Siri 18 – Tamak

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 18

Tamak.

 “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta kamu dan anak-pinak kamu dari mengingati Allah. Dan sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

(Surah al-Munafiqun: 9)

“Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan sekali-kali janganlah syaitan memperdayakan kalian tentang Allah.”

(Surah al-Fatir: 5)

Dari Anas bin Malik r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Andaikata seorang anak Adam (manusia) itu memiliki selembah emas, ia tentu menginginkan memiliki dua lembah dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya kecuali tanah (mati) dan Allah menerima taubat kepada orang yang bertaubat.’

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Tamak ialah sifat manusia yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimilikinya dan mengambil hak milik orang lain semata-mata untuk kepuasan dirinya lebih-lebih lagi apabila melibatkan harta duniawi. Seseorang yang bersifat demikian tidak akan memandang orang-orang di sekelilingnya dan amat mementingkan hal dirinya sahaja. Manusia yang tamak ini tidak sesuai berada dalam mana-mana golongan masyarakat kerana mereka ini umpama punca suatu wabak perpecahan jika berada dalam sesebuah masyarakat.

Kisah Qarun yang ditelan bumi bersama seluruh hartanya ialah kisah yang diceritakan dalam surah al-Qasas ayat 76-83. Qarun yang pada asalnya seorang yang miskin telah meminta kepada Nabi Musa a.s berdoa agar diberi kesenangan oleh Allah, lalu diperkenankan doa Nabi Musa a.s. Tetapi sifat Qarun yang tamak dan tidak bersyukur dengan kekayaannya telah menyebabkannya merasa sombong dengan hartanya. Akhirnya, Allah menenggelamkan Qarun dan hartanya ke dalam bumi.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Wahai Tuhan kami, kami berlindung kepadaMu daripada kesusahan dan kedukaan, kelemahan dan kemalasan, dan dari sikap pengecut dan bakhil serta seksa azab kubur. Ya Allah ya tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung diri denganMu daripada ilmu yang tiada berguna, daripada hati yang tiada khusyuk, daripada jiwa yang tiada kenal kenyang dan daripada doa yang tidak akan diterimaNya.

No Comments

    Leave a reply