Silang budaya pupuk perpaduan

MALAYSIA kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa, adat resam dan agama. Masyarakat luar sering memandang Malaysia sebagai negara model perpaduan atas keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Silang budaya berlaku apabila dua atau lebih individu daripada latar belakang berbeza berinteraksi.

Perbezaan latar belakang ini mencakupi budaya luaran yang ketara seperti pakaian, rupa, bahasa, adat resam, makanan dan tempat tinggal. Manakala budaya dalaman yang tidak ketara adalah seperti pengetahuan, kepercayaan, moral dan nilai hidup. Apabila perbezaan budaya ini difahami, ia akan melahirkan hubungan yang positif dan harmoni.

Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik, dalam ucapannya sempena forum Bahasa Jiwa Bangsa yang telah berlangsung di Wisma DBP pada akhir tahun lepas, turut menyeru lebih ramai pihak mengadakan aktiviti dan program silang budaya antara sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama, bagi mencorak pemikiran generasi masa depan. Kementerian

Pendidikan mahu menekankan lebih penghayatan terhadap silang budaya dan kaum di peringkat sekolah dan universiti agar semangat perpaduan antara pelbagai bangsa dapat terus dipupuk.

Menurut Dr. Maszlee, “Tak kenal maka tak cinta, tapi yang lebih bahaya, tak kenal akhirnya prejudis dan salah faham.” Beliau berpandangan program seperti pertukaran murid dan guru, bermain sukan dan persembahan budaya secara bersama, mungkin boleh menjadi penawar kepada masalah hubungan antara kelompok masyarakat yang berbeza.

Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) merupakan salah satu NGO yang sering mempromosi agenda perpaduan. Lebih 80 peratus daripada ahli Macma berkahwin campur, terutama antara Melayu dan Cina. Anak-anak yang dilahirkan daripada perkahwinan campur biasanya menjadi “buta warna” dan tidak rasis kerana mereka tidaklah terlalu Melayu mahupun terlebih Cina. Mereka mudah memahami dan menghormati perbezaan budaya antara dua kaum terbesar di Malaysia ini.

Baru-baru ini, dalam majlis makan malam sempena 25 tahun penubuhan Macma yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, terdapat beberapa persembahan silang budaya yang menarik perhatian tetamu jemputan pada malam tersebut. Tetamu bukan sahaja terdiri daripada ahli-ahli Macma dari seluruh negara serta Jabatan Agama Negeri dan NGO dakwah, tetapi juga Cina Muslim dari negara China, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.

Antara persembahan yang menarik perhatian adalah nasyid dalam bahasa Melayu dan Mandarin yang diketuai oleh Ustaz Shasainie Siau, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. Beliau juga merupakan Pengerusi Macma Negeri Sembilan. Selain mengadakan kelas fardu ain untuk saudara baharu serta mengajar di masjid dan surau di seluruh Negeri Sembilan, beliau turut menjadi imam solat Jumaat dan juga solat terawih pada bulan Ramadan.

Persembahan gamelan turut mendapat pujian tetamu yang hadir. Perkataan gamelan berasal daripada perkataan Jawa, gamel, yang bermaksud memukul ataupun tukul dan amat sinonim dengan kebudayaan Melayu. Pada malam tersebut, pasukan gamelan mempersembahkan lagu “On the General’s Orders”, lagu rakyat China yang masyhur sebagai lagu tema filem kungfu Wong Fei Hung, “Once Upon A Time in China”.

Selain itu, seorang penyanyi bernama Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul turut menyanyikan dua buah lagu iaitu Ching Ai (Raihan) dan InsyaAllah (Maher Zain). Beliau yang lebih dikenali sebagai Meer Nash merupakan anak campur Melayu dan Cina. Ibu beliau, Selena Lee, adalah ahli Macma Pulau Pinang. Meer Nash pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi tempat kedua dalam pertandingan nyanyian peringkat antarabangsa di Beijing pada tahun 2017.

Persembahan silang budaya pada malam itu diakhiri dengan nyanyian berbentuk acapella oleh kumpulan Pinyin, sekumpulan anak Melayu yang diketuai saudara Johan. Mereka merupakan bekas penuntut pengajian Bahasa Mandarin di Beijing. Nyanyian lagu Wau Bulan yang menggabungkan lirik Melayu dan Cina turut memukau para hadirin.

Semoga lebih banyak program silang budaya seumpama ini dijalankan demi menyemarakkan semangat perpaduan kaum di negara kita.

Oleh Dr. Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Kebangsaan dan Pengerusi Macma Kelantan.

Sumber : Sinar Harian Online

No Comments

    Leave a reply