SPRM DIMINTA PANTAU KEMPEN PEMILIHAN UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Syawal 1439H, Rabu – Veteran UMNO meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengawasi kempen pemilihan UMNO nanti.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya sogokan politik wang daripada calon bertanding.

“Veteran berharap Jawatankuasa Pemilihan UMNO dapat mengendalikan pemilihan dengan telus dan bersih tanpa unsur-unsur tidak sihat seperti penipuan kiraan undi seperti yang pernah berlaku dalam pemilihan dahulu.

“Oleh itu Veteran mahu supaya semua calon yang bertanding untuk jawatan utama seperti Presiden, Timbalan dan Naib dibenarkan menghantar wakil mereka semasa pengiraan undi di semua bahagian,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mahu perwakilan menolak calon yang menggunakan wang untuk membeli undi.

Katanya, jika berlaku perwakilan perlu membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk tindakan.

“Sudah sampai masanya UMNO memerangi politik wang ini habis-habisan demi untuk mengembalikan UMNO kepada dasar perjuangan asalnya dalam usaha untuk mendapatkan semula keyakinan ahlinya selepas kekalahan dalam PRU14.

“Pihak SPRM mengawasi kempen yang dijalankan bagi mengelak perlakuan sogokan politik wang,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sumber : ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply