Siri 17 – Kasih Sayang

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 17

Kasih Sayang.

 “Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu…”

(Surah ali-Imran: 159)

Dari Nu’man bin Basyir r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.’

Hadis Riwayat Muslim

Dari Jarir bin ‘Abdullah r.a katanya Rasulullah s.aw bersabda: ‘Siapa yang tidak menyayangi manusia, dia tidak disayangi Allah ‘Azza wa Jalla.’

Hadis Riwayat Muslim

Kasih sayang ialah perasaan yang wujud dalam diri setiap manusia, perbezaan kekuatan sayang itu bergantung kepada keras atau lembutnya hati seseorang itu. Sifat kasih sayang ini mudah menonjol apabila empunya diri mempunyai hati yang tulus. Dan hati yang tulus ini boleh dilatih dengan melakukan perintah Allah s.w.t serta menjauhi laranganNya.

Antara tunjang utama dalam mengeratkan perpaduan silaturrahim di dalam masyarakat ialah kasih sayang. Hubungan yang baik antara manusia yang berteraskan kasih sayang tidak akan mudah goyah. Kuatnya kuasa kasih sayang ini dibuktikan dengan melihat kepada hubungan kasih sayang antara ibu dan anak. Walaupun terdapat segelintir ibu yang mempunyai masalah hati tetapi hakikatnya ia tidak mampu menyangkal kehebatan kasih sayang ibu terhadap anak-anaknya dalam apa jua keadaan.

Telah terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w kisah ibu Alqomah yang pada asalnya sangat keras hati untuk memaafkan anaknya Alqomah yang sedang nazak kerana melebihkan isteri dari dirinya, akan tetapi akhirnya tetap memaafkan Alqomah kerana tidak sanggup mengetahui jika anaknya akan masuk neraka kerana dirinya.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana cinta padaMu, bertemu untuk mentaatiMu dan bersatu untuk menerima seruanMu serta mengikat janji untuk menolong menegakkan syariatMu. Kuatkanlah ya Allah, ikatannya dan teruskanlah kemesraannya, berilah petunjuk jalan-jalannya dan penuhilah ia (hati-hati manusia) dengan cahayaMu yang tidak terpadam, lapangkanlah dadanya dengan limpahan keimanan terhadapMu dan keindahan tawakal kepadaMu.

No Comments

    Leave a reply