Siri 14 – Riak

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 14

Riak.

 “Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat dan sesiapa yang (mengambil) syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.”

(Surah an-Nisa’: 38)

Dari Jundub bin Abdullah bin Sufyan r.a, ia berkata, Nabi s.a.w bersabda: ‘Barang siapa sum’ah (pura-pura ikhlas dalam ibadah) dengan amalnya, maka Allah sum’ah kepadanya. Dan barangsiapa  riak dengan amalnya, maka Allah akan riak kepadanya.’

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Barangsiapa mempelajari ilmu pengetahuan yang seharusnya hanya untuk mencari redha Allah tetapi ia tidak mempelajarinya, melainkan untuk mendapatkan harta benda duniawi, maka ia tidak akan mendapatkan harumnya syurga pada hari kiamat.’

Hadis Riwayat Abu Dawud.

Riak ialah satu sifat yang berpunca daripada hati yang mana empunya diri dan Allah s.w.t sahaja yang mengetahui sifat riak atau menunjuk-nunjuk tersebut. Riak dalam erti kata lain ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain dan seterusnya mengharapkan pujian atau ganjaran hasil dari perbuatannya itu.

Apabila seseorang manusia yang beriman gagal mendidik hati atau menjauhkan diri daripada sifat riak ini, kemungkinan besar sifat riak itu akan akan membawa kepada sifat takabbur (sombong) yang sudah tentu akan memberi kesan negatif kepada individu tersebut selain dicela dan dibenci oleh Allah s.w.t. Ikhlaskanlah diri dalam melakukan apa jua perbuatan atau pekerjaan kerana hati yang ikhlas sahaja yang mampu mengelakkan diri dari sifat riak ini.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepadaMu agar tidak menyekutukan kepadaMu, sedang kami mengetahuinya dan kami memohon ampun terhadap apa yang tidak kami ketahui. Ya Allah jauhkanlah kami dari sifat riak dan takabbur.

No Comments

    Leave a reply