SIRAH NABAWIYYAH : TAHUN DUKACITA

SAKIT Abu Talib semakin tenat. Tidak lama kemudian, beliau pun meninggal dunia, iaitu pada bulan Rejab[1] tahun kesepuluh kenabian, selepas enam bulan berakhirnya peristiwa pemulauan.[2] Dikatakan bahawa kematian beliau ialah pada bulan Ramadan, iaitu tiga hari sebelum kewafatan Khadijah r.ha.

Dalam hadis yang sahih riwayat daripada al-Musayyah, katanya, “Menjelang kematian Abu Talib, Rasulullah SAW mengunjungi beliau, dan di sisi beliau ada Abu Jahal. Rasulullah SAW berkata, “Hai, bapa saudaraku, ucapkanlah la ilaha illallah, satu kalimah yang aku akan berhujah dengannya di sisi Allah.” Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah pula berkata, “Hai, Abu Talib, adakah kamu tidak suka dengan agama Abd al-Muttalib?” Lalu, sentiasalah mereka berdua mengulangi kata-kata itu sehingga kalimah terakhir yang diucapkan oleh Abu Talib ialah, ‘Di atas agama Abd al-Muttalib.’ Maka, Rasulullah SAW berkata, “Akan ku pohonkan keampunan untukmu selagi aku tidak dilarang berbuat demikian.” Dengan itu turunlah ayat:

Maksudnya: “Tidaklah sepatutnya bagi nabi dan orang yang beriman meminta ampun bagi orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

(Al-Taubah: 113)

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan siapa yang akan mendapat petunjuk (kepada memeluk Islam).

(Al-Qasas: 56)

Tidak perlu dihuraikan mengenai perlindungan dan pengawalan yang diberikan oleh Abu Talib. Beliau adalah kubu yang teguh memelihara dakwah islamiyah daripada serangan-serangan orang yang takbur dan bodoh. Sayangnya, beliau tetap berpegang kepada agama nenek moyangnya. Justeru, beliau tidak mendapat kejayaan sebenar. Dalam hadis sahih riwayat al-Abbas bin Abd al-Muttalib mengatakan bahawa beliau berkata kepada Rasulullah SAW, “Apakah engkau tidak dapat menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demimu?” Jawab Rasulullah SAW, “Dia berada dalam tempat yang cetek dari neraka. Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari neraka.”[3]

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudriy bahawa dia mendengar Rasulullah SAW (ketika disebutkan di sisinya mengenai bapa saudaranya), lalu Rasulullah SAW bersabda, “Boleh jadi ada gunanya syafaatku kepadanya pada Hari Kiamat, di mana dia akan diletakkan dalam tempat yang cetek dari neraka sehingga sampai ke buku lalinya.”[4]

Kewafatan Khadijah r.ha

Selepas kematian Abu Talib, kira-kira dua bulan atau tiga hari – berdasarkan dua perbezaan pendapat – Khadijah Ummul Mukminin r.ha pula meninggal dunia, iaitu pada bulan Ramadan, tahun kesepuluh kenabian. Ketika itu, usia beliau ialah 65 tahun; Rasulullah SAW ketika itu berusia 50 tahun.[5]

Sesungguhnya Khadijah r.ha adalah salah satu nikmat terbesar yang dikurniakan Allah kepada Rasulullah SAW. Khadijah r.ha tinggal bersama Rasulullah SAW selama suku abad, bersama-sama merasai saat-saat mencemaskan, membantu Baginda SAW semasa keadaan yang getir dan sukar, membantu Baginda SAW menyebarkan risalahnya, menyertai Baginda SAW membayar harga jihad yang pahit, mengorbankan kepentingan diri dan harta bendanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dia beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku; dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakan aku; dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku, dan Allah mengurniakan kepadaku anaknya dan menghalangku mendapat anak daripada selainnya.”[6]

Dalam hadis sahih daripada Abu Hurairah r.a, katanya, “Jibrail datang kepada Rasulullah SAW sambil berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah datang membawa bersama-samanya bekas di dalamnya ada lauk atau makanan atau minuman. Apabila dia sampai kepadamu, sampaikan salam Tuannya kepadanya dan khabarkan berita gembira kepadanya dengan sebuah rumah di syurga daripada permata yang di dalamnya tidak ada hiruk-pikuk dan keletihan.”[7]

Kesedihan berturutan

Dua peristiwa yang menyedihkan (kematian Khadijah r.ha dan Abu Talib) ini berlaku dalam selang beberapa hari sahaja. Peristiwa-peristiwa ini menyebabkan perasaan sedih dan pilu dalam jiwa Rasulullah SAW. Setelah itu, berturut-turut musibah yang menimpa Rasulullah SAW angkara kaumnya sendiri. Mereka semakin berani terhadap Rasulullah SAW. Selepas kematian Abu Talib, mereka menyakiti Rasulullah SAW secara terbuka. Oleh sebab itu, bertambahlah dukacita Rasulullah SAW sehingga Rasulullah SAW berputus asa terhadap mereka.

Maka, Rasulullah SAW pun keluar ke Taif dengan harapan dapat menyampaikan dakwah di sana atau mendapatkan bantuan penduduk Taif untuk Rasulullah SAW menghadapi kaumnya. Malangnya, Rasulullah SAW tidak menemui orang yang mahu memberi Baginda SAW perlindungan atau membantunya. Malah, mereka menyakiti Rasulullah SAW dengan lebih hebat lagi. Mereka bertindak ke atas Rasulullah SAW dengan lebih buruk berbanding apa yang dilakukan oleh kaum Rasulullah SAW sendiri.

Sebagaimana hebatnya tekanan penduduk Makkah terhadap Rasulullah SAW, begitulah yang dirasai oleh para sahabat sehingga memaksa sahabat karib Rasulullah SAW – Abu Bakar al-Siddiq r.a – berhijrah meninggalkan Makkah. Beliau keluar sehingga sampai ke Bark al-Ghimad dengan tujuan hendak pergi ke Habsyah tetapi Ibn al-Daghinah telah membawa beliau kembali di bawah perlindungannya.[8]

Ibn Ishaq berkata, “Apabila Abu Talib meninggal dunia, orang Quraisy telah bertindak menyakiti Rasulullah SAW dengan cara yang tidak sanggup mereka lakukan semasa Abu Talib hidup. Sehinggakan Rasulullah SAW pernah disekat oleh seorang yang bodoh daripada kalangan Quraisy yang menaburkan tanah di atas kepala Rasulullah SAW. Rasulullah SAW masuk ke rumah Baginda SAW dengan tanah masih berada di atas kepalanya. Salah seorang puteri Rasulullah SAW bangun membersihkan tanah di kepala Rasulullah SAW sambil menangis, lalu Rasulullah SAW berkata, “Jangan menangis, anakku. Sesungguhnya Allah akan mempertahankan bapamu.” Dalam pada itu, Rasulullah SAW berkata, “Orang Quraisy tidak pernah bertindak sesuatu yang aku benci sehingga wafatnya Abu Talib.”[9]

Disebabkan penderitaan bertalu-talu yang Rasulullah SAW hadapi pada tahun itu, maka Rasulullah SAW menamakan tahun tersebut sebagai ‘Tahun Kesedihan’. Gelaran tahun ini menjadi terkenal dalam sejarah.

Perkahwinan dengan Saudah r.ha

Pada bulan Syawal tahun tersebut (tahun kesepuluh kenabian), Rasulullah SAW berkahwin dengan Saudah binti Zamah. Saudah merupakan antara wanita terawal yang memeluk Islam dan pergi ke Habsyah semasa penghijrahan kedua. Suaminya sebelum itu ialah al-Sakran bin Amru yang juga telah memeluk Islam dan berhijrah ke Habsyah.

Suami beliau meninggal dunia sama ada di Habsyah atau setelah pulang ke Makkah. Setelah selesai idahnya, Rasulullah SAW melamar dan mengahwini Saudah. Beliaulah wanita pertama yang dikahwini oleh Rasulullah SAW selepas kewafatan Khadijah r.ha. Selepas beberapa tahun, beliau memberi gilirannya kepada Aisyah r.ha.[10]

Sumber : Sorah nabawiyyah Rohik Almakhtum

[1] Shah Akbar Khan al-Najib Abadi, Tarikh al-Islam, 1/20. Terdapat perbezaan ketara antara sumber-sumber sejarah mengenai bulan kematian Abu Talib. Pendapat yang penulis pilih ini berdasarkan kebanyakan sumber itu sependapat bahawa kematiannya ialah enam bulan selepas tamatnya perjanjian pemulauan. Pemulauan yang dilakukan memakan masa selama tiga tahun. Pemulauan bermula pada malam awal Muharam tahun ketujuh kenabian. Jadi, ini menunjukkan bahawa kematian Abu Talib ialah pada bulan Rejab tahun kesepuluh kenabian.

[2] Al-Sheikh Abdullah al-Najdiy, op. cit., h. 111.

[3] Sahih al-Bukhari, bab: Kisah Abu Talib, 1/548.

[4] Ibid.

[5] Kematiannya pada bulan Ramadan tahun tersebut dinyatakan oleh Ibn Jawziy dalam kitab Al-Talaqih, h.7; al-‘Allamah al-Mansurfuri dalam kitab Rahmah Li al-Alamin, 2/164, serta penulis-penulis lain.

[6] Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad, 6/118.

[7] Sahih al-Bukhari, 1/359.

[8] Shah Akbar Khan al-Najib Abadi menjelaskan bahawa kisah ini berlaku pada tahun tersebut. Rujuk: Tarikh al-Islam, 1/120. Kisahnya secara panjang lebar diriwayatkan dalam kitab Ibn Hisham, 1/372-374; Sahih al-Bukhari, 1/552-553.

[9] Ibn Hisham, 1/416.

[10] Rahmah Li al-Alamin, 2/165; Talaqih Fuhum Ahl al-Athar, h.10.

No Comments

    Leave a reply