SUARA DORAEMON KETIKA BATMAN TAK MUNCUL

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, setiap hari rakyat Malaysia boleh menyaksikan pelbagai perangai manusia tanpa segan silu. Telatah itu ada yang berdifat bodoh dan dungu. Ada juga yang bersifat kelakar dan menghiburkan. Tetapi tidak kurang ada telatah yang aib dan boleh menyebabkan kemarahan akibat ‘emosi terperangkap’.

Emosi manusia mudah terperangkap disebabkan tekanan yang dihadapi. Tekanan muncul apabila manusia mula merasakan kebebasan yang dinikmatinya menjadi begitu terhad ataupun disekat. Akibat tekanan itu, perkara yang tidak biasa dilakukan mula ditonjolkan kerana ia mungkin terlahir sebagai satu bentuk escapism.

Apabila virus corona mula menyerang penduduk Wuhan pada bulan Oktober 2019, ia belum menjadi fenomena yang menakutkan. Ia berubah menukarkan perasaan ngeri pada bulan Disember 2019 tatkala banda raya Wuhan digambarkan sebagai bandar berhantu. Stigma ke atas penduduk Wuhan mula mengambil tempat walaupun sebelumnya Wuhan menjadi sebuah bandar moden, kehidupan masyarakatnya makmur disebabkan kemakmuran ekonomi China. Wuhan adalah sebuah bandar penting yang turut menempatkan industri pembuatan termasuk menghasilkan peralatan automobile..

Bila Wuhan dikuarantinkan, pengeluar automobile dunia terpaksa menghentikan pengeluaran kereta kerana bekalan peralatan terputus. Antara pengeluar kenderaan yang berhadapan masalah tersebut ialah Hyundai, Honda, Toyota dan banyak lagi. Sebagai langkah keselamatan, kerajaan China memutuskan hubungan dengan dunia luar (keluar masuk ke Wuhan disekat) manakala rakyatnya tidak dibenarkan keluar rumah. China dengan cepatnya berusaha membina hospital bagi menampung jumlah pesakit yang setiap hari meningkat dan dalam tempoh tiga bulan, Wuhan sudah dianggap bebas daripada COVID-19.

Banyak cerita disebarkan mengenai punca COVID-19. Pada awalnya, muncul teori konspirasi yang mengaitkan virus itu adalah ciptaan Amerika Syarikat untuk melumpuhkan kemaraan China sebagai kuasa ekonomi terbesar dalam tempoh yang singkat. Antara faktor yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat ialah dasar ‘perang perdagangan’ yang dimulakan oleh Donald Trump sejak beliau menang Pilihan Raya Presiden dengan slogan “Make Americans Great Again’.

turin Itali

Selepas China, Itali menjadi negara yang paling parah dijangkiti COVID-19, dan ianya turut tersebar ke Eropah serta Amerika Syarikat. Sebelum Amerika Syarikat mengalami situasi ‘saat kematian yang memuncak’, Itali menjadi negara paling ramai dijangkiti akibat kedegilan rakyatnya untuk mematuhi penjarakan sosial dan perintah kawalan pergerakan. Sampai pada satu tahap, kerajaan Itali menyerah kalah kerana tidak lagi mampu membendung penularan wabak tersebut dan mereka yang disaring positif tidak ada kemudahan untuk merawat dan menempatkan mereka di hospital.

Sehingga pertengahan Mac 2020, Eropah mengambil alih kedudukan Itali walaupun jumlah kematiannya adalah lebih kecil. Eropah diisytiharkan sebagai pusat penularan baharu COVID-19 dan kini diambil alih oleh Amerika Syarikat. Trump pada awalnya tidak merasa cemas dengan perkembangan yang berlaku, malah masih melihat ia sebagai wabak biasa. Trump menjadi cemas apabila anggaran pakar perubatan dan penyakit berjangkit dari Hospital John Hopkins meramalkan ia boleh mengakibatkan kematian kepada jutaan rakyat dan dijangkiti kepada puluhan juta orang di Amerika Syarikat sahaja.

Usaha Trump untuk menggalakkan rakyatnya melakukan penjarakan sosial ditentang oleh beberapa orang tokoh politik lainnya, termasuk Datuk Bandar New York. Jika New York dikenakan perintah larangan keluar rumah, ekonominya akan terencat manakala rakyat Amerika Syarikat akan berontak kerana mereka tidak dapat bekerja.

Perkara yang sama berlaku di Malaysia. Menerusi PKP, beberapa orang pemimpin politik mula mempersoalkan kewajarannya kerana sebahagian besar pekerja adalah pekerja harian. Apabila PKP dilaksanakan, mereka tidak dapat bekerja dan sekaligus tidak ada wang untuk membeli makanan. PKP juga akan menyebabkan banyak pihak menanggung kerugian besar, terutama yang berkaitan sektor pelancongan. Sektor pelancongan sebenarnya sudah terjejas sebelum PKP dilaksanakan kerana ratusan ribu tempahan hotel dibatalkan.

lucu 1

Senario itu melahirkan banyak peristiwa dan tragedi. Bagi keluarga yang kehilangan anggota keluarga akibat COVID-19, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan kerana mereka tidak dibenarkan menatap buat kali terakhir orang yang mereka sayangi. Mereka juga tidak berpeluang menyempurnakan upacara pengkebumian. Mereka yang boleh melihat dari jauh ataupun melakukan sembahyang jenazah secara ghaib. Mereka hanya mampu berdoa dan rakan-rakan hanya mampu mengucapkan ‘selamat jalan’ menerusi aplikasi media sosial. Semuanya menjadi begitu terhalang.

Dalam keadaan yang sukar itu, masih ramai dalam kalangan penduduk negara ini yang ‘tidak sayangkan nyawa’. Mereka sanggup menipu, hanya kerana tidak mahu terus berada dalam rumah kerana ‘emosi terperangkap’. Keadaan di rumah tidak kondusif, kerana persekitaran yang sempit atau banyak hobi di luar rumah terkunci. Ada yang menipu, sebab mereka keluar rumah ialah untuk mengambil angin, di rumah panas dan memerlukan ‘mandi pantai’. Ada berita kumpulan anak muda sanggup bermotosikal sejauh 40 kilometer hanya semata-mata untuk ‘mandi pantai’ (dari Kota Bahru ke Pantai Tok Bali).

lucu 2

Mulai semalam (8 April 2020) secara ‘on the spot’ mereka yang melanggar PKP akan dikenakan denda RM 1,000. Sebelumnya, mereka yang melanggar PKP, ditahan dan dituduh di mahkamah. Mereka yang mampu membayar denda berpeluang bebas pulang rumah manakala yang tidak mampu, terpaksa meringkok dalam penjara. Kapasiti penjara juga dikatakan bermasalah, dan ramai juga politikus mencadangkan agar mereka yang ditahan sebagai pesalah kecil dibebaskan lebih awal. Ia bagi membolehkan pesalah PKP yang gagal membayar denda menikmati suasana dalam penjara, yang lebih ‘terperangkap’ berbanding ‘duduk diam-diam di rumah.”

Dalam fasa kedua PKP (1 hingga 14 April 2020), selepas ‘emosi terperangkap’ selama 14 hari dalam fasa pertama (18 hingga 31 Mac 2020), banyak juga cerita dikongsikan menerusi media sosial. Ada yang betul, ada yang palsu. Lebih menjelekkan, semakin lama ‘emosi terperangkap’ semakin bertambah kenyataan palsu dan berita tidak benar ditular, bahkan ada yang tidak takut dengan hukuman yang ditetapkan.

lucu 3

Pada peringkat awal, ada yang menyebarkan visual kereta kebal mengawal kerana tempat tersebut sudah dikenakan perintah berkurung. Lebih melucukan ialah apabila apabila ada netizen menyebarkan keajaiban penawar tertentu untuk menghapuskan COVID-19. Ada yang memberikan formula menggunakan air rebusan daun atau pucuk semambu (neem), daun ketum (dilarang dibawah Akta Racun Merbahaya), serbuk zafran (sumec) dan sebagainya selain formula kontroversi Menteri Kesihatan mengenai pengambilan air masak yang masih panas.

Sejak kontroversi penawar ‘air panas’, Dr Adham Baba tidak lagi muncul memberikan kenyataan media dan tempatnya digantikan oleh Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. Sejak kemunculannya, Dr Noor Hisham bukan sahaja begitu professional mengendalikan pertanyaan pihak media, bahkan tenang berhadapan dengan wabak cemas itu. Beliau juga begitu versatail dalam menjawab kritikan-kritikan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu bagi mendeskreditkan peranan petugas pasukan hadapan dan Kementerian Kesihatan dalam menguruskan krisis COVID-19. Tidak kelihatan ‘permainan politik’ walaupun ada pihak cuba mempolitikkan krisis COVID-19.

doraemon

Seorang pakar perubatan swasta dari Pusat Perubatan KPJ Damansara cuba mengkritik langkah KKM menangani COVID-19, dan mengesyorkan agar Dr Noor Hisham meletakkan. Dr Noor Hisham dan pasukannya didakwa gagal menangani keperluan asas petugas hadapan dengan pakaian perlindungan peribadi (PPE) termasuk di hospital swasta. Akibatnya, semakin ramai petugas barisan hadapan positif COVID-19.

Jawapan Dr Noor Hisham lebih mudah difahami oleh orang awam. Petugas barisan hadapan positif COVID-19 bukan kerana menguruskan pesakit, 80 peratus adalah disebabkan faktor di luar hospital. Sebahagian petugas dijangkiti kerana pesakit tidak jujur, menyembunyikan sejarah kontaknya dengan mereka yang positif COVID-19. Kes yang berlaku di sebuah hospital di Sungai Petani adalah salah satu daripada ketidakjujuran itu. Doktor yang menyambut kelahiran bayi disahkan positif kerana ibu yang bersalin itu sembunyikan kontaknya dengan mereka yang dijangkiti COVID-19.

Di Filipina, sehingga 7 April 2020, dilaporkan seramai 21 orang doktor meninggal dunia kerana dijangkiti COVID-19 (Berita Harian, 8 April 2020). Di Indonesia, seramai 24 orang doktor meninggal sehingga 6 April 2020 (Sinar Harian, 7 April 2020). Seorang doktor dari Perlis merupakan mangsa pertama dalam kalangan doktor perubatan pada 22 Mac 2020. Doktor berkenaan dilaporkan dijangkiti COVID-19 selepas melakukan perjalanan ke Turki.

Jelasnya, sebahagian besar rakyat Malaysia berjaya melaksanakan PKP. Menurut laporan polis, kadar pematuhan telah meningkat sehingga 95 peratus dan ini bermakna, hanya kurang lima peratus sahaja rakyat Malaysia yang degil ataupun melanggar peraturan. Kumpulan kecil inilah yang sepatutnya dipersalahkan dan dikutuk kerana tidak sayangkan nyawa sendiri dan boleh menyebabkan orang lain ikut sama terancam.

tik tok

Dalam satu tinjauan pendapat, lebih ramai rakyat Malaysia menyokong PKP dilanjutkan selepas 14 April 2020 atas alasan, bilangan mereka yang positif masih lagi besar, iaitu lebih 100 orang setiap hari di seluruh negara. KKM turut mengenalpasti lebih banyak kluster yang dikaitkan dengan penularan COVID-19. Kluster Tabligh di Masjid Sri Petaling menjadi kluster terbesar diikuti Perjumpaan di sebuah gereja di Sarawak. Kini, kluster maahad tahfiz dan dari Itali menunjukkan peningkatan positif COVID-19.

Senario tersebut menggambarkan bahawa COVID-19 berpeluang menjangkiti sesiapa pun yang mengabaikan penjagaan kesihatan, kebersihan diri, mengawal pergerakan dan tidak peduli dengan peraturan PKP.

Dalam ketakutan itu, muncul lelucon yang menarik di sepanjang PKP. Ada suami yang tidak pernah tahu membeli barangan keperluan dapur, mula belajar mengenali jenis-jenis bahan mentah (ikan, bawang dan sayuran-sayuran) kerana hanya ketua keluarga dibenarkan keluar rumah bagi mendapatkan keperluan harian. Ada juga suami mula belajar ‘masuk dapur’ kerana isteri dilaporkan keletihan menyediakan juadah dari pagi hingga malam. Kalau dahulu,  suami hanya mahir ‘masak maggie’, sepanjang PKP ini ada suami yang sudah boleh goring pisang, goring mee ataupun masak nasi tomato atau nasi lemak.

Roti jenama Gardenia menjadi barang ‘rare’ kerana setiap pagi ada yang mengintai ketibaan lori tersebut. Lebih menarik ialah dalam kesukaran memperoleh roti Gardenia, harganya tetap sama sebelum PKP dilaksanakan ia berbeza dengan beberapa barangan lain yang bukan kawalan. Antaranya harga bawang, bahan sanitasi, topeng muka dan buah-buahan.

Ketika memikirkan bagaimana untuk melepaskan tekanan akibat ‘emosi terperuk’, ada-ada sahaja hiburan muncul dalam aplikasi media sosial. Ada orang dewasa ‘kepuasan’ meloncat-loncat berada di atas permainan kanak-kanak seperti gian kerana zaman kecilnya permainan tersebut belum ada. Ada juga mereka yang gian, memecut motosikal dalam rumah sehingga terlupa kawasannya adalah begitu terhad, bukannya medan rempit pada malam minggu sebelum PKP dikuatkuasakan.

Bermacam ragam, suami memaki baju ‘kelelawar’ isteri. Nasib baik itu hanyalah ‘baju kelelawar’ bukannya kelelawar sebenar yang dikatakan punca merebaknya wabak COVID-19. Jika ‘baju kelelawar’ itu boleh menjadi sebab jangkitan, selepas wabak COVID-19 berakhir, usahawan ‘baju kelelawar’ terpaksa memikirakan fesyen yang lain, kerana ia akan disinonimkan dengan COVID-19.

COVID-19 juga diandaikan bakal memberi kesan kepada kelahiran baharu pada awal tahun depan meskipun ketika musim cuti sekolah Mac lalu, majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan. Pasangan yang masih lagi berupaya melahirkan zuriat dikatakan menjadi aktif ketika PKP kerana mereka sentiasa berada di rumah, bah lirik sebuah lagu rakyat Indonesia, Bangun…tidur, tidur lagi. Tidur, tidur lagi….bangun dan tidur lagi. Di antaranya ada kesempatan untuk memenuhi keperluan naluri.

Meskipun ASTRO memberikan perkhidmatan siaran percuma sepanjang PKP, ia tetap menjemukan kerana tayangannya membosankan berulang-ulang. Sebab itulah ramai juga yang ghairah mempamerkan hasil masakan mereka, sehingga kadangkala terlupa bahawa ada sebahagian daripada rakyat Malaysia terpaksa mencatu makanan. Bantuan lambat sampai, ataupun mereka sudah kehabisan wang untuk berbelanja kerana sudah tiga minggu tidak dapat bekerja, memperoleh wang.

Bila Bantuan Prihatin Nasional mula disalurkan (6 April 2020), ada sedikit kesesakan di mesin ATM untuk mengeluarkan wang. Wang dikeluarkan bagi membeli makanan, kerana PKP fasa kedua masih berbaki lagi beberapa hari. Orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan turut turun ke gelanggang untuk menyampaikan bantuan, tetapi, agak menyedihkan apabila kedengaran politikus terlucut kuasa mempersoalkan langkah kerajaan membantu rakyat dalam kesusahan dan kesukaran.

Bukanlah  seruan isteri dengan meniru suara Doraemon untu36798_45260k melayan suami sepanjang PKP diperlukan, tetapi cadangan-cadangan luar biasa politikus terlucut kuasa yang patut diberikan. Sebelum ini, mereka tidak banyak melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, hanya asyik bertelagah sesama sendiri untuk dilihat ‘kuat dan perkasa’. Mereka inilah yang sedang meracuni rakyat dengan menyuntik virus-virus yang menyakitkan emosi tanpa menyumbang secara langsung (turun padang membantu) umpama Batman datang menyelamatkan orang ramai dan memotivasikan pemikiran agar mampu bertahan dalam ‘emosi terperuk’ ini.

Kamarun KH

 

 

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply