Siri 6 – Persengketaan

DISKUSI POLITIK BERADAB

Tazkirah Siyasah – Siri 6

Persengketaan.

 “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu.”

(Surah al-Hujurat: 10)

Dari Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu saling membenci, saling hasud, saling membelakangi, dan saling memutuskan tali persahabatan. Tetapi, jadilah kamu itu hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim tidak diperbolehkan mendiamkan saudaranya lebih daripada tiga hari.

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Perintah berdamai serta larangan persengketaan antara satu sama lain bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya perpecahan, keretakan dan kelemahan di antara umat Islam. Masalah  perpecahan ini kebiasaannya bermula apabila terdapat perselisihan pendapat yang seterusnya akan membawa kepada pertengkaran. Apabila pertengkaran berlaku dalam tempoh yang panjang tanpa adanya jalan penyelesaian maka sedikit demi sedikit keutuhan sebuah perhubungan akan mulai retak dan akan mengakibatkan perpecahan dan permusuhan.

Persengketaan akan menjadi lebih parah jika melibatkan orang-orang yang berpengaruh kerana mereka akan menyebabkan suatu masyarakat menjadi berpuak-puak. Dan puak-puak yang terlibat akan cuba mempengaruhi masyarakat lain menyebelahi pihak mereka. Senario dunia pada hari ini, dengan amalan berkonsepkan dunia di hujung jari amat mudah untuk mencetuskan persengketaan serta mempengaruhi pihak lain terlibat dengan persengketaan dalam masa yang singkat. Tanpa disedari kekuatan silaturrahim antara mereka menjadi sangat longgar dan akhir sekali akan musnahlah sesebuah masyarakat itu.

Ya Allah, kuatkan iman kami, ampunkan dosa-dosa kami. Ya Allah sesungguhnya aku bermohon kepadaMu jauhkanlah sifat benci dalam diri kami, jauhkan persengketaan antara kami dan kukuhkan perpaduan dalam masyarakat kami.

No Comments

    Leave a reply