Siri 21 – Hormat Menghormati

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 21

Hormat Menghormati.

 “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

(Surah an-Nisaa: 86)

Dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi anak kecil kami dan tidak menghormati orang tua kami, tidak memerintahkan kebaikan dan tidak melarang kemungkaran.’

Hadis Riwayat at-Tarmizi

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: ‘Satu jenazah lewat di hadapan kami. Nabi s.a.w berdiri menghormatinya, maka kami pun berdiri pula. Kata kami: Ya Rasulullah! Itu jenazah orang yahudi. Sabda Nabi s.a.w, ‘Apabila kamu melihat jenazah, berdirilah!

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Islam menggalakkan kepada umatnya amalan hormat menghormati sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa atau apa sahaja. Hal ini kerana didalamnya terdapat nilai yang baik serta mampu memberi kesan positif kepada masyarakat. Sesiapa yang sentiasa mengamalkan budaya ini kebiasaannya tidak akan mengalami masalah hubungan antara manusia. Hubungan antara manusia amat dititik beratkan dalam Islam kerana kegagalan dalam menyelesaikan masalah sesama manusia akan memberi kesan kepada kita semasa Hari Pengadilan kelak.

Budaya hormat menghormati ini ialah salah satu budaya yang perlu kita amalkan, terapkan dan sematkan dalam hati kita demi membina masyakat yang kuat perpaduannya antara satu sama lain. Budaya ini juga mampu mengurangkan jurang antara setiap lapisan masyarakat dalam sesebuah negara dan secara tidak langsung keamanan atau kedamaian dapat dikekalkan. Hormatilah warga tua dan sayangilah warga muda agar kehormanian kekal sepanjang zaman.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Wahai Tuhan kami, kami memohon rahmatMu agar hati kami wujud perasaan kasih, berbudi bahasa, toleransi, bekerjasama dan sifat tolong-menolong antara kami demi perpaduan masyarakat kami. Semoga dengan kukuhnya masyarakat kami akan memberi kelebihan kepada agamaMu Ya Allah.

No Comments

    Leave a reply