Pemilu 2019 bukanlah sekadar pertembungan penyandang Presiden, Joko Widodo atau lebih terkenal sebagai Jokowi, 57, dengan lawannya, Prabowo Subianto, 67.

Malah, Pemilu ini menjadi ‘temasya’ demokrasi penyerahan mandat rakyat kepada pemimpin yang hendak dilantik. Penglibatannya bukan hanya institusi kepresidenan tetapi juga melibatkan dewan legislatif, impak daripada proses desentralisasi kuasa di Indonesia.

Pemilu 2019 adalah unik lantaran buat julung kalinya melibatkan lima peringkat pemilihan yang dijalankan secara serentak di seluruh republik itu. Pemilihan Presiden (Pilpres) melibatkan dua pakej calon presiden (Capres) dan calon wakil presiden (Cawapres).

Difahamkan kira-kira 185 juta pengundi adalah pemilih dalam negara. Sementara 2,049,791 pemilih yang berada di luar Indonesia pula akan mengundi di 130 perwakilan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) di luar negara. Pemilu tersebut menelan belanja hampir Rp.24.8 trilion (RM7.1 bilion) melibatkan 34 provinsi, 514 kabupaten/kota, 7,201 kecamatan dan 83,770 kelurahan/desa.

Dalam pemilihan ini, sejumlah 7,968 caleg (calon legislatif) Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada 16 parti politik nasional terlibat dalam pilihan raya legislatif (Pileg) yang mempunyai 575 kerusi. Sejumlah 807 (calon legislatif (caleg) Dewan Perwakilan Daerah (DPD) merebut 136 kerusi dari 34 provinsi. Puluhan ribu caleg pula merebut 19,817 kerusi di peringkat Dewan Undangan Provinsi (DPRD).

SISTEM UNDIAN LANGSUNG

Sebanyak 16 parti politik nasional ini juga bukan hanya berkempen untuk Pileg, mereka turut berkempen dalam Pilpres. Pilpres di Indonesia mempraktikkan sistem undian langsung (direct vote). Pileg mempunyai empat peringkat yang berbeza akses kepada sistem kawalan eksekutif. Justeru, isu dan pendekatan kempennya sangat berlainan.

Ini diakui sendiri oleh calon DPRD Provinsi Jawa Tengah dari Parti GOLKAR, Haris Kusworo, 41, dan Dr. Kurniasih Mufidayanti, 49, calon DPR-RI dari Parti PKS, ketika ditemui penulis yang berkunjung ke Jakarta baru-baru ini.

Terdapat faktor perbezaan mikro geopolitik di negara seluas 1,904,596 kilometer persegi ini. Setiap kawasan mempunyai isunya tersendiri. Misalnya, isu di Aceh berbeza dengan isu di Jawa Timur. Keadaan muka bumi yang rencam meliputi tanah tinggi, dataran pamah dan pulau-pulau yang terpisah lagi meluas. Faktor ini menjadi cabaran calon dan parti politik untuk menyesuaikan pendekatan kempen dan logistik.

Kemeriahan Pemilu bukan sahaja ‘ditampilkan’ melalui Debat Politik Capres secara langsung tetapi kerancakan kempen yang terpaksa berpindah dari rumah ke rumah, desa ke desa terutama untuk caleg bagi Pileg selain perang di media sosial.

Dalam isu kempen Pilpres, kebanyakan pemerhati melihat Jokowi secara konsisten menjelaskan perkara yang berjaya dilaksanakan beliau seperti pembangunan infrastruktur.

HARGA BARANG

Jokowi dalam kempennya turut mempromosi Kad Smart Indonesia (Kartu Indonesia Pintar), Paket Makanan Asas Murah (Kartu Sembako Murah) dan Kad Pra-Kerja (Kartu Pra-Kerja). Sebaliknya, Prabowo berjanji akan menurunkan harga barangan keperluan asas dalam tempoh 100 hari pertama beliau sebagai Presiden.

Menurut pemerhati, kumpulan pakar telah mengkaji dan melaporkan bahawa langkah itu boleh dilakukan. Harga tarif asas elektrik juga akan diturunkan dalam tempoh yang sama. Prabowo turut menekankan isu ketirisan bajet serta hutang Indonesia yang dikatakan terbesar dalam sejarah.

Berdasarkan sosok tubuh Capres, kebanyakan pemerhati berpendapat, Jokowi menampilkan sikap rendah hati, berperwatakan rakyat biasa, mudah mesra serta lebih berfokus kepada isu dalam negara. Dilihat mudah mendapat sokongan daripada golongan kelas bawahan lantaran usaha beliau membangunkan Indonesia sejajar dengan slogan Jokowi-Amin: Indonesia Maju.

Probowo pula membawa imej tegas serta minat terhadap isu antarabangsa lantaran sikapnya sebagai bekas Leftenan Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI). Ketegasan Prabowo dilihat menerusi kritikannya terhadap pelaksanaan undang-undang di era Jokowi yang dianggap lemah khususnya dalam memerangi rasuah.

Di sebalik ketegasannya, Prabowo mampu menyantuni generasi milenia (muda) yang mendesak perubahan dalam peluang pekerjaan, kos sara hidup dan tahap ekonomi. Prabowo turut menekankan aspek politik identiti naratif melibatkan isu kepentingan agama, kaum dan kewarganegaraan.

KELEBIHAN

Faktor Cawapres pula dilihat pemerhati mempunyai kelebihannya tersendiri. Regu Jokowi, Ma’ruf Amin, 76, merupakan ulama terkenal Indonesia. Amin juga merupakan Pengerusi Majelis Ulama Indonesia (MUI) dan rais ‘aam syuriah iaitu pemimpin utama dalam pertubuhan Nahdlatul Ulama (NU). Faktor ini memberi kelebihan sokongan pemilih daripada kalangan fundamentalis Muslim.

Cawapres Prabowo pula, Sandiaga Uno merupakan bekas Wakil Gabenor Jakarta. Berusia 50 tahun dan difahamkan mendapat sokongan golongan milenia. Usianya yang lebih muda berbanding Amin, 76 tahun, mungkin menjadi faktor penarik golongan muda.

Jokowi-Amin mendapat sokongan parti gabungan daripada Koalisi Indonesia Kerja yang terdiri daripada lapan parti. Parti itu termasuklah Golkar, PPP, Hanura, NasDem, PKB, PBB, PKPI dan PDI-P. Gabungan itu menguasai 60.36 peratus kerusi DPR dan 63.62 peratus undi legislatif pada Pemilu 2014.

Regu Prabowo-Sandiaga pula disokong Koalisi Indonesia Adil Makmur. Terdapat empat parti dalam gabungan ini iaitu Gerindra, PKS, PAN dan PD. Gabungan itu menguasai 39.64 peratus kerusi di DPR dengan peratusan undi legislatif sebanyak 36.38 peratus pada Pemilu 2014. Meskipun kelihatannya lebih sedikit berbanding Jokowi-Amin, namun itu bukanlah petunjuk mutlak menang atau kalahnya Capres dan Cawapres itu pada Pemilu kali ini.

Keputusan Pemilu ini turut dinantikan masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia. Namun sesiapapun yang dipilih, Jokowi atau Prabowo, yang penting hubungan baik Malaysia-Indonesia harus terus berkekalan demi kestabilan dan kepentingan politik serantau.

Semestinya perkembangan Pilpres 2019 ini amat penting dan sangat berkait rapat dari aspek hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta yang sekian lama terjalin seperti adik beradik.

Ia sebagaimana perumpamaan Indonesia ‘Air dicencang tiada putus’.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN

Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia,

Universiti Putra Malaysia (UPM).