Siri 13 – Rendah Hati

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 13

Rendah Hati.

 “Dan hamba-hamba (Allah) Yang Maha Pengasih ialah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

(Surah al-Furqan: 63)

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi, dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.”

(Surah al-Isra: 37)

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a, dari Nabi s.a.w, sabdanya: ‘Tidak akan masuk syurga siapa yang dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sebesar zarrah.

Hadis Riwayat Muslim.

Rendah hati atau rendah diri sama maksudnya dengan tawadhu’. Tawadhu’ adalah kerendahan hati yang tidak menilai dirinya lebih baik dari orang lain dan mempunyai kecenderungan yang tinggi dalam aspek hormat kepada orang lain. Sifat ini adalah salah satu sifat yang amat penting untuk dipupuk dalam masyarakat kita hari ini kerana kerendahan hati ini mampu untuk mengawal manusia daripada keadaan berlebih-lebihan atau melampaui batas. Hal ini seterusnya dapat mengekalkan perpaduan sejagat.

Tanda-tanda seseorang itu bersifat rendah hati kebiasaannya ialah boleh menerima nasihat daripada orang lain, sentiasa melihat kelebihan orang lain dan berusaha memperbaiki kelemahannya, sentiasa membantu orang lain yang dalam kesusahan, sentiasa bermusyawarah dengan anggota masyarakat lain dan sentiasa berbaik sangka kepada sesiapa sahaja.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan khusyu’ dan tawadhu’, dan matikanlah aku dalam kedaan khusyu’ dan tawadhu’, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) dalam golongan orang-orang khusyu’ dan tawadhu’.

No Comments

    Leave a reply