SITI KHADIJAH, NABI MUHAMMAD DAN SYIRIA

Sekiranya Nabi Muhammad SAW masih hidup dan menyaksikan apa yang terjadi di Syiria pada masa ini, sudah pasti baginda akan sedih dan menyesalkan konflik dan kekacauan di bumi anbiya’ itu. Kesedihan dan penyesalan baginda bukan sahaja disebabkan oleh peperangan yang telah mencabik-cabik nilai persaudaraan dan pencabulan nilai kemanusiaan yang mengerikan dan tidak bertamadun, akan tetapi kerana di negara itulah bibit-bibit cinta dan kasih sayang Rasulullah SAW dengan Siti Khadijah RA bermula.

Iya, bermula di negara yang dikenali juga sebagai Syam inilah, menjadi episod penting kepada hubungan baginda dengan Khadijah yang kemudian membawa kepada pendirian rumah tangga pertama Rasulullah. Pada zaman itu, Khadijah telah dikenali sebagai korporat yang berjaya, dermawan, daripada golongan aristokat (bangsawan) yang terhormat dan mempunyai paras yang rupawan.

Beliau turut dikenali sebagai individu yang berjiwa murah hati dengan memberi modal perniagaan kepada pedagang-pedagang yang hendak memulakan perniagaan mereka. Perniagaan yang dikelolanya merentasi sempadan daerah dan negara. Justeru, Khadijah melantik duta atau wakil perniagaan untuk mewakilinya dalam menguruskan perniagaannya di luar negara termasuklah ke Syiria.

Salah satu duta itu ialah Muhammad bin Abdullah. Khadijah melantik Muhammad sebagai duta perniagaan kerana Muhammad merupakan individu yang terpercaya, jujur dan amanah. Sebab itulah Muhammad digelar sebagai al-Amin (jujur dan terpercaya) jauh sebelum baginda dilantik sebagai Rasulullah.   Berawal dari ekspedisi perniagaan di Syiria, jalinan perhubungan antara pemuda bernama Muhammad dengan ‘majikan’ Khadijah bertukar kepada hubungan yang istimewa.

Dua bulan selepas pemergian ke Syiria sebagai duta perniagaan yang berjaya dan menghasilkan keuntungan yang besar, Khadijah membulatkan tekad untuk ‘meminang’ Muhammad muda untuk menjadi suaminya. Padahal sebelumnya, ramai lelaki daripada pelbagai penjuru Mekkah berhasrat untuk meminang dan sanggup untuk membayar mahar seberapa banyak yang diminta, namun Khadijah menolak dengan halus semua pinangan itu.

Sebagai anggota elit masyarakat dan golongan bangsawan, sudah tentu Khadijah tinggal tekan ‘remote control‘ untuk memilih calon suami yang dikehendakinya. Akan tetapi, kerana selama ini tiada yang berkenan di hatinya, hasrat untuk mendirikan rumah tangga setelah dua kali gagal dalam perkahwinan sebelumnya tidak pernah terlaksana sehinggalah kemunculan pemuda Muhammad.

Sudah tentu, bukan semata-mata disebabkan kejayaan misi perniagaan Muhammad ke Syiria yang menjadikan Khadijah jatuh hati kepada sosok yang diisytiharkan sebagai pembawa risalah kenabian terakhir (khatama an-nabiyyin). Meskipun Muhammad muda tidak memiliki harta yang sebanding dengan dirinya, namun keperibadian Muhammad yang luar biasa samada dari segi watak, adab dan sopan santun, ketegasan, kejujuran dan sikap murni yang tertanam dalam peribadinya menjadikan Khadijah membuka hati untuk mengakhiri masa jandanya.

Pada masa yang sama, Muhammad muda juga mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga bagi mencari teman hidup yang sehati sejiwa dan memahami dirinya yang selama ini hidup bersendirian dan yatim piatu sejak kecil lagi. Gayung bersambut dan kedua belah pihak pun bersetuju untuk membina mahligai rumah tangga yang dicatat dalam al-Quran sebagai pernikahan yang mengangkat derajat dan status sosial Muhammad sebagaimana firman-Nya yang berbunyi “Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kekayaan” (Ad-Duhaa: 8).

Sepertimana proses perkahwinan Sayyidah Siti Aisyah dengan Nabi yang didahului dengan isyarat ‘campur tangan’ Tuhan secara langsung, perkahwinan Khadijah dengan baginda juga mengalami proses yang sama. Sebelum mengenal Muhammad secara peribadi terutama setelah ekspedisi perdagangan ke Syiria, Khadijah diberi tanda-tanda dan ‘dibisiki’ kekuatan transedental mengenai jodoh beliau setelah sekian lama menjanda.

‘Bisikan’ itu berupa mimpi yang Khadijah alami. Dalam mimpinya, Khadijah melihat matahari turun dan memasuki rumahnya. Sinar mentari yang terang benderang itu menyinari seluruh kota Mekkah sehingga tiada satupun rumah yang tidak terkena sinar matahari tersebut. Setelah mendapati mimpi yang menakjubkan itu, segera Siti Khadijah mendatangi saudara sepupu Waraqah bin Naufal. Beliau merupakan seorang penganut Nasrani taat yang mempunyai kemampuan ‘membaca’ dan mentakwilkan mimpi. Waraqah juga seorang pakar sejarah bangsa-bangsa purba dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perkembangan agama-agama terdahulu.

Sebagaimana riwayat yang terkenal dalam tarikh Islam, Waraqah yang juga paderi yang dihormati itu mentakwilkan mimpi Khadijah dengan mengatakan “kamu akan menjadi teman hidup dari keluarga terhormat keturunan Quraisy yang kelak akan diisytiharkan sebagai Nabi penutup zaman.” Apabila ditanya Khadijah siapakah orang itu, Waraqah dengan mantap menjawab “orang itu bernama Muhammad bin Abdullah”.

Kemampuan Waraqah menta’bir dan membaca mimpi itu bukan dilandasi main teka-teki layaknya seorang ahli nujum. Akan tetapi kemampuan itu dilandasi oleh keimanan dan keyakinan seorang Nasrani terhadap ajaran agamanya dan petunjuk yang terdapat dalam kitab Injil yang telahpun meramalkan kemunculan Nabi penutup pembawa risalah agama-agama samawi.

Kehidupan rumah tangga Rasulullah dengan Khadijah sendiri berjalan selama dua puluh enam tahun. Enam belas tahun dijalani sebelum dilantik menjadi Nabi dan sepuluh tahun bakinya dijalani pada era kenabian. Kebanyakan riwayat menjelaskan Nabi mengamalkan monogami sepanjang mengharungi bahtera rumah tangga dengan Khadijah dan baru berpoligami selepas kewafatan Khadijah. Disebabkan kedudukannya yang istimewa di hati Baginda dan bersamaan dengan meninggalnya Abu Talib (saudara ayah dan pelindung Nabi pada peringkat awal kelahiran Islam), tahun wafatnya Siti Khadijah dideklarasikan sebagai tahun kesedihan (‘am al-huzni).

Keistimewaan Siti Khadijah di mata Nabi Muhammad tidak hanya sekadar oleh aura kecantikan, kedermawanan dan pengorbanannya yang tiada batas kepada misi Islam dan dakwah Rasulullah terutama pada peringkat awal, akan tetapi juga oleh kesediaannya sebagai orang pertama yang percaya dan mengimani Islam. Khadijah memilih untuk mendampingi Rasulullah dan ‘berdepan dengan risiko’ ancaman dan intimidasi pembesar Quraisy yang tak mahu syiar dan dakwah Islam berkembang di Mekkah.

Rasulullah bersabda “Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengaruniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia.” (HR Imam Ahmad).

Khadijah rela meninggalkan ‘zon selesa’ yang selama ini dinikmatinya dan berjihad dengan harta yang dimilikinya demi misi menyelamatkan manusia dari kebobrokan, kegelapan dan kerosakan masyarakat jahiliyah kepada sinar terang hidayah yang dibawa oleh obor Islam. Khadijah juga yang memainkan peranan besar sebagai penenang hati baginda ketika baginda menggigil ketakutan dan gundah gulana setelah berjumpa dengan Malaikat Jibril yang secara rasmi memberi tugasan yang maha berat sebagai Nabi pembawa risalah Islamiyah.

Khadijah juga yang menjadi pakar motivasi dan meyakinkan kepada Nabi bahawa pelantikannya sebagai Nabi yang baru diterimanya di Gua Hira itu membawa misi untuk membebaskan manusia dari kesesatan pegangan hidup dan sekaligus menjadi penyempurna kepada akidah tauhid Islam. Misi yang membawa kepada keesaan Tuhan yang sebenar yang sebelum ini diseleweng oleh pegangan lain yang menjadikan kepada tiga Tuhan dan penyembah berhala.

Berasaskan kepada susur galur dan sirah kenabian ini, cukup menyesakkan dada apabila melihat keadaan Syiria sekarang ini. Jika dahulu Syiria telah berjasa besar menjadi ‘tapak’ kepada pertalian perkahwinan antara Khadijah dan Nabi Muhammad, kini menjadi pula menjadi ‘tapak’ pertumpahan darah. Bukan sebagai ‘tapak’ pertemuan cinta suci dan kasih sayang sesama manusia sebagaimana yang ditunjukkan Nabi.

Sebaliknya, dan ini yang paling memilukan dan menyayat hati ialah apabila Syiria telah bertukar menjadi medan pembantaian sesama Muslim disebabkan ketamakan manusia atas perebutan kuasa dan keseronokan duniawi. Atas nama agama dan pandangan yang melampau, mereka saling penggal-memenggal, bantai-membantai, kafir-mengkafir yang kesemua itu telah merosakkan Islam sebagai agama perdamaian dan penuh kasih sayang. Walhal, Syiria merupakan tempat dan negara istimewa di mata Nabi sehingga baginda pernah berdoa ” Ya Allah, berkatilah negara Syam (Syiria) dan Madinah”. Namun, kini semua itu tiada lagi terutama dalam empat tahun belakangan ini yang menyaksikan negara itu berkubang dalam peperangan yang tiada berkesudahan.

Wallahu a’lam.

Catatan: Ibanah Suhrowardiyah

No Comments

    Leave a reply