Siri 22 – Pendusta

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 22

Pendusta.

“Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.”

(Surah an-Nahl: 105)

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: jika berbicara ia berdusta, jika berjanji ia mungkiri dan jika dipercayai (diberi amanah) ia khianati.’

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Dari ‘Abdullah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Hendaklah kamu selalu berlaku jujur. Kerana berlaku jujur membimbing kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa berlaku jujur dan berusaha mempertahankan kejujuran, maka dicatat Allah sebagai Sadiq. Dan hindarilah olehmu dusta kerana sesungguhnya dusta itu membimbing kepada kejahatan, dan kejahatan membawa kepada neraka. Seseorang yang sentiasa berdusta dan mempertahankan kedustaan, maka dicatat Allah sebagai Kadzdzab.’

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

            Dusta membawa maksud sebagai bohong atau tipu iaitu suatu sifat yang boleh meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Perilaku seperti ini tidak boleh berlaku secara kerap kerana ianya akan menjadi tabiat dan akan menyebabkan hilangnya kepercayaan masyarakat. Pepatah lama Melayu juga ada mengatakan bahawa sesiapa yang selalu bercakap bohong maka lama kelamaan akan mencuri. Perkara itulah sebenarnya yang boleh membahayakan diri seseorang yang sentiasa berdusta  kerana akhirnya akan terjerumus ke dalam masalah yang lebih berat lagi.

            Masyarakat pada hari ini sebenarnya perlu berwaspada terhadap sang pendusta seperti berwaspada dengan godaaan syaitan kerana syaitan menggunakan kaedah dusta dalam mempengaruhi manusia yang beriman. Seorang pendusta sama sifatnya seperti syaitan kerana tidak akan senang duduk apabila melihat kebaikan apatah lagi jika melibatkan perpaduan dalam sesebuah masyarakat. Berhati-hatilah apabila menerima berita daripada seseorang kerana tanpa mengenalinya kita mendedahkan diri kita agar mudah ditipu oleh mereka yang pendusta ini.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Ya Allah, sucikanlah hati kami dari nifak, amalan kami dari riya’, mata kami dari khianat. Engkaulah yang mengetahui segala khianat mata (mata yang khianat) dan segala was-was atau segala yang disembunyikan dada-dada manusia.

No Comments

    Leave a reply