SIRAH NABAWIYAH : UTUSAN TERAKHIR KEPADA ABU TALIB

RASULULLAH SAW telah keluar dari perkampungan Abu Talib dan meneruskan usaha dakwahnya seperti biasa. Walaupun orang Quraisy telah menghentikan pemulauan, mereka masih lagi terus memberi tekanan kepada orang Islam dan menghalang mereka daripada jalan Allah.

Adapun Abu Talib sendiri tidak jemu-jemu melindungi anak saudaranya. Namun, beliau sudah semakin tua; usianya telah melampaui 80 tahun. Penderitaan dan peristiwa-peristiwa besar yang bertubi-tubi dihadapinya sejak beberapa tahun silam – terutamanya peristiwa pemulauan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib – telah menyebabkan tubuh badannya semakin lemah dan kekuatannya semakin hilang. Beliau tidak keluar dari kampungnya kecuali pada bulan-bulan tertentu. Dalam pada itu, beliau diserang penyakit yang semakin berat.

Orang musyrikin pula merasa risau nama mereka akan tercemar dalam kalangan orang Arab sekiranya mereka mengambil tindakan terhadap Rasulullah SAW selepas kematian Abu Talib. Oleh itu, mereka berusaha lagi untuk berunding mengenai Rasulullah SAW di hadapan Abu Talib. Kali ini, mereka sanggup menyerahkan sebahagian perkara yang sebelum ini tidak sanggup mereka beri. Lalu, mereka pun menghantar utusan untuk bertemu Abu Talib.

Ibn Ishaq dan yang lain-lainnya berkata, “Apabila Abu Talib mula mengadu sakit dan berita mengenainya sampai kepada orang Quraisy, maka berkatalah orang Quraisy sesama mereka, ‘Sesungguhnya Hamzah dan Umar telah memeluk Islam. Perihal Muhammad itu telah tersebar dalam kalangan kabilah-kabilah Quraisy semuanya. Oleh itu, marilah kita pergi berjumpa Abu Talib dan berunding supaya dia menyerahkan anak saudaranya kepada kita. Demi Allah, kita tidak selamat jika mereka terlepas daripada kita. Dengan lafaz yang lain, ‘Kita bimbang kalau orang tua itu (Abu Talib) meninggal dunia lalu terjadi sesuatu kepadanya (Muhammad), maka tercemarlah nama baik kita dalam kalangan orang Arab, kerana orang akan mengatakan, ‘Mereka biarkan dia sehingga bapa saudaranya mati, kemudian baru mereka berani mengambil tindakan terhadapnya.”

Lalu, mereka pun pergi berjumpa Abu Talib dan berbicara dengannya. Mereka yang pergi ialah orang kenamaan daripada kalangan kaum mereka, iaitu Utbah bin Rabiah, Shaybah bin Rabiah, Abu Jahal bin Hisham, Umayyah bin Khalaf dan Abu Sufiyan bin Harb. Mereka membawa beberapa orang lelaki yang terhormat dari kalangan mereka (semuanya kira-kira 25 orang). Mereka berkata, “Hai, Abu Talib, kedudukan engkau dalam kalangan kami seperti yang engkau tahu, sedangkan sekarang engkau sakit. Kami bimbangkan engkau dan engkau sendiri tahu persoalan antara kami dengan anak saudaramu. Oleh itu, tinggalkan dia, ambillah apa-apa daripada kami untuknya dan ambillah apa-apa daripadanya untuk kami agar dia berhenti mengancam kami dan kami juga berhenti mengancamnya. Biarlah kami dengan agama kami, dan kami biarkan dia dengan agamanya.”

Lalu Abu Talib mengutus orang memanggil Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW datang, Abu Talib berkata, “Hai, anak saudaraku, mereka ini adalah bangsawan kaummu, sedang berkumpul keranamu. Mereka hendak memberikan engkau sesuatu dan berharap dapat mengambil sesuatu daripadamu.” Kemudian diberitahu kepada Rasulullah SAW apa yang telah mereka bincangkan. Mereka telah menawarkan kepada Rasulullah SAW agar mana-mana pihak tidak masuk campur dengan pihak yang satu lagi.

Rasulullah SAW pun berkata, “Apa pandangan kamu jika aku berikan kepadamu satu kalimah untuk kamu ucapkan. Apabila kamu ucapkan kalimah itu, kamu akan menguasai semua orang Arab, dan semua orang ajam akan tunduk kepadamu.”  Dengan lafaz yang lain, Rasulullah SAW memberitahu Abu Talib yang Baginda SAW mahukan mereka mengucapkan satu kalimah yang apabila mereka mengucapnya, maka semua orang Arab akan tunduk kepada mereka, dan orang ajam pula akan membayar jizyah kepada mereka. Dengan kata lain lagi, Rasulullah SAW berkata, “Wahai bapa saudaraku, tidakkah engkau mahu mengajak mereka kepada apa yang lebih baik untuk mereka?” Abu Talib bertanya, “Mengajak mereka kepada apa?” Jawab Rasulullah SAW, “Ajaklah mereka supaya mengucap satu kalimah yang akan menyebabkan semua orang Arab tunduk kepada mereka dan mereka akan memerintah orang ajam.”

Riwayat daripada Abu Ishaq pula menyebut, “Satu kalimah yang kamu berikan, bererti kamu akan menguasai semua orang Arab, dan semua orang ajam akan tunduk kepada kamu.” Setelah Rasulullah SAW berkata begitu, mereka pun terdiam dan kebingungan. Mereka tidak tahu bagaimana hendak menolak satu kalimah yang bermanfaat sehingga begitu sekali. Lalu, Abu Jahal berkata, “Apakah kalimah itu? Demi bapamu, kami sanggup memberikan kepadamu sepuluh kali ganda seumpamanya!”

Rasulullah SAW pun menjawab, “Katakan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan tinggalkanlah sembahan yang kamu sembah selain Allah.” Mendengarkan itu, mereka menepuk tangan lantas berkata, “Hai, Muhammad! Apakah engkau hendak menjadikan tuhan-tuhan yang banyak itu menjadi satu tuhan sahaja? Sesungguhnya urusan kamu ini menghairankan.”

Kemudian sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Demi Allah, lelaki ini tidak akan memberi apa-apa kepada kamu seperti yang kamu mahu. Ayuhlah beredar, dan teruslah kekal dengan agama nenek moyang kamu sehingga Allah menjatuhkan keputusan antara kita dan dia.” Lalu mereka pun beredar. Mengenai peristiwa ini, Allah berfirman:

Maksudnya: “Sad. Demi al-Quran yang mempunyai keagungan (penjelasan atau kemuliaan). (Orang yang mengingkari kerasulanmu, wahai Muhammad, tidak berdasarkan kepada kebenaran), bahkan mereka yang kafir itu dalam kesombongan dan permusuhan yang sengit (terhadap kebenaran). (Tidakkah mereka menyedari) betapa banyak umat-umat (yang ingkar) sebelum mereka yang telah Kami binasakan? Lalu,mereka meminta pertolongan, padahal saat itu bukanlah saat meminta pertolongan melepaskan diri daripada azab. Mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan bahawa mereka didatangi oleh seorang rasul pemberi peringatan daripada kalangan mereka sendiri. Orang yang kafir itu berkata, ‘Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi banyak berdusta.’ Patutkah dia menjadikan tuhan-tuhan itu kepada Tuhan Yang satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!’ (Ketika itu) ketua-ketua daripada kalangan mereka pergi (memberi perangsang dengan berkata), ‘Jalan terus (menurut pembawaan nenek moyang kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki. Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam agama yang terakhir. Perkara ini hanyalah suatu yang diada-adakan.”

(Sad: 1-7)

Sumber : Sirah Nabawiyyah Rohik Almakhtum

No Comments

    Leave a reply