Siri 16 – Muka Dua

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 16

Muka Dua.

 “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah dari (lapisan-lapisan) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”

(Surah an-Nisa’: 145)

Dari Muhammad bin Zaid bahawa ada beberapa orang berkata kepada abang Abdullah bin Umar r.a, ‘Sesungguhnya bila kami datang kehadapan para penguasa, maka kami mengatakan kepada mereka lain dengan apa yang kami katakan bila kami keluar dari hadapan mereka.’ Kemudian Abdullah bin Umar berkata, ‘Pada masa Rasulullah s.a.w kami menganggap hal yang demikian itu termasuk perbuatan munafik.’

Hadis Riwayat Bukhari

Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘… Dan kalian mendapati sejahat-jahat manusia adalah orang yang bermuka dua, di mana ia datang kepada suatu kelompok dengan muka yang satu, lalu datang kepada kelompok yang lain dengan muka yang lain.’

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Muka dua membawa maksud seseorang yang menyembunyikan apa yang ada di dalam hatinya ketika bertemu seseorang atau segolongan orang yang dia musuhi dengan menunjukkan perbuatan dan perkataan yang berbeza dengan apa yang disimpan di dalam hatinya. Seolah-olah menunjukkan bahawa tiada konflik antara mereka sehingga seseorang atau golongan itu mempercayai bahawa dia ialah kawan walhal sebenarnya dia umpama musuh di dalam selimut.

Perwatakan seperti ini kebiasaannya menyebabkan perpecahan berlaku di dalam masyarakat. Mereka yang mempunyai muka dua inilah yang kita perlu jauhi dan singkirkan dari komuniti masyarakat kita hari ini kerana selain boleh menjadi pencetus perpecahan antara kelompok masyarakat, mereka juga mampu untuk memecah belahkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.  Mereka ini sentiasa mencari jalan dalam mengutamakan atau menguntungkan diri sendiri tanpa memikirkan akibat buruk kepada orang lain. Atas dasar inilah seseorang yang bermuka dua dianggap sebagai sejahat-jahat manusia.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Wahai Tuhan kami, selamatkanlah kami, keluarga kami dan masyarakat kami serta jauhkan kami dari sesiapa yang berniat jahat ke atas kami. Kami juga memohon petunjuk agar kami mengenali musuh-musuh kami yang bermuka dua, berkata baik di hadapan kami tetapi berkata buruk di belakang kami.

No Comments

    Leave a reply