Siri 19 – Bantu-Membantu

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 19

Bantu-membantu.

 “…Dan hendaklah kamu bantu-membantu untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa dan pencerobohan…”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Dari Abdullah bin Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Orang Islam itu saudara orang Islam, ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya juga. Siapa yang menghilangkan kesusahannya orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari kiamat nanti.’

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Dari Anas bin Malik dari Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tolonglah saudaramu yang menganiaya mahupun yang teraniaya.’ Dikatakan: Wahai Rasulullah aku menolong yang teraniaya lalu bagaimana aku menolong yang menganiaya? Beliau bersabda: ‘Kamu mencegahnya dari perbuatan aniaya, demikian itulah pertolonganmu kepadanya.’

Hadis Riwayat at-Tarmizi

Hubungan antara manusia yang terbaik dan ikatan yang kukuh hanya berlaku apabila wujud konsep tolong-menolong serta bertolak-ansur antara mereka  seperti orang kaya membantu orang miskin atau orang kuat membantu orang lemah ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Konsep bantu-membantu ini menjadi salah satu faktor yang menguatkan hubungan dalam sesebuah masyarakat.

Contoh mudah untuk kita lihat sebagai orang Islam ialah pensyariatan zakat dalam Islam. Fungsi zakat ini cukup luas dan menyeluruh kerana memberi kesan yang efektik dalam membantu golongan yang memerlukan. Saidina Umar al-Khattab orang pertama yang mencetuskan idea baitulmal dalam memaksimakan fungsi zakat. Strategi itu sangat berkesan kerana sesetengah masyarakat Islam yang tidak berkemampuan  ketika itu tidak merasa keperitan hidup kerana setiap keperluan asas boleh diperolehi dengan bantuan zakat. Hal ini telah menyebabkan masyarakatnya pada masa itu sebuah masyarakat yang teguh kuat sehingga disegani oleh bangsa lain seperti Rom dan Parsi.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Wahai Tuhan kami, kami memohon rahmatMu agar hati kami wujud perasaan kasih, berbudi bahasa, toleransi, bekerjasama dan sifat tolong-menolong antara kami demi perpaduan masyarakat kami. Semoga dengan kukuhnya masyarakat kami akan memberi kelebihan kepada agamaMu Ya Allah.

No Comments

    Leave a reply