SIRAH NABAWIYYAH : KEKUATAN, KESABARAN DAN KECEKALAN

DALAM membincangkan hal ini, orang yang sabar pun akan kehairanan. Orang yang cerdik akan tertanya-tanya sesama mereka, apakah sebab dan faktor yang membuatkan orang Islam begitu kental menghadapi penderitaan yang sentiasa memuncak. Bagaimana mereka dapat bersabar menghadapi penindasan-penindasan yang menyebabkan tubuh gementar dan menggoncang perasaan apabila mendengarnya. Memandangkan adanya persoalan-persoalan ini bermain-main dalam benak fikiran, maka berikut akan dihuraikan sebahagian faktor dan punca-punca kepada semangat kental tersebut.

Keimanan kepada Allah

Faktor utama kepada kecekalan orang Islam adalah keimanan semata-mata kepada Allah dan mereka mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Iman yang teguh apabila singgah di hati akan mampu menyeimbangi bukit. Orang yang memiliki iman yang jitu dan keyakinan yang teguh melihat kepenatan dunia walau sebanyak mana sekalipun, walau betapa besar dan bertubi-tubi datangnya – dengan keimanan – dia akan melihat perkara-perkara itu tidak ubah seperti kiambang yang dibawa arus air bah yang mengalir deras, datang untuk memecahkan tembok yang teguh serta kubu yang kuat tetapi tetap akan berlalu. Oleh itu, dia tidak akan mempedulikan kesusahan-kesusahan yang dihadapinya apabila berbekalkan dengan kemanisan iman:

Maksudnya: “Dia telah menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri lembah-lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan (untuk faedah makhluk-Nya), kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Demikian juga benda-benda (bahan logam) yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, itu juga menimbulkan buih seperti itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan mengenai perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu, maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah membuat pelbagai perumpamaan.

(Al-Ra’d: 17)

Bertolak dari faktor utama ini, maka berantinglah faktor-faktor lain selepasnya.

Kepimpinan yang diterima sepenuhnya
Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin tertinggi bagi umat Islam, malah bagi umat manusia seluruhnya. Rasulullah SAW memiliki keperibadian yang luhur, jiwa yang sempurna serta akhlak yang mulia. Perawakan yang baik dan sifat Rasulullah SAW yang pemurah menyebabkan hati-hati manusia tertarik kepada Baginda, sehingga mereka sanggup berkorban mempertahankan Baginda SAW.

Kesempurnaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW tidak pernah dianugerahkan kepada sesiapa pun. Rasulullah SAW memiliki nilai kemuliaan, kebaikan dan keutamaan yang paling tinggi darjatnya. Kelembutan, amanah dan kebenaran serta semua jalan kebaikan yang ada pada Rasulullah SAW tidak pernah diragui oleh para musuhnya, apatah lagi oleh para pencinta dan teman-teman Rasulullah SAW. Tiada sebutir pun perkataan yang keluar daripada mulut Rasulullah SAW melainkan orang segera meyakini kebenarannya.

Pernah tiga orang Quraisy secara sembunyi dari pengetahuan sesama mereka berkumpul untuk mendengar Rasulullah SAW membaca al-Quran. Namun, rahsia itu akhirnya telah diketahui dalam kalangan mereka bertiga. Salah seorang daripada mereka berkata kepada Abu Jahal (yang termasuk dalam kalangan tiga orang itu), “Apa pandangan kamu tentang apa yang kamu dengar daripada Muhammad?” Lalu Abu Jahal menjawab, “Apa yang aku dengar? Kami berbalah dengan Bani Abd Manaf untuk mendapatkan penghormatan. Apabila mereka memberi makan, kami pun turut memberi makan; apabila mereka menolong, kami juga turut menolong; apabila mereka memberi, kami juga memberi hinggakan apabila kami sedang tarik-menarik di atas kenderaan (berebut mendapat pengaruh) dan kami ini ibarat dua kuda perang yang tergadai. Tiba-tiba mereka berkata kepada kami, ‘Kami mempunyai nabi yang membawa wahyu dari langit. Jika begitu, bilakah kami akan dapat menewaskan kumpulan ini? Demi Allah, kami tidak akan beriman selama-lamanya dan tidak akan membenarkannya.”

Abu Jahal pernah berkata, “Hai, Muhammad! Sesungguhnya kami tidak pernah mendustakan kamu, akan tetapi yang kami dustakan ialah ajaran yang kamu bawa ini.” Lalu Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka, janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu tetapi orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).
(Al-An’am: 33)

Pada suatu hari, orang kafir berbual-bual mengenai sesuatu yang menyakiti Rasulullah SAW sebanyak tiga kali. Rasulullah SAW berkata, “Hai, orang Quraisy! Aku datang kepadamu membawa penyembelihan.” Tiba-tiba mereka terdiam sehinggakan orang yang paling berang dalam kalangan mereka pun berbicara dengan cara paling baik di sisi Rasulullah SAW.

Apabila orang Quraisy mencampakkan uri unta ke atas Rasulullah SAW ketika Rasulullah SAW sedang sujud, Rasulullah SAW mendoakan kebinasaan buat mereka. Tiba-tiba mereka berhenti ketawa dan timbul kebimbangan dan kegusaran dalam hati mereka; mereka yakin bahawa mereka pasti akan binasa.

Rasulullah SAW pernah mendoakan kebinasaan ke atas Utaybah bin Abu Lahab. Utaybah sentiasa meyakini bahawa padahnya akan sampai sehingga apabila dia melihat seekor singa, dia pun berkata, “Demi Allah, Muhammad membunuhku sedang dia berada di Makkah.”

Ubay bin Khalaf mengancam untuk membunuh Rasulullah SAW tetapi Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan aku yang akan membunuhmu, insya-Allah.” Apabila Ubay ditikam di lehernya semasa perang Uhud – sedangkan dia hanya mengalami sedikit calar-calar di lehernya – dia berkata, “Dia (Muhammad) telah berkata kepadaku semasa di Makkah, ‘Aku akan membunuhmu.’ Demi Allah, kalau dia meludah kepadaku, sudah tentu aku mati.” Kisah ini akan diterangkan kemudian.

Semasa di Makkah, Saad bin Muadh berkata kepada Umayyah bin Khalaf, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW berkata, ‘Sesungguhnya mereka, yakni orang Islam, akan memerangimu.’ Dia terkejut dan bertekad tidak akan keluar dari Makkah. Apabila Abu Jahal mendesaknya untuk keluar dalam Perang Badar, dia membeli seekor unta yang terbaik supaya dapat melarikan diri. Lalu, isterinya berkata, ‘Wahai Abu Safuan, lupakah kamu apa yang dikatakan kepadamu oleh saudaramu orang Yathrib itu?” Jawabnya, “Tidak. Demi Allah, aku bukan berniat hendak menyertai mereka kecuali dekat sahaja.”

Begitulah perihalnya musuh Rasulullah SAW terhadap Baginda, sedangkan para sahabat dan pengiring-pengiring yang bersama-sama Rasulullah SAW bagaikan satu roh dan jiwa. Rasulullah SAW bagaikan hati dan mata mereka. Kecintaan yang tulus memancar terhadap Rasulullah SAW bagaikan air yang mencurah-curah ke cerunnya. Setiap jiwa tertarik kepada Rasulullah SAW bagaikan tertariknya besi kepada magnet.

Maka rupa Baginda itu adalah hayula (asal)
bagi tiap jisim
dan magnet-magnet bagi hati semua orang

Kesan kecintaan yang mendalam ini menyebabkan mereka (para sahabat) tidak akan senang – jika leher mereka patah sekalipun – sekiranya Rasulullah SAW dicakar oleh kuku atau tertusuk oleh duri.

Pada suatu hari, Abu Bakar r.a dipijak dan dipukul orang semasa di Makkah. Utbah bin Rabiah menghampiri beliau dan memukulnya dengan sepasang kasut yang bersalut besi sehingga mencederakan wajah Abu Bakar r.a. Darah mengalir di atas perut Abu Bakar r.a; wajahnya tidak dapat dikenali dan hidungnya tidak dapat dibezakan. Disebabkan keadaan beliau yang parah, Bani Tayyim terpaksa mengusung Abu Bakar r.a dengan berselimutkan sehelai kain dan mencampakkan beliau ke dalam rumahnya. Keadaannya yang parah itu menyebabkan mereka tidak ragu bahawa Abu Bakar r.a akan mati.

Namun, pada sebelah petangnya, Abu Bakar r. a mula berbicara. Beliau bertanya, “Apakah yang diperlakukan terhadap Rasulullah SAW?” Mereka menutup mulut beliau dan berkata kepada ibu Abu Bakar, Ummu al-Khayr, “Perhatikanlah dia, dan berikan dia sedikit makanan atau minuman.” Apabila hanya tinggal Abu Bakar r. a dan ibunya, ibunya mendesak Abu Bakar r.a supaya makan tetapi Abu Bakar r.a hanya berkata, “Apakah yang diperlakukan terhadap Rasulullah SAW?” Ibu beliau menjawab, “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang terjadi kepada sahabatmu.” Abu Bakar r.a berkata lagi, “Pergilah kepada Ummu Jamil binti al-Khattab dan tanyakan dia tentang Rasulullah SAW.”

Maka, pergilah ibunya kepada Ummu Jamil lalu bertanya, “Abu Bakar bertanyakan mu tentang Muhammad bin Abdullah.” Jawab Ummu Jamil, “Aku tidak tahu hal Abu Bakar atau Muhammad bin Abdullah. Kalau kau mahu, biarlah aku pergi bersamamu untuk bertemu anakmu itu.” Jawab Ummu al-Khayr, “Baiklah.”

Ummu Jamil mengikut Ummu al-Khayr pulang. Apabila sampai ke rumah Ummu al-Khayr, dia mendapati Abu Bakar r.a cedera parah. Ummu Jamil mendekati beliau sambil menjerit, “Demi Allah! Sesungguhnya kaum itu memperlakukan begini terhadapmu bagaikan perlakuan orang yang fasik dan kufur! Demi Allah, aku mengharapkan Allah akan membalas bagimu terhadap mereka.” Abu Bakar r.a terus bertanya, “Apakah yang diperlakukan terhadap Rasulullah SAW?” Ummu Jamil menjawab, “Ini ibumu; dengarlah cakapnya.” Abu Bakar r.a membalas, “Kamu tidak ada sebarang tanggungjawab terhadapnya!” Maka, Ummu Jamil pun menjawab pertanyaan beliau, “Dia (Muhammad) sihat sejahtera.”
“Di mana dia?” tanya Abu Bakar r.a lagi.
“Di rumah Ibn al-Arqam,” jawab Ummu Jamil.
Berkata Abu Bakar r.a , “Sesungguhnya aku bernazar kerana Allah, tidak akan merasai makanan atau minum sebarang minuman sehingga aku dapat bertemu Rasulullah SAW.” Lalu, mereka melambat-lambatkan urusannya sehingga keadaan Abu Bakar r.a beransur pulih serta keadaan di luar semakin tenang. Kemudian mereka berdua keluar membawa Abu Bakar r.a bertemu dengan Rasulullah SAW.

Di bahagian-bahagian lain akan dinyatakan beberapa peristiwa yang menunjukkan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW, terutama kisah yang berlaku semasa Perang Uhud dan kisah yang berlaku kepada Khubayb serta mereka yang sepertinya.

Perasaan tanggungjawab
Para sahabat merasa bertanggungjawab terhadap permasalahan yang dihadapi oleh manusia. Rasa tanggungjawab ini tidak mungkin akan hilang atau pupus begitu sahaja. Mereka sedar yang melarikan diri daripada tanggungjawab adalah lebih buruk kesannya berbanding penindasan yang mereka alami. Melarikan diri daripada tanggungjawab akan menyebabkan kerugian ke atas diri mereka dan seluruh manusia – kerugian yang tidak dapat dibandingkan dengan apa sahaja kesusahan yang terpaksa mereka hadapi kerana memikul tanggungjawab ini.

Beriman kepada Hari Akhirat
Ini merupakan antara faktor yang menguatkan rasa tanggungjawab itu. Para sahabat amat meyakini bahawa mereka akan dibangkitkan untuk menghadap Tuhan semesta alam. Mereka akan dihisab atas segala amalan, sama ada yang halus atau yang nyata, yang besar mahupun yang kecil. Kesudahannya hanyalah sama ada mendapat kenikmatan yang berkekalan di syurga atau azab yang tiada kesudahan di neraka.

Para sahabat menghabiskan hayat mereka dalam keadaan antara rasa takut dan mengharap. Mereka mengharapkan rahmat Allah, dan dalam masa yang sama merasa takut akan azab seksa-Nya. Mereka akan kembali kepada Allah. Mereka sedar bahawa dunia ini dengan nikmat dan kesusahannya tidak akan sama nilainya walau seberat sayap nyamuk jika dibandingkan dengan balasan di Hari Akhirat. Kesedaran yang mendalam dan teguh ini menyebabkan mereka merasa remeh akan kesusahan-kesusahan yang dihadapi di dunia sehinggakan mereka tidak mempedulikan langsung kesusahan-kesusahan tersebut.

Al-Quran
Pada saat-saat genting dan mencemaskan, turunlah beberapa surah dan ayat yang menerangkan hujah dan petunjuk mengenai prinsip-prinsip Islam – yang menjadi paksi kepada dakwah Islam – melalui pendekatan-pendekatan yang menimbulkan kekukuhan iman serta menawan perasaan. Surah dan ayat yang diturunkan itu membimbing umat Islam memahami asas-asas takdir Allah yang bertitik tolak dari takdir yang ditentukan oleh Allah jua. Ini akan melahirkan masyarakat manusia yang agung dan hebat, iaitu masyarakat Islam.

Ayat-ayat itu menggamit perasaan orang Islam dan kecenderungan mereka agar tabah dan sabar. Ayat-ayat ini disertai dengan berbagai-bagai contoh dan tamsilan. Ia menerangkan kepada mereka akan hikmah-hikmah di sebalik kesusahan yang mereka hadapi. Allah berfirman:

Maksudnya: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan kesengsaraan (penyakit), serta digoncangkan (dikejutkan dengan pelbagai bala), sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman yang ada bersamanya, ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah).”
(Al-Baqarah: 214)

Dan, firman Allah lagi:

Maksudnya: “Alif, Lam, Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman,’ sedangkan mereka belum diuji (bagi membuktikan keimanan mereka)? Sesungguhnya Kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang sebenar-benarnya beriman dan Dia juga mengetahui orang yang berdusta.”
(Al-‘Ankabut: 1-3)

Ayat-ayat al-Quran ini juga menyanggah dakwaan orang kafir dan golongan yang menentang dengan sanggahan yang kuat sehingga mereka tidak berupaya menjawabnya. Ayat-ayat ini juga memberi amaran kepada mereka – jika mereka berterusan menentang – mengenai kesudahan yang buruk dengan ancaman yang jelas dan nyata dengan menyoroti kisah-kisah silam serta bukti-bukti sejarah yang menunjukkan sunnah Allah yang berlaku dalam kalangan para wali dan musuh-Nya. Sesekali ayat itu datang dengan gaya yang lembut. Ini bertujuan agar mereka dapat memahami dan mengambil iktibar supaya mereka meninggalkan terus daripada bergelumang dalam kesesatan yang nyata.

Al-Quran juga membawa umat Islam menyoroti alam yang lain dan memperlihatkan kepada mereka akan kejadian alam maya ini – keindahan dan kesempurnaan rububiyah Allah serta kesan-kesan rahmat Allah dan belas kasihan-Nya. Ia juga memperlihatkan tanda-tanda keredaan Allah melalui pemerhatian alam maya. Ini akan menerbitkan rasa rindu dan kasih kepada Allah tanpa dapat dihalang oleh sebarang halangan.

Di dalam ayat-ayat ini juga terdapat seruan khusus untuk umat Islam. Melalui seruan itu, Allah memberitahu mereka mengenai rahmat dan keredaan-Nya, serta syurga yang disediakan untuk mereka yang terdapat nikmat abadi di dalamnya. Ayat-ayat ini menggambarkan kepada mereka perihal musuh-musuh mereka daripada kalangan orang kafir dan golongan yang melampau yang akan diadili serta dijatuhkan hukuman. Mereka ini akan diheret ke neraka dalam keadaan muka yang tersembam dan mereka akan ditimpakan dengan azab neraka yang menyala-nyala.

Khabar gembira mengenai kemenangan
Orang Islam sejak dari mula telah menghadapi pelbagai kesukaran dan penindasan. Namun, mereka menyedari bahawa menganut Islam bukan bermaksud mengundang mala petaka dan maut. Malah, dakwah Islam mempunyai tujuan, iaitu menghapuskan jahiliah dan sistemnya yang zalim. Tujuan asas dakwah Islam ialah untuk melebarkan ajarannya di muka bumi ini serta menguasai kedudukan politik dunia supaya umat ini akan menjadi pemimpin manusia ke arah yang diredai Allah. Dakwah ini juga akan mengeluarkan mereka dari menghambakan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah.

Berita-berita gembira ini diturunkan melalui ayat-ayat al-Quran – sesekali dengan cara berterus-terang dan sesekali dengan cara simbolik. Pada masa orang Islam menghadapi ujian yang getir sehingga hampir memusnahkan dan menamatkan riwayat mereka, turunlah ayat-ayat al-Quran mengisahkan apa yang pernah terjadi kepada nabi-nabi terdahulu dalam kalangan kaum mereka yang mendustai dan mengkufuri ajaran mereka. Ayat-ayat ini menceritakan mengenai suasana yang sejajar dengan keadaan yang dilalui oleh orang Islam di Makkah dan golongan kafir. Kemudian, ayat-ayat ini menyebut bagaimana suasana itu akhirnya berlalu dengan kemusnahan orang kafir dan para penzalim, dan bagaimana Allah menjadikan hamba-hamba-Nya yang beriman sebagai pewaris muka bumi ini. Kisah-kisah ini menampakkan satu mesej yang jelas betapa penduduk Makkah (musyrikin) akhirnya akan gagal, sementara orang Islam akan memperoleh kemenangan bersama-sama kejayaan dakwah Islamiah.

Pada saat-saat genting itu juga turunlah ayat-ayat al-Quran yang menyatakan secara jelas berita gembira mengenai kemenangan orang Islam. Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah tetap janji Kami bagi hamba-hamba kami yang diutus menjadi rasul. Bahawa sesungguhnya merekalah orang yang diberi pertolongan. Dan sesungguhnya tentera Kami (orang yang beriman) itulah yang pasti menang. Oleh itu, berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka (jangan menghiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa. Dan lihat (apa yang akan menimpa mereka. Maka, kelak mereka akan melihat (akibat kekufuran mereka). Maka, apakah mereka meminta supaya disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami! Kerana apabila azab itu turun di dalam kawasan mereka, sudah tentu buruklah pagi hari orang yang tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan itu.”
(Al-Saffat: 171-177)

Maksudnya: “Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.”
(Al-Qamar: 45)

Maksudnya: “(Sebenarnya mereka hanyalah) satu pasukan (yang hina) di sana (yang menentang kebenaran) dari golongan yang bersekutu yang pasti akan dikalahkan.”
(Sad: 11)

Mengenai umat Islam yang berhijrah ke Habsyah, turun ayat:

Maksudnya: “Orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya, Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik. Sesungguhnya pahala (amal mereka) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.”
(Al-Nahl: 41)

Mereka bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW mengenai kisah Nabi Yusuf a.s, lalu Allah menurunkan firman-Nya:

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat beberapa tanda kekuasaan Allah pada Yusuf dan saudara-saudaranya itu bagi orang yang bertanya.”
(Yusuf: 7)

Yakni, penduduk Makkah yang bertanya itu akan menghadapi kegagalan seperti kegagalan yang dihadapi oleh saudara-saudara Nabi Yusuf, dan mereka akan tunduk mengikut Islam sebagaimana saudara-saudara Nabi Yusuf yang tunduk menyerah diri itu. Dalam menceritakan mengenai rasul-rasul-Nya, Allah berfirman:

Maksudnya: “Orang kafir itu berkata kepada rasul-rasul mereka, ‘Sesungguhnya kami akan mengusir kamu dari negeri kamu atau kamu kembali menjadi seagama dengan kami.’ Lalu Tuhan mewahyukan kepada rasul-rasul-Nya, ‘Sesungguhnya Kami pasti akan membinasakan orang yang zalim itu.’ Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu. Balasan yang baik itu adalah untuk orang yang takut akan menghadap-Ku dan takut akan ancaman azab-Ku.”
(Ibrahim: 13-14)

Semasa tercetus peperangan antara Parsi dengan Rom, orang kafir suka jika Parsi yang menang, sementara orang Islam mengharapkan agar Rom yang menang kerana orang Rom beriman dengan Allah, para rasul-Nya, wahyu, kitab-kitab dan Hari Akhirat. Namun, akhirnya yang menang dalam peperangan itu ialah Parsi. Lalu, Allah memberi khabar gembira mengenai berita kemenangan Rom beberapa tahun kemudian. Allah menjelaskan perkhabaran gembira yang lain iaitu datangnya pertolongan Allah kepada orang mukmin, di mana Allah berfirman:

Maksudnya: “Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah jualah segala urusan sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya, dan pada ketika itu, bergembiralah orang yang beriman. Dengan pertolongan Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”

(Al-Rum: 4-5)

Rasulullah SAW menyampaikan berita-berita gembira ini dari semasa ke semasa. Apabila tiba musim haji, Rasulullah SAW akan pergi bertemu orang ramai di pasar-pasar Ukaz, Majannah dan Dhi al-Majaz untuk menyampaikan risalahnya. Rasulullah SAW bukan hanya memperingatkan mereka mengenai syurga semata-mata, malah Rasulullah SAW mengatakan kepada mereka secara terus-terang, “Hai, manusia! Katakan, tiada Tuhan selain Allah, nescaya, kamu akan mendapat kemenangan; dengan pengakuan ini, kamu akan menguasai semua orang Arab dan semua orang ajam akan tunduk kepadamu, dan apabila kamu mati, kamu akan menjadi raja-raja di dalam syurga.”

Terdahulu, telah dinyatakan bagaimana jawapan yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW kepada Utbah bin Rabiah yang mahu melakukan tawar-menawar dengan Rasulullah SAW dengan menawarkan perkara-perkara yang cenderung kepada keseronokan-keseronokan dunia, dan bagaimana Utbah begitu memahami serta mengharapkan urusan Rasulullah SAW akan menang.

Begitu juga jawapan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada utusan terakhir Quraisy yang datang berjumpa Abu Talib. Rasulullah SAW menyatakan dengan jelas yang Baginda SAW mahukan daripada mereka hanyalah kesanggupan mereka melafazkan satu kalimah yang akan menyebabkan semua orang Arab tunduk kepada mereka dan semua orang ajam akan mereka kuasai.

Khabbab bin al-Aratt berkata, “Aku datang kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW sedang bersandar di atas kain selimut di bawah teduhan Kaabah. Waktu itu kami sedang menghadapi tekanan yang hebat daripada orang musyrikin. Lalu aku berkata, ‘Apakah engkau tidak mahu berdoa kepada Allah?’ Lantas Rasulullah SAW duduk dengan air mukanya yang merah menyala sambil berkata, ‘Sesungguhnya umat-umat yang sebelum kamu ada yang disikat dengan sikat-sikat besi sehingga mengoyakkan daging dan urat dari tulangnya, namun itu tidak membuat mereka berpaling dari agama mereka. Demi sesungguhnya, Allah akan menyempurnakan urusan ini sehingga nanti orang yang berkenderaan dari Sanaa dapat berkenderaan ke Hadramaut tanpa merasa takut kecuali kepada Allah.” Perawi hadis ini menambah, “tanpa merasa takut kambing-kambingnya diancam serigala.” Dalam satu riwayat lain, “akan tetapi kamu ini terlalu gopoh.”

Berita-berita gembira ini bukan rahsia lagi, malah tersebar dan diketahui umum. Sebagaimana ia diketahui oleh orang Islam, berita-berita ini juga turut diketahui oleh orang kafir. Sehinggakan al-Aswad bin al-Muttalib dan rakan-rakannya – apabila melihat sahabat-sahabat Rasulullah SAW – mengejek-ejek mereka dengan berkata, “Raja-raja bumi telah datang kepada kamu dan akan menewaskan raja-raja Kisra dan Kaisar.” Kemudian mereka pun bersiul-siul dan bertepuk tangan.

Inilah berita-berita gembira mengenai masa depan gemilang yang bakal menyinari dunia ini bersama-sama harapan yang menggunung mengenai kebaikan yang tiada taranya sampailah ke kemuncaknya dengan kemenangan mendapat syurga. Lantaran itu, para sahabat melihat segala penindasan yang dihadapi bertubi-tubi dari segenap arah serta bala bencana yang mengepung mereka dari segenap penjuru tidak ubah hanya seperti awan mendung pada musim panas yang tidak lama, pasti akan berarak pergi.

Rasulullah SAW sentiasa memberi rangsangan-rangsangan kepada jiwa para sahabat Baginda SAW dan membersihkan jiwa mereka dengan ajaran hikmah dan al-Quran. Rasulullah SAW mendidik mereka dengan pendidikan yang halus dan mendalam sehingga jiwa mereka menjadi kental dan hati mereka, bersih. Ini ditambah dengan kemuliaan akhlak serta pembebasan diri daripada pengaruh keinginan kebendaan. Mereka juga mampu melawan segala kemahuan nafsu syahwat dan sentiasa cenderung kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi.

Rasulullah SAW mendidik mereka menjadi orang yang sabar menghadapi kesakitan serta sanggup memaafkan kesalahan dan melawan keinginan nafsu. Lantaran itu, penghayatan mereka terhadap agama Islam semakin menebal. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi mencapai keredaan Allah. Mereka terlalu rindu kepada syurga dan terlalu cinta kepada ilmu. Mereka amat memahami Islam dan sering memuhasabah diri. Mereka menentang sebarang kecenderungan yang tidak baik. Mereka berjaya mengawal perasaan dan emosi serta menangani segala halangan dan pancaroba, berpegang teguh dengan sifat sabar serta tenang.

Sumber : Kitab Sirah Nabawiyyah Rohik AlMakhtum

No Comments

    Leave a reply