SI YAHUDI YANG MEMPERAKUI KEADILAN ISLAM

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan khianat, lagi sentiasa dosa. Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredai Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan. Sedarlah! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujjah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang berhujjah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau  siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (daripada azab seksa yang disediakan oleh Allah)?” (al-Nisaa: 105-109)

MADINAH al-Munawwarah, tahun keempat Hijrah. Perang Uhud baru beberapa bulan berlalu. Setelah Uhud, kaum Muslim menghadapi beberapa peristiwa penting lainnya, termasuk Hamra al-Asad dan pengepungan serta penyerangan Bani al-Nadhir. Kaum Muslim di Madinah beristirahat dan bersiap-siap menghadapi perang baru, baik menghadapi Quraisy mahupun kaum Yahudi. Mereka mempersiapkan diri dan segala kelengkapan perang yang diperlukan. Rifaah ibn Zaid termasuk di antara kaum Muslim yang ikut serta dalam Perang Uhud dan perang-perang lain. Kini, ia bersiap-siap menghadapi perang lain. Kerana itu, Rifaah membeli gandum dan kurma kering daripada kafilah yang datang dari Syam (Syria). Ia menyimpan bahan makanan dalam suatu bekas beserta pedang dan baju perangnya. Dengan begitu, apabila tiba waktu untuk keluar berperang, iatinggal membawa semua perbekalan perang itu.

Pada suatu malam… Kegelapan menyeliputi Madinah. Cahaya bulan tidak kelihatan. Semua tidak terlihat, kecuali cahaya yang menerangi masjid Rasulullah s.a.w. Keesokan harinya, Rifaah berhasrat mengambil bekalan untuk keluar berperang termasuk makanan. Namun, ia terkejut kerana gandum dan kurma keringnya telah dicuri, begitu juga pedang dan zirahnya. Ia benar-benar berasa sedih kerana kehilangan barang yang sangat diperlukannya dalam peperangan. Ia bertanya kepada para jiran tetangganya termasuk Labid ibn Sahl dan keluarga Ubairaq. Salah seorang yang dicurigai oleh Rifaah ialah anggota keluarga Ubairaq. Bani Ubairaq menafikan tuduhan itu dan berkata kepada Rifaah, “Kami tidak melihat sesiapa pun pada malam itu kecuali sahabatmu, Labid ibn Sahl. Dialah yang mencuri.” Ketika Labid mendengar tuduhan itu, ia terus menghunuskan pedangnya dan berkata kepada Rifaah, “Aku! Aku mencuri? Demi Allah, kau akan merasakan libasan pedangku. Kita mesti mencari siapa yang benar-benar mencuri!” Rifaah berkata kepada Labid, “Pergilah, kau bukan sahabat kami.”

Meskipun demikian, Rifaah tetap mencurigai keluarga Ubairaq yang tinggal di pinggir Madinah. Mereka adalah orang miskin yang tidak pernah mendapat makanan yang cukup. Namun, mereka juga terkenal kerana suka mempergunakan milik orang lain tanpa rasa bersalah. Kecurigaan Rifaah semakin menebal apabila mengingat bahawa pada malam kejadian itu, di tengah-tengah kegelapan malam, mereka sedang menyalakan api. Tidak syak lagi, mereka sedang memasak makanan, sesuatu yang tidak biasa mereka lakukan. Itu pasti makanan yang di curi. Dan tentu mereka jugalah yang mencuri pedang dan zirahnya.

Rifaah menceritakan kejadian kecurian itu kepada salah seorang anak saudaranya, Qatadah ibn al-Nu’manjuga mengadukan kecurigaannya kepada keluarga Ubairaq, terutama kepada tiga orang lelaki, iaitu Basyar, Mubasyar, dan Basyir. Menurutnya, merekalah yang telah mencuri makanan dan peralatan perangnya. Yang menjadi kemusykilan Rifaah bukanlah makanan. Ia dapat membelinya lagi. Yang menjadi kemusykilannya adalah pedang dan zirahnya, yang sangat diperlukannya dan selalu menemaninya dalam peperangan. Akhirnya, Rifaah dan Qatadah amat yakin bahawa si pencuri itu adalah anggota keluarga Ubairaq. Lalu apa yang harus mereka lakukan untuk membuktikan dan menghukum si pencuri itu?

Rifaah dan Qatadah sepakat menghadap Rasulullah s.a.w dan mengadukan kepada baginda apa yang dilakukan keluarga Ubairaq. Mereka memohon petunjuk dan ketetapan daripada Rasulullah s.a.w agar senjata dan zirah Rifaah dapat dikembalikan. Qatadah berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya seorang keluarga kami (orang Ansar) telah melakukan kejahatan. Mereka memasuki gudang bapa saudaraku, Rifaah, pada suatu malam dan mencuri makanan, senjata, dan zirah (baju perang – baju besi). Bapa saudaraku tidak mempersoalkan makanan. Senjata dan zirahlah yang menjadi perhatiannya.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku akan menyelesaikan masalah ini.” Keluarga Ubairaq mengetahui bahawa Qatadah mengadukan perlakuan mereka kepada Rasulullah s.a.w. Mereka tidak mahu kesalahan mereka diketahui oleh Rasulullah. Jika Rasulullah telah menetapkan mereka sebagai pihak yang bersalah, tentu semua kaum Muslim akan mengetahui aib mereka. Apa yang harus mereka lakukan? Mereka merancang untuk membebaskan diri dari tuduhan itu. Mereka mengalihkan tuduhan itu kepada orang lain. Mereka mencari orang yang paling layak dituduh. Basyir melakukan tugasnya. Ia menyembunyikan pedang dan zirah curian itu di tempat tersembunyi, di rumah seorang Yahudi, Zaid ibn al-Samin, salah seorang jiran Rifaah. Kini, mereka bersedia menghadap Rifaah dan saudaranya.

Rasulullah s.a.w mempertemukan kedua-dua belah pihak. Masing-masing pihak mempertahankan pendirian mereka Rifaah menuduh sedangkan Ubairaq bersungguh-sungguh menafikan tuduhan itu dan meminta bukti daripada Rifaah. Untuk sementara waktu, Rasulullah tidak dapat memutuskan siapa yang benar dan siapa yang salah. Keluarga Ubairaq berusaha menafikan tuduhan itu dan meminta bukti daripada Rifaah dan Qatadah. Bahkan, mereka mencela Rifaah dan Qatadah kerana menuduh saudara dan jiran tetangganya tanpa bukti yang jelas. Basyir memandang Rifaah dengan pandangan tajam, kemudian berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang mencuri makanan dan peralatan perang Rifaah ialah seorang musuh Islam, yang tidak suka melihat kedamaian dan kebahagiaan kaum Muslim. Mereka berusaha mengganggu kesejahteraan dan ketenteraman umat Islam. Pencuri itu berasal dari Bani Nadhir. Ia adalah Zaid ibn al-Samin, si Yahudi yang sombong terhadap Islam, yang melawan kaum Muslim kerana mengalahkan agama mereka. Mungkin ia menghendaki pedang dan zirah itu untuk dirinya agar kaum Muslim kalah apabila berperang melawan pasukan Yahudi. Sungguh buruk niat dan perilakunya itu.”

Kata-kata Basyir itu terdengar meyakinkan dan bersesuaian dengan fakta-fakta yang terjadi di Madinah saat itu sehingga hampir saja Rasulullah mempercayai kata-katanya dan meyakini bahawa pencurinya adalah si Yahudi itu. Namun, setiap tuduhan harus disertai bukti nyata. Mereka harus mencari senjata dan zirah. Kedua-dua barang curian itu seharusnya ada pada si Yahudi itu. Hingga saat itu, keadaannya masih misteri. Rasulullah sendiri ingin keluarga Ubairaq terbebas daripada tuduhan kerana mereka adalah Muslim. Mereka perlu membuktikan bahawa pencurinya adalah Yahudi itu. Rasulullah s.a.w mengutus beberapa orang ke rumah Zaid ibn al-Samin, si Yahudi itu. Basyir menawarkan diri untuk menyertai utusan itu sehingga ia dapat mengumumkan kepada orang ramaibahawa keluarganya terbebas daripada tuduhan, dan bahawa pencurinya adalah si Yahudi, musuh kaum Muslim.

Si Yahudi itu terkejut melihat kedatangan utusan Rasulullah s.a.w yang hendak menggeledah rumahnya, mencari senjata dan zirah milik Rifaah. Ia sama sekali tidak mengetahui barang-barang yang dicuri itu. Ia tetap percaya kepada dirinya sendiri. Memang benar ia Yahudi, layak untuk dituduh, namun ia yakin sepenuhnya terhadap kebenaran dirinya dan keadilan Rasulullah s.a.w. Ia yakin, mereka tidak akan menemui senjata dan zirah itu di rumahnya, kerana memang ia tidak mencuri peralatan perang itu. Namun, kali ini ia seperti disambar petir. Ia bingung bukan kepalang. Jantungnya hampir tercabut ketika utusan Rasulullah s.a.w itu, yang disertai oleh Basyir berteriak senang, “Ini dia zirah yang dicuri, dan ini senjatanya. Ini zirah dan pedang milik Rifaah.” Bukti-bukti itu menegaskan bahawa yang mencuri senjata dan zirah milik Rifaah adalah Zaid ibn al-Samin. Zaid berusaha menepis tuduhan itu berkata bahawa dia berada di tempat lain sewaktu peristiwa itu berlaku. Namun, ia berada di pihak yang lemah dan terdesak. Ia tidak memiliki kuasa apa-apa. Bukti menegaskan bahawa ia yang melakukan kejahatan itu. Pasti ia akan menerima hukuman di atas perbuatannya itu.

Urusan itu telah dianggap selesai, kerana pencurinya telah terbukti. Tidak dapat diragukan lagi. Kini, apa yang harus dilakukan Rasulullah s.a.w adalah menghukum si pencuri dan membebaskan tertuduh yang tidak berdosa. Tidak lama selepas kejadian itu, dan belum sempat lagi pihak-pihak yang bertikaian itu pergi, Allah s.w.t menurunkan ayat yang menjelaskan masalah ini:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu, membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang yang khianat, dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Nisaa: 105)

Kemudian Allah s.w.t menurunkan ayat berikut:

Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Menyayangi. Dan janganlah berdebat dengan orang yang telah mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berkhianat dan berdosa.” (al-Nisaa: 106-107)

Ayat-ayat itu menjelaskan kepada Nabi s.a.w bahawa keluarga Ubairaq telah menipu dan mengalihkan tuduhan kepada orang lain. Mereka tidak jujur dalam usaha membebaskan diri daripada tuduhan itu padahal mereka adalah penjahat yang sebenar.

Ayat-ayat itu terus dilanjutkan dengan ayat-ayat berikutnya:

Mereka bersembunyi daripada manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi daripada Allah, padahal Allah beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang tidak Allah redai. Dan Allah Maha Meliputi (ilmu-Nya) terhadap apa yang mereka kerjakan. Begitulah (keadaan) kamu. Kamu berdebat untuk (membela) mereka pada hari kiamat? Atau siapakah yang menjadi pelindung mereka (terhadap seksa Allah)?” (al-Nisaa: 108-109)

Rasulullah s.a.w mengetahui bahawa dalam perkara itu si Yahudi menjadi mangsa penipuan dan rancangan yang dilakukan oleh anggota keluarga Ubairaq – si pencuri yang sebenarnya. Lalu turun ayat selanjutnya:

Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Barangsiapa melakukan dosa, maka sesungguhnya ia melakukan untuk (kemudaratan) dirinya sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (al-Nisaa: 110-111)

Berdasarkan keterangan dan penjelasan daripada ayat-ayat itu, Rasulullah menetapkan keputusan kepada pihak-pihak yang bertikaian: keluarga Ubairaq, Rifaah, Qatadah, dan Zaid si Yahudi. Rasulullah s.a.w memutuskan bahawa Yahudi itu terbebas daripada tuduhan. Ini merupakan bentuk penghormatan kepada Yahudi itu sehingga ia akhirnya menyedari dan memperakui keadilan Islam. Pada aaat itu juga ia menyatakan keislamannya. Keluarga Ubairaq mengakui kesalahan mereka. Salah seorang daripada mereka, iaitu Basyir telah disesatkan syaitan sehingga ia menceroboh masuk ke gudang milik Rifaah dan mencuri pedang, zirah, dan bekalan makanan Rifaah. Ketika kejahatan mereka terbongkar, ia menyembunyikan barang-barang itu di rumah Zaid ibn al-Samin. Namun Allah menyingkapkan tipu daya mereka. Peristiwa ini memperingatkan keluarga Ubairaq yang telah melakukan kejahatan sehingga mereka harus memohon keampunan Allah. Setelah menyaksikan rangkaian peristiwa itu, Rifaah berniat menghibahkan pedang dan zirahnya. Ia berkata, “Aku memberikan kedua-duanya ke jalan Allah.” Si pencuri yang sebenarnya, iaitu Basyir Ubairaq, setelah rahsianya terbongkar, segera meninggalkan Madinah kerana bimbang dihukum oleh Rasulullah s.a.w. Ia pergi ke Mekah, menuju rumah Salafah bint Sa’d yang ketika itu masih kafir dan memusuhi Islam, kerana suami dan anak-anaknya terbunuh dalam Perang Uhud. Di hadapan wanita itu Basyir mengungkapkan syair yang mencela dan menghina Rasulullah s.a.w. Mengenai hal ini, Allah s.w.t menurunkan ayat:

Dan barangsiapa menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang mukmin, Kami biarkan ia leka terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke neraka Jahanam, dan neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (al-Nisaa: 115)

Begitulah Allah s.w.t menunjukkan kebenaran. Begitulah pula Allah s.w.t menundukkan kejahatan.

Catatan Ibnu Hayyan

Tags:

No Comments

    Leave a reply