berkahwin di Britain ialah Jahed Chaudhury dan Sean Rogan. Mereka berkahwin pada 22 Jun 2017 setelah menjalin hubungan intim selama dua tahun. Ketika perkahwinan itu berlangsung, Jahed berusia 24 tahun dan Sean, 19 tahun.

pasangan gay muslim pertama kahwin

Chaudhury berketurunan Muslim Bangladesh dan mereka mula menjadi intim selepas bertemu dengan Chaudhury yang sedang menangis mengenangkan apa yang berlaku dan sentiasa dicemuh kerana berperilaku sebagai seorang gay. Pertemuan tersebut menjadikan mereka pasangan yang intim dan seterusnya berkahwin, walaupun Sean bukanlah beragama Islam.

Perkahwinan sejenis diharamkan di Malaysia. Bagaimanapun, kemunculan golongan yang intim sejenis telah meributkan ikatan kemasyarakatan dan secara umumnya, kehadiran golongan tersebut dalam masyarakat terus mendapat tentangan bahkan ada keadaan mereka diusir dari rumah keluarga sendiri.

Perkembangan tersebut menjadi semakin nutral dan kini mereka memasuki ke fasa yang lebih radikal, iaitu mendesak kerajaan agar dibolehkan berkahwin berdasarkan prinsip kebebasan dan hak asasi. Meskipun secara rasminya perjuangan tersebut belum berjaya, beberapa perubahan terhadap orientasi dasar kerajaan sudah menampakkan sedikit kejayaan apabila wakil golongan gay atau lesbian diterima menduduki pelbagai jawatan dan diterima dalam perkhidmatan awam.

Ratu Trans Women

Baru-baru ini seorang ikon gay telah dilantik dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia bagi penggal 2019-2021. Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina dilantik (25 Jun 2019) bagi memenuhi keperluan Global Fund, dalam usaha untuk mendapatkan dana bagi memerangi HIV/AIDS sejajar dengan Pelan Strategik Nasional.

Pelantikan itu menguatkan lagi andaian bahawa kerajaan sekarang semakin liberal dengan kemunculan golongan LBGTQ, dan tidak hairanlah jika persoalan video semburit yang membabitkan Azmin Ali dan Haziq Aziz dikategorikan bukan ‘persoalan moral’, sebaliknya ia adalah ‘persoalan politik’. Penularan video berkenaan dianggap ‘konspirasi politik.’

Dalam perundangan Malaysia, konspirasi politik tidak dianggap sebagai perlakuan jenayah. Konspirasi merujuk kepada suatu bentuk kesepakatan atau komplot atau persengkongkolan antara dua orang atau kumpulan secara rahsia untuk melakukan tindakan bagi mencapai tujuan yang dipersetujui bersama.

Politik pula bermakna suatu situasi yang membolehkan kuasa dipunyai oleh seseorang atau sekumpulan berdasakan sumber yang bernilai dan boleh diagihkan menurut pertanyaan kepada siapa, bila dan bagaimana (etos politik yang dikembangkan oleh Harold Lasswell). Secara mudahnya, konspirasi politik itu bermakna, suatu komplot rahsia antara dua pihak atau kumpulan untuk mendapatkan kuasa.

Anwar bakal ‘tersingkir’

Jika menggunakan definisi tersebut, dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Azmin Ali, ternyatalah bahawa penularan video semburit berkenaan mempunyai kaitannya dengan tindakan untuk menyahkan Azmin daripada lanskap politik Malaysia. Ia berhubungkait dengan persepsi bahawa Azmin menjadi semakin ‘lunak’ dengan Dr Mahathir, dan diandaikan bakal dipilih untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Dakwaan ini boleh menyebabkan Anwar yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 akan ‘tersingkir’.

Anwar sentiasa menghebohkan bahawa dirinya adalah Perdana Menteri ke-8, dan proses peralihan kuasa sudah dimuktamadkan. Ia mungkin berlaku selepas tempoh tiga tahun (selepas diperbaharui dari dua tahun) sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia mahukan Dr Mahathir menamatkan penguasaannya sehingga tamat penggal Parlimen ke-14.

Dua parti politik pembangkang, UMNO dan PAS sudah memberikan pengakuan, akan menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal, dan sebarang tindakan untuk menjatuhkan Dr Mahathir akan ditentang.

Petunjuk ini meresahkan Anwar dan kawan-kawannya yang mengharapkan Dr Mahathir segera melaksanakan proses peralihan kuasa. Bahkan, ada beberapa desakan untuk Dr Mahathir memberikan tarikh sebenar proses peralihan kuasa itu akan dilaksanakan. Ini menyebabkan Dr Mahathir seolah-olah tertekan dan menggambarkan bahawa Anwar tidaklah ikhlas dengan kenyataannya sendiri bahawa dirinya tidak terdesak untuk menjadi Perdana Menteri.

konspirasi politik

Dr Mahathir perlu diberikan peluang untuk ‘membina semula Malaysia’, tetapi dalam beberapa tindakan halusnya membuktikan Anwar sedang melakukan plot politiknya secara berhati-hati  memandangkan hubungan yang baik dengan Azmin.

Pada suatu ketika, pendokong Anwar pernah menuduh Dr Mahathir melakukan konspirasi politik terhadap Anwar dengan memecatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Ketika itu, pengaruh Anwar begitu kuat dalam kerajaan dan persepsi umum, bahkan ada kalangan rakyat melihat, Anwar memang akan melakukan ‘serangan kepada Dr Mahathir’ agar segera berundur. Ia menjadi punca pemecatan Anwar pada tahun 1998, yang kemudiannya dikaitkan dengan kes semburit.

suntikan arsenik

Kes semburit itulah yang menekan Anwar sehingga beliau didakwa oleh isterinya ‘bakal mati perlahan-lahan kerana telah disuntik dengan virus HIV/AIDS dan arsenik’. Bagaimanapun, dakwaan Wan Azizah pada tahun 1998 tidak menjadi kenyataan, Anwar terus menerus gigih untuk menjatuhkan Dr Mahathir dan kini, kecenderungan yang sama sedang berkembang secara halus.

Jika dahulunya Anwar dijatuhkan dengan isu semburit dan Dr Mahathir mengaitkannya dengan ‘masalah moral’ maka dengan cara yang sama ia dikatakan sedang digunakan untuk mengetepikan Azmin Ali.

Azmin menyifatkan tindakan berkenaan adalah gutter politic atau politik longkang yang dilakukan dari dalam PKR sendiri. Sebab itulah Azmin dengan beraninya berkata, beliau mengetahui siapakah dalangnya.

Terbaharu di celah-celah keriuhan Anwar mencari sokongan daripada pemimpin PKR, Azmin dengan terbukanya menyokong Dr Mahathir jika Perdana Menteri ke-7 itu ingin meneruskan penguasaannya sehingga sepenggal. Keadaan itu terus memberikan indikasi bahawa Anwar, jangalah berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 dengan mudah.

dalang penyebaran

Kata Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, “ciumlah mulut tujuh kali sehari pun”,  Dr Mahathir tidak akan serahkan jawatan kepada Anwar dengan mudah.  Maknanya, Anwar ibarat senikata lagu Penantian nyanyian Kumpulan Harmoni, “penantian itu suatu siksa/yang tidak tertanggung/oleh tubuhku yang kering dan layu/kepastian suatu penawar/dalam suka dan duka.

Setakat ini, Azmin belum mendedahkan siapakah yang menjadi dalang penyebaran dan/atau pembikinan video semburit. Pihak polis hanya mengesahkan bahawa video yang tersebar itu hampir sah tulen, manakala pelakunya tidak dapat dikenal pasti. Ia menjadi ribut yang menyebabkan orang awam mula bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan hampir sah video tulen?

Ertinya, bagi orang awam, bila video itu disahkan tulen, ia termasuk pelakunya, dan bukannya dibuat-buat menggunakan apa pun kecanggihan teknologi, superimposed atau deedfake. Ia adalah rakaman langsung kepada kejadian yang diperkatakan.

menyanjung ‘perihal moral’

Di sini seperti dua kutub konspirasi politik yang sedang berlaku. Konspirasi pertama ialah untuk menyingkirkan Azmin manakala konspirasi kedua, ialah mencari dalang yang menularkan video berkenaan. Rakyat mengharapkan agar, jika video itu benar-benar tulen, pelakunya diadili secara saksama kerana semburit adalah tindakan yang tidak boleh dikompromi dalam lanskap politik Malaysia, sebabnya Malaysia mempunyai nilai dan etika politik yang menyanjungi perihal moral.

Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan pemimpin yang  mempunyai masalah moral. Inilah yang rakyat ingin Dr Mahathir buktikan, bukannya mengatakan Azmin adalah mangsa konspirasi politik dan suatu hari, beliau berkemungkinan akan disebarkan dengan plot cerita yang sama.

Setakat ini, Dr Mahathir tidak memberikan ketegasan untuk mengadili kes video semburit daripada perspektif moral, dan ia berbeza dengan pendiriannya ketika memecat Anwar pada tahun 1998.

Orang awam amat mengharapkan penyelesaian kes ini dengan keputusan yang jelas, tepat dan tidak mengabaikan persoalan moral. Seandainya keputusan tersebut hanya tertumpu kepada siapa yang menjadi dalang, ia benar-benar membawa mesej konspirasi politik, tetapi perihal moral akibat penyebarannya tetap menjadi misteri. Oleh itu, Azmin mahupun Dr Mahathir perlu melengkapi maklumat, termasuklah mendedahkan siapakah dalang yang dimaksudkan. Mereka perlu membuktikan bahawa video semburit itu benar-benar ‘konspirasi politik’.

upaya membersihkan diri

Jika membiarkan orang ramai tertanya-tanya, selagi itulah Azmin tidak berupaya membersihkan dirinya, apatah lagi pada suatu ketika dirinya pernah dikaitkan dengan seorang perempuan di dalam tandas. Video itu masih belum terpadam sepenuhnya. Ia terus mengiringi imej Azmin sampai bila-bila.

Dengan hanya menafikan pembabitannya, ia belum cukup untuk membersihkan diri. Dengan mendakwa ia perbuatan ‘orang dalam’ ia menyebabkan PKR berhadapan dengan situasi ‘berpecah’ dan seterusnya tidak lagi mampu menjadi sebuah pertubuhan politik yang kuat dan mendominasi PH.

Walaupun di Malaysia tidak ada undang-undang yang meletakkan ‘konspirasi politik’ sebagai perlakuan jenayah, rakyat Malaysia masih tetap mahu melihat pemimpin mereka tidak terbelit dengan masalah moral. Apatah lagi dalam hubungkaitnya dengan Islam, Islam tetap mengharamkan sebarang bentuk perlakuan yang dinamakan maksiat seperti seks bebas, seks sesama jenis dan seks di luar bingkai perkahwinan.

Memperkatakan soal seks secara terbuka juga dianggap ‘tidak bermoral’ walaupun ia berlaku dalam rumahtangga, kecuali dalam kehidupan dan perbincangan peribadi pasangan masing-masing.

Lebih didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia mengenai kes ini ialah ‘the rule of law’ benar-benar menjadi realiti; usaha menutupi kes ini akan mengakibatkan kepimpinan politik yang memerintah akan dilihat tidak mengotakan janjinya dan bakal menambahkan senarai kegagalannya (manifesto).

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply