SIAPA LEBIH TERBUKA?

Kenyataan Tajuddin Abdul Rahman, Timbalan Menteri, Pertanian dan Industri Asas Tani yang mendakwa ada syarikat Cina mendiskriminasikan orang Melayu mendapat kritikan yang hebat daripada kepimpinan MCA. MCA menyifatkan kenyataan Tajuddin sebagai “mengarut”.

Pemimpin MCA ini sepatutnya tidak melatah begitu cepat. Buatlah kajian terdahulu atau sekurang-kurangnya bacalah kajian yang telah dibuat oleh beberapa sarjana tempatan, yang telah saya ulas dengan panjang lebar pada akhir 2012 yang lalu, mendapati bahawa ramai graduan baru Cina lebih mudah dipanggil untuk temu duga dan mendapat pekerjaan, berbanding dengan orang Melayu.

Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan siswazah kaum Cina lebih berkemungkinan untuk dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini.

Syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina dan pihak asing lebih mengutamakan graduan kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.

Hasil kajian tersebut, daripada 3,012 resume yang dihantar untuk 753 pekerjaan kepada syarikat terbabit, orang Melayu hanya mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.

Berbanding orang Cina mempunyai sebanyak 22.1 peratus peluang walaupun mereka mempunyai kelulusan setara dan lepasan universiti sama dengan orang Melayu.

Kajian itu melibatkan 439 jawatan kosong di syarikat yang dimiliki kaum Cina, 131 jawatan di syarikat milik asing dan 73 jawatan di syarikat milik Melayu dan selebihnya di syarikat yang dimiliki secara bersama oleh pelbagai kaum.

Ringkasnya, siswazah kaum Cina mempunyai lima kali lebih kemungkinan untuk dipanggil temu duga berbanding siswazah Melayu.

Kajian itu melibatkan siswazah yang baru menamatkan pengajian daripada Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US) tempatan yang memohon bekerja dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan kewangan.

Lebih mengejutkan, kajian itu mendapati syarikat milik orang Melayu lebih cenderung mengambil lebih ramai siswazah Cina berbanding siswazah Melayu, walaupun perbezaan bilangan antara siswazah kedua-dua kaum tidak terlalu ketara. Siapa yang lebih terbuka dalam soal ini?

Untuk makluman, kajian sebegini bukan baharu dibuat kerana beberapa kajian lain yang dibuat sejak 33 tahun lalu juga menghasilkan keputusan yang hampir sama.

Lihat kajian pada tahun 1980 oleh pakar ekonomi, D. R. Snodgrass yang membuat kesimpulan syarikat yang diterajui kaum Cina kebiasaannya tidak akan menggajikan pekerja Melayu.

Kajian seterusnya oleh oleh pakar ekonomi dari Norway yang banyak mengkaji mengenai Malaysia dan turut terbabit merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB), Just Faaland (2003) turut mendapati pendapatan pekerja bumiputera adalah 32 peratus lebih rendah berbanding pekerja Cina. Ini disokong oleh kajian Chr. Michelsen Institute (CMI), Norway pada tahun 2005, bagi pihak Bank Dunia, mendapati bukan Cina dihalang daripada bekerja dalam sektor swasta dan sesiapa yang telah bekerja akan mengalami diskriminasi termasuk gaji yang rendah dan kemudahan kenaikan pangkat.

Begitu juga kajian oleh pakar ekonomi Bank Dunia, Branko Milanovic pada tahun 2006, mempersoalkan kenapa pekerja Cina menerima gaji lebih tinggi antara 20 hingga 40 peratus walaupun mempunyai kelayakan dan menunjukkan prestasi sama dengan pekerja bumiputera.

Pemimpin yang baik adalah dalam kalangan mereka yang banyak menelan daripada meludah. Pemimpin MCA sebegini tidak layak langsung menjadi pemimpin dengan ludahan sampahnya. Pemimpin inilah juga yang akan bertanding di kawasan orang Melayu dalam pilihan raya nanti untuk mendapat kemenangan setelah ditolak oleh majoriti Cina. Saya harap pengundi Melayu akan menolak pemimpin oportunis sebegini, kecuali mereka sedar diri.

Kita perlu berterima kasih kepada sebahagian syarikat Cina yang ikhlas mengambil orang Melayu bekerja dan ada yang dinaikkan pangkat. Tetapi tidak kurang yang mendiskrimasikannya. Pekerja Melayu diambil bekerja untuk mendapat keuntungan semata. Sedangkan hak asasi mereka tidak dipenuhi.

Dalam sektor makanan misalnya, pekerja-pekerja Melayu dipergunakan dan diletakkan di barisan hadapan bagi menunjukkan bahawa makanan atau kilang makanan mereka itu halal. Ia bertujuan untuk menarik perhatian  pelanggan-pelanggan Melayu (Islam) maka pekerja-pekerja Melayu dipergunakan.

Lebih menyedihkan lagi, hak asasi mereka tidak ditunaikan. Saya ada menerima aduan, ramai pekerja Islam yang tidak dibenarkan menunaikan solat, termasuk solat Jumaat, kerana dikatakan membuang masa dan tidak membawa keuntungan. Apa erti ini semua?

Semangat ini sudah tentu bercanggah dengan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Agama Islam berbeza dengan agama lain. Pada waktu siang, dua waktu sembahyang mesti dilunaskan iaitu Zohor (solat Jumaat) dan Asar. Jika hak ini pun tidak diberikan jangan banyak bercakap soal hak asasi.

Terbaharu, Felo Penyelidik India, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM dalam Persidangan Meja Bulat mengeluarkan kenyataan bahawa sepatutnya rakyat Malaysia lebih banyak membincangkan soal hak asasi manusia daripada hak agama atau bangsa. Apakah hak untuk solat itu bukan hak asasi manusia?

Jika begitulah keadaannya, apa erti Perkara 3 (1) mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 153 mengenai hak Istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Pandai sungguh mereka. Apabila mereka membangkitkan isu hak agama mereka, maka untuk mendapat hak tersebut, itu dikira sebagai hak asasi. Tetapi apabila tiba giliran orang Islam memperjuangkan agamanya, maka terus dikatakan itu hak agama, tidak timbul soal hak asasi manusia yang beragama Islam.

Pendek kata, apabila mereka memperjuangkan agama mereka itu dikatakan hak asasi. Hak agama mereka dapat, hak asasi juga bersekali. Namun, apabila kita memperjuangkan hak agama, itu tidak dikira hak asasi. Kita akan dituduh ekstrem.

Akhirnya, kita hanya dapat hak agama, tetapi tidak hak asasi. Sedangkan hak asasi diperjuangkan mereka sekadar untuk menonjolkan dan menyelamatkan hak agama mereka. Bijak sungguh psywar dan psyop ultra kiasu ini.

Sepatutnya majikan bukan Islam perlu menyedari bahawa semakin pekerja Islam itu memahami Islam iaitu menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Allah, maka mereka akan menjadi semakin rajin. Kerja itu amanah. Amanah itu teras mendapatkan redha Allah dan rezeki halal. Segala pekerjaaan yang dilakukan akan dihisab oleh Allah SWT. Inilah sifat agama Islam yang dinamik. Tunaikanlah hak mereka. Saya tidak nafikan ada pekerja Islam yang malas dan culas. Lebih menyedihkan dalam kalangan mualaf yang dahulunya sebelum Islam, bukan main rajin. Tetapi setelah memeluk Islam, menjadi malas dan meminta-minta. Amat tidak wajar apabila agama dipersalahkan, bukan individu.

dr. Ridhuan Tee-1

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Profesor, Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)

Felo Utama, Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

No Comments

    Leave a reply