Siri 15 – Sabar

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 15

Sabar.

 “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

(Surah ali-Imran: 200)

“.. Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

(Surah az-Zumar: 10)

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Amat mengagumkan keadaan orang mukmin itu. Sesungguhnya semua keadaannya itu merupakan kebaikan baginya, dan kebaikan yang sedemikian itu tidak dimiliki selain orang mukmin. Apabila ia mendapatkan kebaikan, maka ia bersyukur sehingga hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila ia ditimpa oleh kesukaran, maka ia pun bersabar, dan hal itu merupakan kebaikan baginya.’

Hadis Riwayat Muslim

Sabar adalah sebuah elemen yang paling penting untuk diterapkan dalam diri kita seluruhnya. Kekuatan sabar ini sebenarnya boleh memberikan kita berfikir dan bertindak secara rasional dalam apa jua keadaan. Malahan sifat sabar ini mampu untuk menghilangkan atau menjauhkan perasaan dendam dan lain-lain penyakit hati yang merosakkan diri seterusnya merosakkan masyarakat.

Kelebihan orang-orang yang sabar sebenarnya ialah mereka tidak akan dimurkai Allah s.w.t dan yang lebih penting sifat sabar ini akan mengelakkan dari berlakunya perpecahan. Contoh yang paling dekat ialah hubungan antara suami isteri, jika salah seorang atau kedua-duanya mempunyai sifat sabar yang tinggi maka amanlah rumah tangga mereka. Akan tetapi jika tiada sifat sabar pada kedua mereka maka rosaklah rumah tangga mereka dan secara tidak langsung akan mempengaruhi anak-anak mereka. Setiap institusi keluarga akan mencorak atau mempengaruhi masyarakatnya, jika banyak keluarga berpecah belah maka begitu juga masyarakatnya dan jika banyak keluarga bersatu padu maka masyarakatnya juga akan bersatu padu.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran atas diri kami dan teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.

No Comments

    Leave a reply