Silat perkasa sahsiah mahasiswa, pelajar sekolah

Silat adalah seni bela diri warisan Melayu yang masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, malah ia sinonim dan masyhur di rantau Nusantara ini. Walaupun ada hambatan kehidupan yang akrab dengan pelbagai bentuk teknologi, fenomena itu tidak mudah meluntur dan memadamkan minat masyarakat terhadap seni persilatan.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkasakan seni silat sebagai satu daripada aktiviti kokurikulum dengan menubuhkan 5,000 kelab seni silat di sekolah seluruh negara dan di universiti sebagai subjek pilihan.

Hakikatnya, ia inisiatif yang baik dan harus disambut baik pula oleh semua golongan masyarakat. Silat sebagai seni mempertahankan diri memiliki ramai pengikut termasuk kanak-kanak.

Justeru, bermula pada peringkat awal pendidikan, diyakini akan memberi impak kepada pembangunan sahsiah selain melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi serta memiliki keperibadian bersemangat kental.

Sejak 1988, KPM menggubal Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sebagai prinsip mengembangkan sahsiah pelajar sebagai agenda utama.

Justeru, saranan dan cetusan idea Dr Maszlee ini mencerminkan kesungguhan membina sahsiah yang diterapkan melalui silat sebagai antara aktiviti kokurikulum di sekolah, mahupun di institusi pengajian tinggi yang efektif.

Tentunya jika dilaksanakan akan mengukuhkan lagi usaha KPM untuk melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan tuntutan FPK.

Dengan pelaksanaan itu nanti kita yakin seni bela diri Melayu itu akan terus dimartabatkan. Pelbagai jenis seni silat ada di negara ini yang kesemuanya memiliki keunikan seninya yang tersendiri dan memiliki peminat setia seluruh pelosok negara.

Saranan itu membantu usaha sekolah membangunkan modal insan agar tidak lupa dan meminggirkan jati diri bangsa. Bangsa yang tidak menyanjung jati diri akan kehilangan rasa cinta pada nasib bangsanya.

Pengaruh budaya dan kehidupan Barat sedikit demi sedikit mengikis perasaan cintakan jati diri bangsa Melayu hingga lemah dalam mempertahankan martabat bangsa dan tanah air.

Justeru, memupuk seni persilatan sejak di bangku sekolah hingga institusi pengajian tinggi akan memberi kesan jangka panjang kepada usaha menyelamatkan moral dan keperibadian agar tidak leka dengan masa depan bangsa dan tanah air.

Di universiti, aktiviti seni silat turut diaktifkan demi melahirkan graduan yang ampuh keperibadiannya yang boleh dimanfaatkan dalam dunia kerjaya. Majikan sememangnya ternanti-nanti calon yang memiliki pelbagai kemahiran insaniah, termasuk seni mempertahankan diri.

Bagi graduan pendidikan umpamanya, mereka berpeluang menghidupkan seni silat di sekolah seluruh negara selepas menimba ilmu persilatan di universiti, malah mampu menjadi pendokong kepada idea penubuhan kelab seni silat di dalam komuniti.

Mereka berkeupayaan menjadi ejen kepada perkembangan sahsiah pelajar, malah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memiliki kelengkapan, prasarana dan kepakaran yang baik untuk menawarkan latihan intensif bagi guru yang tiada kemahiran seni silat menerusi kursus jangka pendek.

Kerencaman permasalahan sosial yang menimpa anak muda di negara ini khasnya anak Melayu, memerlukan pelbagai pihak memikirkan jalan penyelesaian. Jika tidak dapat dihapuskan, setidak-tidaknya dapat dikurangkan sebelum membarah.

Masa depan negara terletak kepada generasi muda masa kini. Hancur keperibadian generasi hari ini, bererti akan hancur masa depan negara dan pihak luar sentiasa menanti masa untuk melolosi negara saat kita lemah segala-galanya.

Baru-baru ini Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi menyatakan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyenaraikan seni silat di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity dan diumumkan secara rasmi sempena persidangan mesyuarat sesi ke-14 Inter governmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia.

Ia pengiktirafan terhadap seni warisan bangsa dan saranan Dr Maszlee itu sangat bertepatan. Justeru, jika tidak kita, siapa lagi yang akan mengangkat dan memartabatkan seni warisan bangsa berzaman itu.

Oleh Dr Mazuki Mohd Yasim dan Dr Ghazali Din

Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply