SEX AND POWER: THE RETURN (PART 1)

TIGA tahun lalu, seorang bloger menyiarkan sebuah rencana yang ditulis oleh Kickdefella (Syed Azidi Syed Abdul Aziz, lahir 1970 di Kota Bharu, Kelantan) bertajuk “Wajib Tengok, Adilnya Senarai Skandal Politik Malaysia” (Baca: http://muzammilarif.blogspot.com/2013/04/wajib-tengok-adilnya-senarai-skandal.html). Rencana tersebut mengisahkan beberapa skandal seks yang melibatkan pemimpin politik Malaysia.

Sehingga tahun 2013, skandal seks yang menggemparkan lanskap politik Malaysia video seks Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Setiausaha Agung MIC, DP Vijandran (1989); hubungan seks dengan gadis bawah umur yang melibatkan Ketua Menteri Melaka, Tan  Sri Rahim Thamby Chik (1994); skandal seks yang membabitkan isteri seorang pemimpin DAP dan ADUN Prai, S Assemaley (1991) di mana isterinya ‘membunuh diri’; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar didakwa mempunyai seorang anak luar nikah (2000); dan DVD seks antara Menteri Kesihatan dan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek dengan seorang wanita penjual bunga dari Tangkak (2007).

DP Vijandran terpaksa berundur diri daripada politik; Rahim Thamby Chik walaupun kemudiannya didapati tidak bersalah, kerjaya politiknya semakin pudar; S Assemaley (meletakkan jawatan sebagi ADUN sehari selepas mayat isterinya ditemui terapung di laut dan beliau meninggal dunia akibat angin ahmar pada bulan Mei 2000; Abu Hassan Omar (1940-2018) meletakkan jawatan pada 10 Ogos 2000 atas alasan masalah kesihatan; dan Chua Soi Lek tampil secara gentlemen membuat pengakuan “sayalah lelaki dalam video itu” (1 Januari 2008) dan meletakkan jawatan dalam politik sehari selepas itu.

‘mengkhianati wanita’

Kerjaya politik Dr Chua Soi Lek  belum musnah sepenuhnya, tetapi sebahagian ahli MCA, terutama wanita tidak boleh menerima kemunculan semula seorang yang dilihat ‘mengkhiati wanita”. Dalam pemilihan Jawatankuasa MCA Pusat pada tahun 2008, Chua menang jawatan Timbalan Presiden MCA (18 Oktober 2008). Kemenangan itu ada kaitannya dengan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada MCA dalam PRU ke-12 dan desakan Chua agar presidennya, Ong Ka Ting meletakkan jawatan.

Dalam pemilihan MCA pada 28 Mac 2010, Chua Soi Lek menang jawatan Presiden MCA. Prestasi pencapaian MCA tidak memuaskan dalam PRU ke-13, maka beliau tidak mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan selanjutnya, tempatnya digantikan oleh Low Tiong Lai (21 Disember 2013 hingga 11 Mei 2018). Dalam PRU ke-14, MCA hanya menang di Air Hitam, Johor dan selepas kekalahan tersebut, Low Tiong Lai meletakkan jawatan. Ia digantikan dengan Dr Ir Wee Ka Siong mulai 16 November 2018.

Kesemua skandal seks itu membabitkan hubungan antara lelaki dan wanita. Ia berbeza dengan apa yang membuatkan Anwar Ibrahim terpaksa ‘menonong’ hingga kini untuk memburu cita-citanya sebagai Perdana Menteri. Pada tahun 1998, Anwar dipecat daripada kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO (dimenangi pada tahun 1993) ekoran laporan penyiasatan polis membabitkan kes semburit (juga dikenali seks luar tabie, seks songsang dan seks sesama jenis, iaitu lelaki dengan lelaki,  atau homoseksual atau sodomi).

menangkis agitasi

Anwar kemudiannya ditahan dan dibicarakan. Ia mencipta sejarah politik yang besar apabila pemecatannya membawa kepada permusuhan yang memaksa Dr Mahathir bekerja lebih kuat untuk menangkis agitasi dan provokasi pelbagai pihak, termasuk daripada pemimpin dan media antarabangsa yang bersekutu atau bersimpati dengan Anwar.

Proses perbicaraan turut menampilkan budaya baharu dalam politik Malaysia di mana ‘tilam diangkut ke mahkamah sebagai bahan bukti’ dan media mula menggunakan istilah yang sebelumnya dianggap ‘taboo’ atau ‘dilarang’ untuk memerihalkan makna liwat atau seks di luar tabie. Perkataan ‘liwat’ menjadi siulan dan ungkapan sinis dalam tingkah politik Malaysia seperti sebuah lelucon.

Anwar dituduh meliwat Azizan Abu Bakar pada tahun 1994, tetapi Azizan memberitahu, ia tidak berlaku selepas tahun 1992. Tarikh itu kemudiannya dipinda kepada tahun 1992. Ia kemudiannya dipinda dari Januari hingga Mac 1993 apabila menyedari bahawa tempat kejadian, iaitu Tivoli Villa di Bangsar hanya siap dibina pada tahun 1992.

Pada 5 Ogos 1997, Azizan melafazakan sumpah laknat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan nama Allah dan memegang surah Yassin bagi mengesahkan dirinya telah diliwat. Anwar menafikan perlakuan tersebut walaupun daripada analisis DNA, seorang pakar kimia DNA, Lim Kong Boon mendapati bahawa 10 daripada 13 noda cecair di tilam sepadan dengan DNA Anwar. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Kes_liwat_Anwar_Ibrahim_I).

Azizan juga memberitahu Mahkamah Tinggi, dirinya telah diliwat antara 10 hingga 15 kali oleh Anwar sejak tahun 1992 (3 Ogos 1999). Azizan juga didakwa turut diliwati oleh Sukma Darmawan. Sukma kemudiannya dijatuh hukuman penjara selama enam tahun dan empat kali sebatan selepas didapati bersalah bersubahat (dan meliwat) dalam kes liwat Anwar dan Azizan. Bagaimanapun, hukuman sebat tidak dilaksanakan.

Liwat 1

Anwar juga dituduh meliwat penulis ucapannya, Dr Munawar Ahmad Anees. Dr Munawar adalah kelahiran Pakistan dan mempunyai taraf kerakyatan Amerika Syarikat. Ketika Anwar menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, Dr Munawar dilaporkan telah diberikan taraf warganegara Malaysia, tetapi tidak sempat mendaftar sebagai pengundi sebelum ianya ditangkap oleh pihak polis. Atas pengakuannya membenarkan Anwar meliwat dirinya, Dr Munawar dihukum penjara selama enam bulan. Sebaik sahaja keluar penjara, beliau kembali menetap di Amerika Syarikat.

Dalam perbicaraan kes Liwat 1, Anwar didapat bersalah dan dihukum penjara selama sembilan tahun (8 Ogos 2000). Bagaimanapun, hukum penjara itu akan dilaksanakan selepas Anwar selesai menjalani hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan salah laku (empat tuduhan rasuah) kerana campur tangan dalam siasatan polis kes salah laku seksnya. (Baca: Arkib Perbicaraan Anwar Ibrahim VS Pendakwaraya, https://arkibperbicaraananwaribrahim.blogspot.com/2008/08/keputusan-kes-liwat.html).

Bagaimanapun pada pada 5 Sept 2004, dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas menang dalam rayuan terakhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara itu (Baca: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2011/12/29/bekas-hakim-datuk-arifin-jaka-meninggal/#0H4MSQCKaJYP7fVy.99).

Anwar dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 2 September 2004. Mengenai pembebasan Anwar, Michael Backman, seorang penulis dari Australia menjadikan ia sebagai salah satu bab dalam bukunya, Inside Knowledge: Streetwise in Asia (2005), memetik kenyataan hakim “kami menemui bukti yang perayu-perayu telah terlibat dalam aktiviti-aktiviti homoseksual” dan “walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada tahun 2004 ‘menterbalikkan hukuman’ bersalah melakukan aktiviti homoseksual, yang membolehkan Anwar keluar dari penjara, tetapi keputusan hakim itu tidak dapat membersihkan dirinya daripada aktiviti homoseksual  itu.”

Tulis Michael Backman lagi, “Kebanyakan penganalisis dan wartawan yang melaporkan tentang keputusan hakim Mahkamah Persekutuan, tidak membaca keseluruhan keputusan hakim-hakim yang setebal 36 muka surat itu” . (Baca: http://sanggahtokjanggut.blogspot.com/2011/01/michael-backman-walaupun-bebas.html).

Liwat II

Anwar kembali menjadi perbincangan panas selepas seorang pegawai peribadinya, Saiful Bakhari Azlan membuat pendedahan bahawa dirinya telah beberapa hari tidak dapat membuang air besar kerana telah diliwat. Saiful telah menemui seorang doktor di PUSRAWI, Dr Mohamad Osman (28 Jun 2008) dan hasil pemeriksaan umum tidak diperoleh kesan akibat liwat.

Ekoran itu, Saiful ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan semula. Pada tarikh yang sama, Saiful membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur mendakwa dirinya telah diliwat oleh bekas majikannya, Anwar Ibrahim dan kali terakhir berlaku di sebuah kondominium di Damansara.

Dua hari selepas itu, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Saiful (30 Jun 2008). Anwar kemudiannya mengaku ‘tidak bersalah’ di Mahkamah Sesyen (7 Ogos 2008) dan pada 5 Mac 2009, kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan 1 hingga 24 Julai 2009. Pada 17 Jun 2009, Anwar memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat dan 1 Disember 2009, Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk mengetepikan tuduhan liwat hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.

Perbicaraan dimulakan pada 3 Februari 2010 dengan Saiful memberikan keterangan bahawa Anwar mengajaknya melakukan hubungan seks di luar tabie pada 26 Jun 2008 selepas selesai berbincang jadual kerja di sebuah unit kondominium di Desa Damansara.

Setelah beberapa kali gagal meminta mahkamah mengetepikan tuduhan liwat, menggantikan hakim (meminta hakim Mohamad Zabidin menarik diri sebanyak tiga kali), meminta Perdan Menteri dan isteri (Najib dan Rosmah) memberi keterangan sebagai saksi (sebab Saiful pernah menemui Perdana Menteri), pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

Penghakiman setebal 80 halaman itu menjelaskan mahkamah tidak boleh 100 peratus yakin mengenai integriti sampel ujian DNA Saiful kerana ianya mungkin telah dikompromi sebelum tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis. Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan petisyen rayuan pada 9 Julai 2012. Pada 12 September 2012, Anwar menarik balik samanya ke atas Saiful. Mahkamah kemudiannya (22 Februari 2013) membuat ketetapan untuk mendengar rayuan selama dua hari mulai 22 Julai 2013.

Anwar kemudiannya membuat permohonan untuk melucutkan kelayakan peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya (18 September 2013) dan pada 21 November 2013, Anwar gagal dalam permohonan tersebut. Sekali lagi Anwar mengemukakan permohonan yang sama, tapi ditolak pada 11 Disember 2013.

Petisyen Rayuan

Anwar kemudiannya dijatuhkan hukuman bersalah pada 7 Mac 2014. Anwar dihukum penjara selama lima tahun selepas Mahkamah Rayuan mendapatinya bersalah meliwat Saiful. Anwar mengemukakan petisyen rayuan pada 24 April 2014 dan 7 November 2014, Mahkamah Persekutuan menangguhkan prosiding selepas berjalan selama lapan hari. 10 Februari 2015 ditetapkan sebagai tarikh keputusan akhir  rayuan dan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pasukan peguam Anwar untuk mengetepikan hukuman penjara selama lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bakhari Azlan (Rujuk: Kronologi Liwat II Anwar Ibrahim, Berita Harian, 10 Februari 2015).

Anwar mendapat pengampunan penuh tanpa syarat pada 16 Mei 2018 dan pada 13 Oktober menang kerusi Port Dickon dalam PRK yang diadakan atas alasan penyandang bersedia berkorban, bukan paksaan. Episod itu seolah-olah mengulangi pengunduran penyandang DUN Kajang (Lee Chin Cheh) dan Wan Azizah pada tahun 2008 di Permatang Pauh.  Langkah Kajang gagal mencapai matlamatnya apabila Wan Azizah tidak terpilih sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Langkah Kajang turut menyenaraikan kegagalan Anwar, yang sebelum itu kecewa kerana Road to Putrajaya tidak menjadi kenyataan (16 September 2008). Anwar pernah mendakwa bahawa penetapan tarikh PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 adalah suatu usaha untuk menyekatnya daripada bertanding kerana tempoh tamat ‘larangan berpolitik’ adalah pada 14 April 2008 dan pada malam itu diadakan satu ‘perhimpunan pembebasan’ besar-besaran di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baharu, Kuala Lumpur. Pada malam itu, Anwar berjanji akan ‘menukarkan kerajaan’  apabila dirinya kembali ke Parlimen. (Baca: Ooi Kee Beng, Johan Saravamuttu and Lee Hock Guan, Mac 8: Eclipsing May 13, 2009).

Mahathir bertemu Anwar

Bulan September 2016, Dr Mahathir bertemu dengan Anwar di mahkamah sebagai sokongan Anwar mencabar tindakan Najib melaksanakan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776) yang ketat dan boleh digunakan untuk menyekat kebebasan asasi di mana parti yang memerintah boleh melakukannya sewenang-wenangnya. “Anggota keselamatan boleh menangkap mana-mana orang tanpa waran yang didapati melakukan, didakwa telah melakukan atau semunasabahnya disyaki telah melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis di dalam kawasan keselamatan” (Perkara 25)

Pasukan Keselamatan juga diberi hak untuk memeriksa dan menyita tanpa waran (Perkara 26); menggelidah premis bagi benda berbahaya (Perkara 27);  memeriksa orang bagi benda berbahaya (Perkara 28);  menyita kenderaan, vessel, pesawat udara atau pengangkut (Perkara 29); mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih (Perkara 30); permintaan bagi penggunaan sumber (Perkara 31); memusnahkan bangunan tertentu yang tidak dihuni (Perkara 33); penggunaan kekerasan yang munasabah dan perlu (Perkara 34); Kuasa menetapkan inkues dan sebagainya (Perkara 35); dan Penyerahan orang yang ditangkap dan benda yang disita kepada polis (Perkara 36).

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply