SHEIKH RAED SALAH IKON KEBANGKITAN RAKYAT PALESTIN

Seorang tokoh yang digeruni oleh rejim Israel.  Beliau yang terkenal dengan gelaran Sheikh Al-Aqsa ini pernah dipenjarakan selama dua tahun oleh Israel kerana keberaniannya berjuang mempertahan tanah air.

Namun tindakan Israel menangkap semula beliau baru-baru ini memperlihatkan rejim itu sebenarnya takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Beliau yang didakwa kerana mempertahankan tapak suci berkenaan dan menyokong gerakan Islam di wilayah Palestin ini tidak pernah gentar dan patah semangat.

Jika diberikan pilihan antara memasuki penjara atau berhenti memperjuangkan Masjid Aqsa, beliau lebih rela dipenjarakan.

Kisah syahid

Penglibatan beliau sebagai aktivitis pembebasan Al-Aqsa bukan baharu. Segalanya bermula sejak kecil lagi. Saban hari, beliau sering mendengar cerita tentang abang dan bapa saudaranya yang terkorban dalam memperjuangkan bumi Palestin.

Kisah-kisah syahid ini telah membakar semangat beliau untuk turut sama menawarkan diri dalam perjuangan.

“Ketika remaja, berlaku pertembungan pemikiran antara atheis, mazhab dan orientalis. Apa yang dipelajari di sekolah tidak banyak membantu hala tuju saya ketika itu. Hinggalah suatu ketika, saya terjumpa sebuah buku bertajuk Percubaan Memahami Semasa Menurut Al-Quran tulisan Dr Mustafa Mahmud. Pembacaan buku itu banyak membantu saya mengenal hala tuju perjuangan yang diwarisi anak-anak Palestin.

“Saya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti dalam bidang syariah di bandar Al-Khalil, berdekatan dengan Baitulmaqdis. Sejak itulah, bermulanya keakraban saya dengan Al-Aqsa.  Setiap kali menunaikan solat, saya dapat menyaksikan kebiadaban tentera Zionis kepada umat Islam. Semangat saya membara. Saya mula menyertai demonstrasi bersama pemuda-pemuda lain hingga pernah ditangkap dan ditahan. Namun. itu bukanlah penyudah sebuah perjuangan,” terang beliau panjang lebar.

Penemuan terowong

Sheikh merupakan Ketua Gerakan Islam di Palestin-1948, yang kini dikenali sebagai Israel. Selain kegigihan beliau membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis Israel. Beliau juga adalah individu pertama yang menemui terowong Yahudi di bawah Masjid Al-Aqsa.

“Saya menemui terowong tersebut pada tahun 1996. Ekoran penemuan itu, satu sidang media telah diadakan bagi mendedahkan rahsia tersebut kepada umum. Israel telah menggunakan bahan kimia untuk proses penggalian tersebut. Ia menjadikan struktur Al-Aqsa rapuh dan  boleh runtuh pada bila-bila masa.

“Saya tidak boleh berdiam diri, dunia perlu tahu kebiadaban dan misi jahat Israel terhadap Masjid Al-Aqsa. Pelbagai saluran telah saya gunakan termasuklah melalui pameran dan rakaman dokumentari.

Ini menjadikan saya sentiasa menjadi orang buruan mereka. Kajian juga mengesahkan  Haykal Sulaiman benar-benar tiada di bawah Al-Aqsa. Namun, mereka masih mahu meneruskan penggalian. Ini jelas menunjukkan Israel benar-benar ingin menghancurkan Al-Aqsa.”ujar Sheikh bersemangat.

Syahid di penjara

Sheikh tidak gentar dengan ujian, ancaman dan halangan. Sepanjang lebih 30 tahun perjuangannya, penjara sudah menjadi kediaman keduanya.

Penahanannya Julai lalu telah menyaksikan kezaliman penjajah Israel terhadap beliau. Di dalam ruang yang sempit, beliau dikurung tanpa perikemanusiaan.

 “Sepanjang perjuangan, saya telah dipenjarakan beberapa kali. Paling lama selama dua tahun iaitu pada 2003. Tentera Zionis memang kejam. Saya tidak pernah tahu tentera mana lagi yang sanggup memenjarakan kanak-kanak selain Israel.

“Ramai dalam kalangan tahanan sama ada lelaki, wanita dan kanak-kanak dipenjarakan berabad lama tanpa sebab. Bahkan, ada yang syahid di sana. Apa yang saya tahu, lebih setengah juta rakyat Palestin di penjara Israel. Tentera mereka menyeksa tahanan tanpa membezakan mereka lelaki, wanita dan anak kecil. Ada wanita yang hamil digari kaki dan tangannya. Sehingga akhirnya beliau melahirkan anak dalam keadaan kaki tangan terikat.

“Mereka membesarkan anak-anak di dalam penjara. Tidak kurang juga tahanan yang tidak pernah berjumpa dengan anaknya kerana dipenjarakan seumur hidup. Inilah bukti kekejaman mereka. Harga paling murah demi membebaskan Al-Quds adalah melalui penjara,” Terang beliau.

Menariknya sepanjang tempoh tahanannya, beliau mengisi masa yang terluang dengan membaca 80 buku, menulis empat buah buku serta mengarang 23 syair.

Pencapaian

– Pengasas Harakah Islamiah, Palestin 48 (kini dikenali sebagai Israel)

– Pendakwah di peringkat negara Arab dan antarabangsa

– 1980-1985 : Bekerja sendiri/ berniaga selepas dihalang oleh Israel daripada mengajar di sekolah

– 1989-1989 : Pengarah Majalah Bulanan As-Siroth

– 1989 : Yang Dipertua Majlis Perbandaran Umm Al-Fahm

– 1989-2001 : Timbalan Pengarah, Komiti Ketua-Ketua Pihak Berkuasa Tempatan Arab (mewakili Palestin) & Timbalan Presiden, Badan Pemantau Tertinggi Penduduk Arab

– 1993 : Dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Majlis Perbandaran Umm Al-Fahm bagi penggal kedua dengan kemenangan 74 peratus

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/fikry/sheikh-raed-salah-ikon-kebangkitan-rakyat-palestin-1.773559

No Comments

    Leave a reply