Siri 12 – Perdamaian

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 12

Perdamaian.

 “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu.”

(Surah al-Hujurat: 10)

“… maka bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesamamu…”

(Surah al-Anfal: 1)

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Setiap ruas tulang manusia itu ada kewajipan sedekahnya pada setiap hari di mana matahari terbit menyinarinya. Mendamaikan dua orang dengan adil adalah sedekah…

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Perdamaian ialah satu keadaan di mana setiap satu persengketaan atau masalah yang melibatkan dua pihak atau lebih dapat diselesaikan dengan aman sehingga tidak timbul perasaan dendam atau tidak puas hati antara satu sama lain. Suasana ini akan menenangkan pihak-pihak yang terlibat dan pihak-pihak yang berdekatan dengan mereka, maka beruntunglah sesiapa yang tinggal atau hidup dalam suasana penuh kedamaian ini.

Perjuangan seorang muslim bukanlah hanya berjihad di medan perang semata-mata, akan tetapi perjuangan dalam mendamaikan mana-mana pihak yang bertelagah antara satu sama lain juga adalah sebuah tuntutan dalam agama. Perbezaan pendapat bukanlah suatu alasan untuk memulakan persengketaan kerana di dalam Islam perbezaan pendapat itu adalah suatu rahmat. Pegawai Sulh ialah satu contoh terbaik yang berfungsi sebagai orang tengah luar mahkamah dalam memperbaiki hubungan antara suami isteri, akan tetapi skop kerjayanya hanyalah melibatkan hubungan kekeluargaan sahaja.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Ya Allah sesungguhnya aku bermohon kepadaMu jauhkanlah sifat benci dalam diri kami, jauhkan persengketaan antara kami dan kukuhkan perpaduan dalam masyarakat kami.

No Comments

    Leave a reply