SEX AND POWER: THE RETURN (PART II)

Pada tahun 2016, berlaku ‘perbalahan’ dalam kalangan aktivis reformasi berkenaan siapakah yang akan jadi Perdana Menteri sekiranya BN berjaya ditumbangkan pada PRU ke-14. Perbalahan itu selesai seketika apabila Anwar (masih dalam tahanan) mengeluarkan kenyataan bahawa “saya memilih untuk tidak menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri” (Jun 2017).

peralihan kuasa’

Bagaimanapun, atas pemuafakatan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan, Dr Mahathir akan dilantik sebagai Perdana Menteri ‘sementara’ untuk tempoh peralihan sehingga Anwar benar-benar layak untuk mengambil alih kuasa.

Selepas mendapat pengampuan di raja, penyokong-penyokong Anwar mengharapkan berlakunya ‘peralihan kuasa’ sebagaimana dijanjikan. Akhir 2018, Perhimpunan Agung Tahunan PPBM mencadangkan agar Dr Mahathir diberikan peluang menjadi Perdana Menteri sehingga tamat penggal ke-14, iaitu sehingga PRU ke-15. Ia menjadi semakin lantang disuarakan apabila penyokong-penyokong Anwar terus mendesak Dr Mahathir memberikan tarikh ‘peralihan kuasa’ secara muktamad, dan bukannya sekadar berkata ‘selepas dua tahun’ atau ‘selama tiga tahun’.

Ketika isu ‘peralihan kuasa’ menggamatkan iklim politik Malaysia, meletus pula video semburit yang didakwa membabitkan Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) dan Haziq Aziz Abdul Rahman (setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Perusahaan Utama dan Ketua Pemuda PKR Cabang Santubong, Sarawak). Video tersebut dikatakan dirakam secara haram ketika PRK Sandakan, iaitu di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei 2019.

‘orang dalam PKR’

Beberapa jam selepas video itu tular, Haziq tampil membuat pengakuan mengesahkan dirinya terbabit dan mencadangkan agar Azmin disiasat. Azmin kemudiannya mengeluarkan kenyataan, video berkenaan adalah konspirasi memusnahkan masa depan politik, dan ia disebarkan oleh  ‘orang dalam PKR’. Isu itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi, bahkan Anwar menyatakan ‘jika video itu tulen, Azmin perlu meletakkan jawatan’ manakala Dr Mahathir berkata, ia adalah suatu konspirasi. Azmin tidak perlu bercuti dan siasatan boleh dilakukan bila-bila masa.

Selepas pihak polis mengesahkan kebarangkalian video itu tulen, Dr Mahathir menjadi sedikit ‘mesra Anwar’ apabila berkata, ia terpulang kepada Azmin untuk membuat keputusan sama ada bercuti atau tidak. Dr Mahathir masih belum yakin bahawa Azmin terbabit walaupun menempelak Haziq sebagai ‘orang yang tak malu’ dan mungkin ‘telah dibayar’.

Azmin memberikan respon yang keras terhadap komen Anwar denga meminta ‘cermin diri’ dan ‘bermuhasabah’. Sebelumnya, Ketua Penerangan PKR, bekas boss Haziq diberikan teguran keras, ‘jangan jadi munafik’ apabila Shamsul Iskandar Mat Akin meminta Azmin bercuti. Dua situasi itu cukup menekan dan tertekan buat Anwar. Masyarakat umum kembali mengingati kisah-kisah Anwar yang pernah dikaitkan dengan skandal seks dan semburit.

Khairudin Hassan, suami Umi Aida, pernah keluar parti (PPBM) pada 2016 dan dalam PRU ke-14 bertanding dalam Parlimen Jasin (kalah kepada calon BN dengan majoriti 219 undi), salah seorang yang membuat aduan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB dan  terbaharu, membuat laporan polis agar menyiasat semua video skandal seks yang membabitkan Anwar Ibrahim pada suatu ketika, termasuk China Doll.

bermuhasabah’ dan ‘cermin diri’

Dengan permintaan Azmin agar ‘bermuhasabah’ dan ‘cermin diri’, orang awam mula membayangkan semula dakwaan pembabitan Anwar dengan isteri Azmin, Samsidar Taharin. Walaupun pernah dinafikan oleh Azmin, orang awam percaya ia ada hubung-kait.

Azizan Abu Bakar adalah pemandu peribadi Samsidar Taharin (isteri Azmin) dan kemudian menjadi pemandu peribadi Wan Azizah. Dilaporkan Azizan pernah meninggalkan Samsidar di Bangsar yang kemudiannya dijemput oleh sebuah kereta Jaguar kepunyaan Anwar. Ironinya, Anwar tidak memfailkan saman (akuan bersumpah) ke atas Azizan, Sukma dan mereka yang mendakwa dirinya terbabit dengan perselingkuhan dengan Samsidar. Sedangkan beliau berusaha menyaman Saiful (laporan polis 30 Jun 2008) berkenaan tuduhan Liwat II walaupun ditarik balik (12 September 2012) selepas empat tahun tiga bulan.

Ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan UMNO (1999) Dr Mahathir menjelaskan:  ”Saya tidak menganiayakannya, saya tidak berkonspirasi untuk menyekatnya daripada menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia…Moral dan kelakuannya yang menyekat beliau daripada menjadi Presiden UMNO, bahkan daripada menjadi ahli UMNO…Walaupun pada ketika itu beliau adalah rakan dan kawan saya, kepentingan bangsa dan negara tidak mengizinkan saya menutup mata dan membiarkan sesuatu yang begitu buruk menimpa bangsa dan negara. ” (Baca: Mahathir Mohamad, Maruah Bangsa Tanggungjawab UMNO’ ucapan di Perhimpunan Agong UMNO di PWTC 1999).

akaun bersumpah

Selain kes tersebut, Muhyiddin juga mempunyai cerita mengenai hubungan sulit dengan seorang isteri orang. Dalam akuan bersumpah bekas Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin, hubungan sulit isterinya Nika Gee Siew Yee dengan Muhyiddin sejak bertahun-tahun menjadi punca penceraian pasangan tersebut pada 7 Disember 2015.

Muhyiddin menafikan pembabitan beliau dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tampil menyerahkan beberapa dokumen penting (termasuk Akuan Bersumpah Stanley) bagi membantu siasatan. Pengakhiran kes tersebut tidak diketahui bahkan Muhyiddin tidak berhasrat menyaman fitnah terhadap Stanley.

Terbaharu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari dikatakan pernah berada di sebuah hotel Sandakan bersama ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli semasa  Azmin Ali dan Haziq melakukan episod  semburit.

Juwairiya membuat laporan polis dan sedang mempersiapkan barisan peguam untuk mendakwa pemilik akaun facebook “Aku Darah Anak Malaysia—ADAM” yang dimuatnaik pada 9 Julai 2019 lalu. Dakwaan Juwairiya, ketika itu beliau tidak berada di Sandakan. (Baca: Tuduhan Skandal Dengan MB Selangor, Utusan Malaysia, 11 Julai 2019).

Dalam kalangan pemimpin UMNO, Dato’ Sri Najib pernah dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan seorang penyanyi dan kesnya dapat disembunyikan setelah ‘fail dan dokumen hilang’ manakala Tan Sri Isa Samad yang ketika itu adalah Menteri Besar Negeri Sembilan dikatakan campur tangan untuk menyelamatkan Najib agar tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Kes itu kemudiannya meletus semula apabila Isa Samad dipilih sebagai calon BN untuk PRK DUN Bagan Pinang (11 Oktober 2009).

‘ditangkap basah berkhalwat’

PAS juga tidak terkecuali daripada terbabit skandal seks para pemimpinnya. Pada 31 Januari 1995, Ketua Pemuda PAS, Mohamad atau Mat Sabu, yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri ditangkap basah berkhalwat dengan isteri pemandunya di sebuah hotel di Kota Bharu. Keesokannya (1 Feberuari 1995), PAS menegaskan mereka tidak akan campur tangan dan menyerahkan pihak mahkamah membuat keputusan mengenai kesalahan tersebut.

Akibat serangan bertubi-tubi pihak media dan ahli politik BN, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat (1921-2015) menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘konspirasi politik’manakala Presiden PAS, Fadzil Mohd Nor (1939-2002) memberi jaminan akan mengenakan tindakan disiplin terhadap Mat Sabu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan  menafikan bahawa tangkapan tersebut sebagai ‘konspirasi politik’ dan pada 21 Feberuari 1995, Mat Sabu membuat keputusan meletakkan jawatan dalam parti sebagai mengambil tanggungjawab mengenainya.

Dalam perbicaraan pada 4 hingga 6 April 1995, Kadi Besar Kelantan, Datuk Daud Mohamad membebaskan Mat Sabu disebabkan pendakwa gagal mengemukakan prima facie akibat percanggahan keterangan saksi. (Baca: PAS Imbas Semula Tuduhan Khalwat Mat Sabu, Malaysiakini, 1 Februari 2016).

Pada 11 April 2013, anggota polis yang sedang membuat rondaan menerima arahan untuk memeriksa enam belas (16) sampul surat mengandungi cakera padat berunsur lucah di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Lorong Hidayat, Kg Alor Lintang, Besut Terengganu.

Mirip Mustapha Ali

Setiap sampul surat berwarna putih itu mengandungi sekeping cakera padat dan apabila dibawa balik ke IPD Besut, ia disahkan melibatkan seorang ahli politik PAS, iaitu Setiausaha Agung, Datuk Mustapha Ali. Episod hubungan seks itu dikatakan berdurasi 11 minit 25 saat membabitkan seorang wanita. (Rujuk: https://wwwmegatpanjialam.blogspot.com/2013/04/video-skandal-seks-mustapha-ali.html)

Pada mulanya disyaki bukan rakyat Malaysia, tetapi setelah beberapa hari, ia dikatakan seorang wanita yang menjadi proksi dalam sebuah syarikat yang mendapat konsesi balak ketika PAS berkuasa di Terengganu. Mustapha kemudiannya mendakwa penyebaran video berkenaan dilakukan oleh UMNO dan kerana itu, UMNO memberikan tempoh 24 jam untuk PAS menarik balik dakwaan tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil.

Ekoran kes tersebut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed menggesa Mustapha Ali meletakkan jawatan. (Rujuk: https://says.com/my/news/skandal-video-seks-pas-mustapha-ali-pakatan-rakyat-tersebar-di-terengganu).

Sekitar tahun 1970-an, terdapat khabar angin bahawa Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein (1922-1976) menjalin hubungan sulit dengan seorang pelakon terkenal tanah air. Ada juga dakwaan mengatakan punca sebenar kematian Tun Razak (14 Januari 1976) di London adalah akibat terkejut apabila mendapat tahu bahawa bahawa intimnya dengan pelakon popular berkenaan berada dalam tangan musuh politiknya. Sejauhmanakah kebenaran cerita ini tidak dapat dipastikan, sebaliknya apa yang diketahui punca kematian Tun Razak ialah kanser darah atau leukimia.

Skandal Montoya

Kredibiliti Menteri Besar Kedah, Syed Nahar Syed Sheh Shahabudin (1934-1998) turut tercemar dengan video sambutan pesta berfoya-foya di negeri Kedah 1984. Dalam video itu, Syed Nahar memakai pakaian ala Mexico sedang berseronok dalam satu majlis peribadi yang membabitkan percampuran bebas lelaki dan wanita.

Video yang dikenali sebagai ‘Skandal Montoya’ sempena satu watak (Don Sebastian Montoya) pemilik hacienda (ladang) di sempadan Mexico dalam siri High Chaparral (tajuk sebuah siri drama tv keluaran NBC antara tahun 1967-1971 dan disiarkan di TV 1 tahun 1980-an) itu akhirnya memaksa Syed Nahar meletakkan jawatan (28 Januari 1985).

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply