SEX AND POWER: THE RETURN (PART III)

Kawan yang paling rapat bagi seorang lelaki ialah wanita. Tetapi bila kawan yang paling rapat dengan seorang lelaki adalah lelaki, itu BAHAYA!

Saya terima ungkapan itu sebagai pandangan ikhlas seorang kawan yang katanya ‘lebih banyak makan garam’ sewaktu kami pernah menikmati udara malam di Kuala Lumpur pada malam minggu tahun 1984.

Kebetulan malam itu, kami berjanji untuk menonton tayangan larut malam di panggung Colesium. Sebelum pintu pawagam dibuka, kami mundar-mandir di bahagian belakang sambil menikmati minuman root beer (A&W) untuk melihat suasana ‘tawar menawar’ antara lelaki dengan lelaki. Itu adalah suasana waktu malam yang menghidupkan ‘kehidupan malam’ di belakang Hotel Kowloon, yang digambarkan  oleh M Nasir dalam lirik lagu ‘sekuntum bunga plastik’ (senikata S Amin Sahab, album Kembara,  Perjuangan, 1982).

Lagu itu juga menyebabkan seorang wartawan hiburan marah dan membokoit M Nasir. Tidak hairan beberapa lama sebelum itu, wartawan tersebut seperti membalas dendam kepada M Nasir, menulis satu laporan seolah-olah penyanyi yang berasal dari Singapura itu ‘sombong’ dan ‘bongkak’ apabila menjawab “Siapa Mahathir?”. Akhirnya terjadi kontroversi dan lagu-lagu M Nasir hampir digam oleh RTM (1996). (Baca: Selepas lebih 20 tahun, ini kata M Nasir ‘Siapa Mahathir?’, Malaysiakini, 16.12.2017).

Dalam sejarah politik Malaysia, perselingkuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim telah dijadikan senjata untuk menjatuhkan seseorang. Pada suatu ketika, perselingkuhan turut menjerut reputasi sehingga menyebabkan seseorang itu tersungkur jatuh hanya kerana tersebarnya sekeping gambar aksi lucah. Bila teknologi video mula berkembang, aksi bergerak mula menjadi sesuatu yang lumrah, sehingga ada dalam kalangan selebriti sanggup membuka aibnya sendiri dengan membenarkan orang merakam perilakunya, termasuk bertelanjang bulat atau membasuh kemaluan.

Heboh dan gegera seluruh negara. Kegemparan itu kemudiannya menjadi buah mulut dan hampir menenggelamkan kerjayanya, namun tidak semua adegan itu merupakan rakaman yang real. Teknik fotografi menjadi semakin maju, orang boleh melondehkan seseorang yang berpakaian menjadi bogel. Orang boleh menampalkan muka seseorang pada batang tubuh orang lain. Kaedah superimpose atau tindanan itu boleh dibuat di dalam studio dan kemudiannya disalin sesuka hati untuk tujuan tertentu.

Kini semuanya menjadi semakin mudah apabila komputer semakin hebat dan dirodok masuk dengan pelbagai perisian yang boleh menyebabkan kita percaya ia seperti sebenarnya, teknologi kepintaran buatan (artificial intelligent). Kita tidak dapat pasti, sama ada video yang membabitkan Azmin Ali dan Haziq Aziz dibuat berdasarkan teknik berkenaan, tetapi menurut sumber polis, berdasarkan penelitian Cybersecurity, kebarangkalian video itu tulen adalah besar. Nah! Ertinya, video itu hampir asli. Cuma, tidak dapat dipastikan dengan jelas pelakunya.

Keputusan itu cenderung kepada lebih banyak pertanyaan. Terkini, menurut laporan pakar-pakar yang menganalisis video (dari sebuah firma forensik dari Indonesia,  mengesahkan ia sepadan dengan gambar Azmin dan Haziq. Pengesahan itu dibuat menerusi kaedah Error Level Analysis (ELA) melalui frame, imej dan tempered detection dan ia adalah bercanggah dengan penemuan Cybersecurity Malaysia.(Video lucah: Lokman dakwa imej dalam video adalah Azmin, Kosmo, 21.7.2019).

Percanggahan itu menyebabkan Ketua Polis Negara didakwa ‘menipu’ oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam. Lokman Adam merupakan calon yang tewas dalam PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018. Lokman sedia didakwa atas kenyataan itu manakala Ketua Polis Negara menempa sejarah sebagai Ketua Polis Negara yang pertama membuat laporan polis berhubung kontroversi video semburit yang mula menjadi tular pada 11 Jun 2019.

Kita tumpukan kepada apa yang sedang dikomentarkan antara dua puak dalam PKR, yang katanya ‘ada retak menanti belah’ dan ada pula enggan mengakui ‘perbalahan’ tersebut akan menghancurkan PKR. Tipu kalau dikatakan Anwar dan Azmin tidak bergaduh. Tipu kalau dikatakan Anwar tidak berkecil hati bila Azmin meminta bekas bossnya itu ‘mencermin diri’. Tipu kalau Azmin tidak akan menyanggah apa Anwar akan katakan  “pagi tadi saya telah melihat di cermin’ kerana dirinya juga banyak tahu apa yang telah berlaku.

Itu mungkin boleh senjata buat Azmin. Itu mungkin boleh menjadi ‘bom’ yang akan meletup antara keduanya jika jawatankuasa pendamai tidak dapat berunding secara berhemah. Azmin boleh ‘menerjah Anwar’ manakala ‘Anwar boleh menyepak Azmin’, tapi apakah itu bermakna ‘kalah jadi abu menang jadi arang’?

Azmin tidak hadir di majlis pembukaan temurapat (ada sedikit rasa erotik dengan terjemahan istilah bahasa Inggeris, retreat). Sedikit masa dahulu, retreat diterjemahkan sebagai ‘pemukiman’ tapi kali ini ia diterjemahkan menjadi temurapat, betullah bertemu dan rapat. Anwar mengumpulkan ahli PKR untuk bertemu bagi merapatkan hubungan sesama mereka agar beliau menjadi lebih kuat dan diyakini sebagai bakal Perdana Menteri.

Ada dua istilah yang hampir sama bunyi: retread dan retreat. Retread membawa maksud, memberi bunga tayar yang baharu kepada tayar lama. Retreat pula bererti (1) undur selepas kalah atau apabila menghadapi bahaya atau kesukaran –merujuk kepada tentera; (2) pergi ke tempat perlindungan atau tempat sunyi dari orang lain (menghilang dari orang awam, atau menghabiskan hujung minggu di tempat yang sunyi.” (Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay Dictionary, 2007:1257).

Apakah temurapat yang bermula Jumaat lalu (20.7.2019) selama tiga hari (22.7.2019) itu ‘mencari tempat perlindungan’ atau ‘berundur selepas kalah’ atau ‘menghilang diri dari orang awam’ bagi menghabiskan cuti hujung minggu sebelum berakhirnya bulan Julai?

Apakah pemilihan venue temurapat itu di sebuah hotel ternama di pantai peranginan Port Dickson itu sebagai petunjuk bahawa Anwar ingin memperkenalkan kepada ahli PKR kawasan ‘takluk politik’ yang baharu dimenanginya pada 13 Oktober 2018 itu? Boleh sahaja dibaca dan diberikan pelbagai tafsiran oleh sesiapa pun. Tidak salah, kecuali mengatakan retreat itu berlaku di Gombak atau Janda Baik.

Menariknya Azmin tidak hadir tetapi Tun Dr Mahathir hadir memberikan ucapan yang dilihat Anwar boleh menarik nafas lega. Sebelumnya, sekumpulan 27 wakil rakyat PKR memberikan peringatan kepada Anwar agar tidak membuat komen yang boleh membangkitkan ‘kecil hati’ Azmin dan ketika dalam temurapat, dilaporkan hanya enam orang sahaja ‘orang kuat Anwar’ menyatakan sokongan kepada Presiden PKR itu.

Maka, terfikirlah antara orang yang memerhati: Apakah sebenarnya yang terjadi? Apakah itu menggambarkan kekuatan sebenar Anwar sedangkan pada hari menerima memorandum beliau berkata, dirinya mempunyai kerusi yang mencukupi untuk diangkat menjadi Perdana Menteri?

Dr Mahathir seolah-olah tidak terganggu dengan penularan video seks sejenis Azmin walaupun pendirianya sudah dilihat berubah-ubah ketika pertama kali memberikan komen. Dari mempertahankan Azmin ‘tidak perlu bercuti’ untuk siasatan hinggalah kepada ‘terserah kepada Azmin untuk melakukannya’, Dr Mahathir berusaha meramahkan semula dirinya dengan Anwar yang dikatakan sedikit ‘terjejas’ dengan proses peralihan kuasa. Azmin dikatakan lebih menjadi ‘pilihan Dr Mahathir’ berbanding Anwar walaupun berikrar akan menunaikan janji bila tiba masanya.

Azmin belum dibuktikan bersalah. Azmin perlu dipertahankan kerana itu sebahagian daripada permainan politik longkang, gutter politics (istilah Azmin), dan konspirasi. Tetapi, bagaimanakah Azmin boleh ‘membersihkan’ dirinya dan kembali mengelip atau rapat semula dengan Anwar. Nampaknya, Anwar sudah menghulurkan ‘perapatan’ itu bila mengatakan ‘Syukur, Azmin tidak terlibat’ selepas Ketua Polis Negara mengesahkan ‘facial recognition’ sukar untuk dinyatakan “Ya!”.

Sebagai seorang yang licik, berhemat dan ‘ada agenda’, Dr Mahathir hadir membuat seruan penyatuan dalam PH bagi membolehkan gabungan mereka tidak berakhir dengan kekalahan dalam PRU ke-15 nanti. Walaupun tidak menyebut secara terang-terangan mengenai ‘retak dalam PKR’, Dr Mahathir memberi nasihat agar semua pihak jaga keharmonian dan elakkan perpecahan. Perpecahan akan membawa kepada kekalahan.

Retak dalam PKR semakin jelas apabila sekumpulan 14  orang wakil rakyat PArlimen dan Lapan ADUN membuat kenyataan bersama untuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim menghentikan sebarang ulasan mengenai video semburit yang boleh memburukkan hubungannya dengan Azmin Ali. Azmin Ali juga tidak hadir temurapat selama tiga hari di Port Dickson (18-21 Julai 2019) dan mesyuarat bulanan PKR pada Ahad lalu (28.7.2019).

Khabar angin  juga bertiup bahawa Azmin Ali bakal menyertai Gerakan. Setakat ini belum ada apa-apa kenyataan rasmi atau pengakuan daripada Azmin mengenai desas-desus itu. Bagaimanapun, Presiden Gerakan bersedia menerima Azmin dan kawan-kawan. Gerakan merupakan bekas komponen BN, dan mengisytiharkan keluar BN (23 Jun 2018) selepas prestasinya dalam PRU ke-14 begitu teruk.

Gerakan berhasrat menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif dan pernah menimbulkan polemik dengan UMNO berhubung isu keris (Panca Warisan) yang dicium oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hishamudin Hussein ketika dalam Persidangan Agung UMNO 2007.

Gerakan mendakwa, keris tersebut memberikan tekanan kepada pengundi bukan Melayu, yang kemudiannya dilihat secara simboliknya ‘menikam bukan Melayu’. Keris situ juga dilihat sebagai punca kekalahan teruk Gerakan sehingga tidak mampu mengekalkan pengaruhnya di Pulau Pinang dan penguasaan parti itu selama 39 tahun (1969-2008) berakhir.

Pergolakan dalam PKR itu turut mengheret Dr Mahathir dan sehingga kini, reaksi masyarakat turut memberikan tafsiran bahawa isu Azmin mempunyai sedikit kelebihan berbanding Anwar. Bahkan ada pihak yang mula memberikan tafsiran, dengan tersebarnya video semburit itu walaupun tidak dapat diterima oleh Dr Mahathir kerana ia adalah ‘konspirasi politik’ ia menyebabkan Anwar merasakan sedikit cemas mengenai proses peralihan kuasa. Sebab itulah Anwar dikatakan sedang giat berusaha untuk membuktikan dirinya mendapat sokongan besar daripada wakil rakyat PKR dan ahli parti.

Negeri-negeri dan wakil rakyat menandatangani ikrar menyokong Anwar, tetapi perkembangan tersebut dilihat oleh kem Azmin sebagai langkah terdesak bakal Perdana Menteri. Sekiranya terbukti bahawa proses penularan video itu ada kaitan dengan kem Anwar, pastinya peluang Anwar untuk jadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir dijangka terjejas.

Situasi tersebut juga bakal mengukuhkan kedudukan Dr Mahathir, sekurang-kurangnya beliau tidak perlu menyerahkan jawatan Perdana Menteri ke-8 kepada Anwar, ia akan ditentukan selepas kedudukan PH dalam PRU ke-15. Maknnya, Dr Mahathir dapat berkhidmat sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal.

Anwar yang resah dengan perkembangan tersebut dikatakan sedang mengukuhkan kerjasamanya dengan DAP manakala Dr Mahathir sedang merintis jalan untuk menarik seramai mungkin ahli dan wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu, termasuk cadangan penyatuan Melayu-Islam dibawah Bersatu (PPBM).

(bersambung)

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply