SIRAH NABAWIYYAH : PERMULAAN HIJRAH

SETELAH sempurnanya Baiah Aqabah Kedua, dan Islam berjaya mendapat tapak asas bagi negaranya sendiri di tengah-tengah padang pasir yang bergelombang dengan kekufuran dan kejahilan – inilah usaha paling serius yang membuahkan hasil kepada Rasulullah SAW sejak permulaan dakwahnya – maka, Rasulullah SAW mengizinkan orang Islam berhijrah ke negara ini.

Hijrah itu tidak lain bermaksud mengabaikan segala kepentingan dan kesanggupan berkorban harta benda. Ia juga bukan bermaksud seseorang itu dapat terlepas daripada penderitaan sebaliknya, pada masa yang sama hatinya berkecamuk dengan kebimbangan kerana dia mungkin binasa, boleh jadi pada permulaan perjalanan atau pada penghujung perjalanan itu. Orang yang berhijrah bagaikan berjalan menuju ke arah masa depan yang tidak menentu. Dia tidak akan menyedari babak-babak kesedihan dan kebimbangan yang bakal menimpanya.

Orang Islam mula berhijrah dengan penuh sedar akan risiko-risiko hijrah, sementara orang musyrikin pula cuba menghalang mereka daripada keluar. Ini disebabkan mereka merasa ada bahaya yang menanti. Antara contoh-contoh halangan yang dihadapi dalam hijrah orang Islam:

Abu Salamah merupakan antara orang yang terawal berhijrah. Beliau berhijrah setahun sebelum Baiah Aqabah Kedua seperti yang dinyatakan oleh Ibn Ishaq. Begitu juga isteri dan anakya. Apabila mereka sudah bersiap-siap untuk keluar, ipar-duainya berkata, “Tentang diri kamu, kamu berkuasa penuh, tetapi apa pula halnya tentang isteri kamu ini? Apa sebabnya kami boleh membiarkan kamu membawanya keluar?” Lalu mereka pun merampas isterinya daripadanya.

Keluarga Abu Salamah marah dengan tindakan ipar-iparnya, lalu mereka berkata, “Kami tidak akan membiarkan anak lelaki (anak Abu Salamah) berada bersamanya (ibunya) kerana kamu yang memisahkan dia daripada suaminya.” Lantas, berlakulah tarik menarik untuk merebut anak tersebut. Akhirnya mereka merampas anak itu daripada Abu Salamah. Pergilah Abu Salamah berhijrah ke Madinah berseorangan. Ummu Salamah pula, selepas ketiadaan suaminya dan kehilangan anaknya, maka setiap pagi dia akan keluar ke tengah padang pasir sambil menangis sampailah ke petang. Begitulah hidupnya selama setahun.

Melihatkan keadaannya, salah seorang kaum keluarganya merasa kasihan lalu berkata kepada mereka, “Bolehkah kamu benarkan wanita ini keluar? Kamu telah memisahkan dia dari suaminya serta anaknya.” Maka, keluarga Ummu Salamah berkata kepadanya, “Pergilah menjejaki suamimu kalau itu yang engkau mahu.” Setelah itu, Ummu Salamah mendapatkan kembali anaknya daripada keluarga suaminya dan keluarlah dia menuju ke Madinah (pengembaraan yang jauhnya 500km tanpa ada seorang pun yang menemaninya). Apabila sampai di Tanaim, Ummu Salamah ditemui oleh Uthman bin Talhah bin Abu Talhah. Setelah mengetahui keadaannya, diiringnya wanita tersebut sehingga sampai ke Madinah. Apabila sampai ke Quba, Uthman memberitahunya, “Di kampung inilah suamimu berada. Masuklah ke dalamnya dengan keberkatan Allah.” Kemudian Uthman beredar pulang ke Makkah.

Apabila Suhayb hendak berhijrah, orang kafir Quraisy berkata kepadanya, “Dahulu, kamu datang kepada kami sebagai seorang yang miskin hina. Kemudian, kamu mendapat harta yang banyak dan mencapai kedudukan yang kamu nikmati sekarang. Kemudian kamu hendak keluar membawa harta dan jiwa kamu begitu sahaja? Ini tidak boleh!” Lalu, Suhayb menjawab, “Apa pandangan kamu jika aku serahkan semua hartaku itu kepada kamu, maka apakah kamu akan lepaskan aku pergi?” Mereka menjawab, “Baiklah.” Jawab Suhayb, “Kalau begitu, aku serahkan semua hartaku menjadi milik kamu.” Berita itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW bersabda, “Sungguh untung Suhayb, sungguh untung Suhayb.”

Umar bin al-Khattab, Iyash bin Abi Rabiah dan Hisham bin al-As bin Wail berpakat untuk bertemu di satu tempat pada suatu pagi dan dari situ mereka akan berhijrah ke Madinah. Umar dan Iyash bertemu tetapi Hisham pula tertahan.

Setelah mereka berdua sampai ke Madinah dan singgah di Quba, tiba-tiba Abu Jahal bersama saudaranya, al-Harith, datang kepada Iyash (mereka bertiga adalah saudara seibu). Mereka berkata kepadanya,“Ibumu bernazar tidak akan menyikat rambutnya dan tidak akan berteduh dari panas matahari melainkan setelah dia dapat melihat kamu.” Mendengarkan itu, timbullah rasa kasihan Iyash terhadap ibunya. Umar berkata kepadaya,“Hai Iyash, demi Allah, ini hanya perangkap mereka untuk menimbulkan bencana terhadap agamamu, awaslah kamu daripada mereka. Demi Allah, kalau ibumu disakiti oleh kutu, nescaya dia akan menyikat rambutnya, kalau terlalu panas terik matahari di Makkah, nescaya dia akan berteduh.”

Namun, Iyash tetap dengan keputusannya untuk mengikuti mereka berdua agar dapat dia berbakti kepada ibunya. Umar berkata, “Kalau itu sudah keputusanmu, ambillah untaku ini kerana ia adalah unta yang baik dan mudah dikendalikan. Sentiasalah kamu berada di belakangnya. Jika timbul kesangsianmu terhadap kaum itu, maka selamatkan dirimu dengan memecut unta itu.”

Lalu keluarlah Iyash mengenderai unta tersebut bersama-sama Abu Jahal dan al-Harith. Apabila mereka sampai di suatu tempat, Abu Jahal berkata kepadanya, “Hai anak saudaraku, demi Allah, untaku ini sudah menanggung yang berat, bolehkah kau tumpangkan aku di atas untamu?” Jawab Iyash, “Baiklah.” Lalu, mereka pun menderumkan unta itu untuk berpindah ke unta yang lain. Namun, apabila mereka semua sudah berada di bumi, dengan segera mereka menyerbu Iyash dan mengikatnya.

Kemudian dia dibawa masuk ke Makkah pada waktu siang dalam keadaan tubuh yang terikat. Berkata Abu Jahal dan al-Harith, “Hai, penduduk Makkah. Buatlah begini terhadap orang bodoh kamu itu sebagaimana yang kami buat kepada si bodoh kami ini!”

Inilah antara contoh tindakan yang dilakukan oleh orang musyrikin terhadap orang yang hendak berhijrah. Walaupun begitu, orang Islam tetap keluar berperingkat-peringkat; sebahagiannya menyusul selepas sebahagian yang lain. Setelah berlalu dua bulan lebih Baiah Aqabah Kedua, tidak ada lagi orang Islam yang tinggal di Makkah kecuali keluarga Rasulullah SAW, Abu Bakar r.a dan Ali r.a (Abu Bakar dan Ali terus berada di Makkah kerana arahan Rasulullah SAW yang mengehendaki mereka berbuat demikian). Kalaupun ada orang Islam yang masih kekal di Makkah, maka mereka ialah orang yang ditahan secara paksa oleh orang musyrikin. Rasulullah SAW sendiri telah mempersiapkan kelengkapannya dan menanti saat bila Allah akan memerintahnya untuk keluar. Begitu juga Abu Bakar r.a yang telah mempersiapkan kelengkapannya.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah r.ha, katanya, “Rasulullah SAW berkata kepada orang Islam, ‘Sesungguhnya aku telah melihat tempat hijrah kamu mempunyai kebun-kebun kurma di antara dua bumi yang berbatu hitam.” Lalu, berhijrahlah mereka menuju ke Madinah sementara semua orang yang telah berhijrah ke Habsyah pulang dan menuju ke Madinah. Abu Bakar r.a bersiap sedia untuk berangkat ke Madinah. Tiba-tiba Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Tunggulah dahulu kerana aku mengharapkan mendapat izin untuk berhijrah.” Lantas berkatalah Abu Bakar r.a, “Apakah engkau perlu mengharapkan keizinan itu terlebih dahulu? “

Jawab Rasulullah SAW,“Ya.”
Maka Abu Bakar r.a menunggu Rasulullah SAW untuk menemani Baginda SAW. Diberinya dua unta tunggangannya memakan daun-daun pokok yang luruh selama empat bulan.

Sumber : Sirah Nabawiyyah Rohik Almakhtum

No Comments

    Leave a reply