SUASANA MASYARAKAT ARAB JAHILIAH

Setelah membicarakan mengenai politik di Tanah Arab dan agama-agamanya, masih ada yang perlu dibincangkan, iaitu mengenai keadaan sosial, ekonomi dan akhlak masyarakatnya yang secara ringkas dapat dihuraikan seperti berikut:

Keadaan Sosial

Dalam kalangan orang Arab terdapat berbagai-bagai hubungan sosial yang berbeza-beza antara satu sama lain. Hubungan seorang lelaki dengan isterinya dalam kalangan orang bangsawan boleh dikatakan berada pada tahap yang maju di mana seorang wanita itu mempunyai kebebasan untuk melaksanakan kehendaknya dan menyuarakan pandangannya. Wanita dalam kalangan bangsawan dihormati dan dipelihara, sehinggakan masyarakat sanggup menghunus pedang dan menumpahkan darah demi kehormatan wanita tersebut.

Seorang lelaki, apabila hendak mengungkapkan puji-pujian yang dapat menaikkan kedudukannya dalam kalangan orang Arab sebagai orang yang pemurah dan berani, maka kebanyakan masanya dihabiskan untuk berbicara mengenai wanita. Ada kalanya jika mahu, seorang wanita boleh mengumpulkan beberapa kabilah untuk berdamai. Dan jika mahu, dia boleh menyalakan api perbalahan sehingga mencetuskan peperangan dalam kalangan mereka. Walaupun begitu, golongan lelaki tetap dianggap sebagai ketua keluarga dan pembuat keputusan ke atas orang perempuan. Hubungan seorang lelaki dengan wanita melalui ikatan perkahwinan dikendalikan oleh wali wanita; wanita tidak berhak menentukan pilihannya sendiri.

Sedang golongan bangsawan menjalani corak sosial begini, berbeza pula keadaannya dengan orang Arab dari status sosial lainnya yang menjalani ragam percampuran antara lelaki dan wanita yang dapat dikaitkan dengan pelacuran, lucah, perbuatan zina dan kekejian. Abu Daud meriwayatkan daripada Aisyah r.ha bahawa perkahwinan semasa jahiliah terbahagi kepada empat cara. Salah satu dari cara itu ialah perkahwinan seperti yang diamalkan masa kini, iaitu seorang lelaki menghantar utusan peminangan kepada wali wanita. Setelah dipersetujui peminangan tersebut, maka mereka pun berkahwin. Pernikahan cara yang lain ialah, seorang suami berkata kepada isterinya yang telah suci daripada haid, “Pergilah kepada lelaki sekian dan bergaullah (bersetubuh) dengannya.” Si suami akan menjauhi diri dari isterinya tanpa menyentuhnya selagi isterinya belum hamil melalui hubungan dengan lelaki lain itu. Apabila ternyata bahawa isterinya telah hamil, barulah dia menggauli isterinya semula jika dia mahu. Tujuan dilakukan demikian ialah untuk mendapatkan zuriat yang baik. Perkahwinan cara ini dinamakan perkahwinan istibda.

Satu cara yang lain pula ialah, sekumpulan lelaki yang tidak melebihi sepuluh orang berkumpul dan menyetubuhi seorang wanita. Semua mereka tanpa terkecuali menyetubuhi wanita itu. Apabila wanita itu hamil dan melahirkan anak, maka dihantarnya utusan kepada lelaki-lelaki tadi. Tidak seorang pun lelaki itu yang berupaya mengelak diri melainkan semuanya terpaksa datang berkumpul di sisi wanita itu. Kemudian wanita itu akan berkata kepada mereka, “Kamu semua tahu apa yang kamu lakukan dan sekarang aku telah melahirkan anak. Anak ini ialah anak kamu, hai si polan.” Lalu wanita itu akan menamakan salah seorang lelaki yang disukai dalam kalangan lelaki tersebut, dan anak itupun dinasabkan kepada lelaki itu.

Cara perkahwinan yang seterusnya ialah ramai lelaki datang untuk menyetubuhi seorang wanita. Wanita itu tidak menghalang siapa sahaja lelaki yang datang kepadanya. Wanita ini ialah wanita-wanita pelacur. Mereka memasang bendera di pintu rumah sebagai tanda kepada siapa yang mahu menyetubuhi mereka. Apabila wanita itu hamil dan melahirkan anak, maka semua lelaki itu akan berkumpul di sisinya lalu diajaklah mereka melihat keirasan anak tersebut. Setelah itu, wanita tersebut akan menasabkan anak itu kepada lelaki yang seiras wajahnya dan anak itu dipanggil sebagai anaknya. Lelaki yang ditentukan itu tidak akan membantah keputusan yang dibuat. Apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW, Baginda SAW telah menghapuskan kesemua bentuk perkahwinan masyarakat jahiliah melainkan cara perkahwinan yang serupa dengan cara perkahwinan Islam hari ini.

Orang Arab juga turut menyertakan golongan lelaki dan wanita dalam peperangan mereka. Pihak yang menang dalam peperangan antara kabilah itu akan menawan wanita-wanita pihak yang kalah, dan wanita-wanita itu dihalalkan kepada mereka. Akan tetapi anak-anak yang lahir daripada wanita itu akan mendapat keaiban sepanjang hidupnya.

Amalan poligami merupakan amalan yang terkenal dalam kalangan masyarakat jahiliah. Seorang lelaki boleh berpoligami dengan seberapa ramai isteri tanpa had. Mereka mengahwini antara dua beradik wanita dalam masa yang sama. Mereka juga mengahwini bekas isteri bapa mereka apabila diceraikan atau apabila bapa mereka mati. Bilangan talak pula tidak mempunyai had yang tertentu. Dalam hal ini, Allah berfirman:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan wanita-wanita) yang telah dinikahi oleh bapa kamu, kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).”

(Al-Nisa’: 22)

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu dan saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibu kamu, anak-anak perempuan saudara kamu yang lelaki, anak-anak perempuan saudara kamu yang perempuan, ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara perempuan susuan kamu, ibu-ibu isteri kamu, anak-anak tiri perempuan yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang telah kamu campuri, tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tidaklah salah kamu (berkahwin dengannya). (Haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu; dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk  menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.”

(Al-Nisa’: 23)

Zina merupakan perbuatan yang berleluasa di segenap pelosok. Kita tidak dapat mengaitkan perzinaan ini dengan satu kabilah tanpa melibatkan kabilah yang lain atau dengan satu golongan tanpa golongan yang lain. Namun begitu, masih terdapat beberapa individu dalam kalangan lelaki dan wanita yang menjaga kehormatan mereka dan enggan terjebak dalam perbuatan hina ini. Orang yang merdeka lebih baik keadaannya daripada golongan hamba. Kebanyakan yang terlibat dalam perzinaan ini ialah golongan wanita hamba sahaya. Apa yang nyata, kebanyakan masyarakat jahiliah tidak menganggap perbuatan zina ini sebagai suatu yang memalukan.

Abu Daud meriwayatkan daripada Amru bin Shuayb daripada bapanya daripada datuknya sebagai berkata, “Seorang lelaki bangun lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya si polan itu adalah hasil perzinaanku dengan seorang hamba semasa jahiliah. Lalu, Rasulullah SAW bersabda, ‘Tiada pengakuan anak dalam Islam, urusan jahiliah telah berlalu. Anak itu adalah untuk pemilik tilam (suami yang sah), dan untuk penzina terhalang.” Berkaitan ini juga terdapat kisah yang terkenal iaitu perbalahan antara Saad bin Abi Waqqas dan Abd bin Zamah berkaitan anak hamba wanita Zamah, iaitu Abdul Rahman bin Zamah.

Hubungan seorang lelaki dengan anak-anaknya pula beraneka bentuk. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan:

“Sesungguhnya anak-anak kita di kalangan kita adalah jantung hati kita yang berjalan di atas bumi.”

Ada daripada kalangan mereka yang menanam anak perempuan hidup-hidup kerana bimbangkan keaiban dan kesukaran membiayai anak-anak itu. Ada yang membunuh anak-anak mereka kerana takutkan kefakiran, seperti yang disebut di dalam al-Quran:

Maksudnya: “Katakanlah, ‘Marilah aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, hendaklah (kamu) berbuat baik kepada ibu bapa, janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kepapaan. (Sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. Janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan keji (zina) – sama ada yang terang mahupun yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa (orang) yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu memahaminya.

(Al-An’am: 151)

Maksudnya: “Apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam), dalam keadaan menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memelihara anak dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ingatlah! Sungguh jahat apa yang mereka putuskan itu.”

(Al-Nahl: 58&59)

Maksudnya: “Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

(Al-Isra’: 31)

Maksudnya: “Dan apabila bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya.”

(Al-Takwir: 8)

Walaupun begitu, tidak boleh dianggap bahawa amalan keji ini merupakan akhlak yang meluas dalam kalangan masyarakat ini. Cuma, mereka merupakan masyarakat yang sangat berhajat kepada anak lelaki untuk melindungi mereka daripada musuh.

Hubungan seseorang dengan saudaranya atau dengan anak saudaranya serta kaum kerabatnya adalah hubungan yang sangat kuat. Mereka adalah bangsa yang hidup berpegang kuat kepada semangat kesukuan dan sanggup mati kerananya. Semangat kesatuan begitu menebal dalam kalangan kabilah, ditambah dengan sikap perkauman. Asas sistem kemasyrakatan mereka ialah perkauman yang berdasarkan bangsa dan keluarga. Mereka berpegang kepada prinsip, ‘Bantulah saudaramu sama ada dia zalim atau dizalimi’ mengikut makna hakiki tanpa mengubah maksudnya sebagaimana yang diperkenalkan oleh Islam; di dalam Islam, membantu orang yang zalim bermakna menghalang dia daripada melakukan kezaliman. Walaupun begitu, perbalahan untuk merebut kedudukan dan jawatan ketua kerap menyebabkan peperangan sesama kabilah yang berasal dari satu bapa – seperti yang berlaku antara kabilah Aus dan Khazraj, Abas dan Dhibyan serta Taghlib, dan selainnya.

Hubungan antara kabilah dengan kabilah yang berlainan pula tidak terjalin sama sekali. Kabilah-kabilah yang kuat sering terlibat dalam peperangan. Akan tetapi kebimbangan terhadap sesetengah adat tradisi yang bercampur antara agama dengan khurafat ada kalanya meredakan perbalahan antara kabilah-kabilah ini. Dalam sesetengah keadaan, kabilah-kabilah yang berlainan turut memberi perlindungan, kerjasama dan naungan sesama mereka. Bulan-bulan Haram merupakan satu rahmat dan pertolongan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dan mendapat sumber pencarian.

Sebagai kesimpulan, keadaan sosial masyarakat Arab berada pada taraf yang sangat rendah. Mereka diselubungi oleh kejahilan dan kepercayaan-kepercayaan khurafat. Manusia hidup bagaikan binatang ternak. Kadangkala wanita diperdagang bagaikan barangan yang kaku. Hubungan dengan hamba wanita mengikut sekehendak mereka sahaja. Bangsa-bangsa Arab yang mempunyai kerajaan pula, perhatian dan penumpuannya hanya untuk memenuhkan kekayaan dengan memeras keringat jelatanya atau melancarkan serangan ke atas penentang-penentang mereka.

Keadaan Ekonomi

Keadaan ekonomi orang Arab adalah dipengaruhi oleh keadaan sosialnya. Kenyataan ini adalah jelas kebenarannya apabila dilihat kepada sumber kehidupan orang Arab. Perniagaan merupakan cara utama memenuhi keperluan hidup. Pengembaraan untuk berniaga bukanlah suatu perkara yang mudah jika tiada keamanan dan kesejahteraan. Faktor ini yang tidak wujud di Semenanjung Tanah Arab kecuali dalam bulan-bulan Haram. Bulan-bulan Haram adalah masanya untuk pasar-pasar Arab yang terkenal beroperasi, contohnya Pasar Ukaz, Dhi al-Majaz, Majannah dan lain-lainnya.

Orang Arab adalah bangsa yang terkebelakang dalam lapangan perindustrian. Kebanyakan perindustrian yang diceburi oleh orang Arab seperti tenunan, memproses kulit dan selainnya adalah dikuasai oleh orang Arab Yaman dan Hirah, serta penduduk kampung-kampung di Syam. Benar, di Semenanjung Arab telah wujud aktiviti perladangan dan penternakan, sementara kebanyakan wanitanya terlibat dalam industri tenunan. Namun, produk yang dihasilkan itu kebanyakannya disediakan untuk tujuan peperangan. Kerana itu, kefakiran, kelaparan dan kekurangan pakaian menjadi masalah umum dalam masyarakat Arab.

 

Akhlak

Kita tidak menolak bahawa masyarakat jahiliah mempunyai tabiat yang buruk dan amalan yang tidak boleh diterima oleh akal yang sejahtera dan perasaan yang sihat. Namun begitu, mereka juga memiliki akhlak yang mulia dan terpuji sehingga menimbulkan rasa kagum dan takjub dalam kalangan bangsa yang lain. Antara nilai akhlak yang mulia ini adalah:

Pemurah: Masyarakat Arab jahiliah sering berlumba-lumba mempamerkan sifat pemurah, dan mereka merasa megah dengan sifat ini. Separuh dari syair yang dikarang oleh mereka memuatkan puji-pujian mengenai sifat pemurah dan sifat-sifat lain. Ada seorang lelaki yang didatangi tetamu pada waktu yang teramat sejuk dan dia sendiri diselubungi kelaparan. Lelaki itu tidak memiliki sebarang harta kecuali seekor unta yang merupakan sumber kehidupannya dan keluarganya. Namun, didorong oleh sifat pemurah, lelaki itu sanggup menyembelih untanya demi menjamu tetamunya itu.

Contoh lain sifat pemurah bangsa ini ialah kesanggupan mereka untuk sama-sama memikul bayaran diat dan tanggungan-tanggungan yang berat demi mengelakkan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Akhlak ini mendapat pujian dalam kalangan mereka, dan mereka berbangga dengan ketua-ketua mereka atas kesanggupan menjalankan tanggungjawab ini.

Contoh kesan dari sifat pemurah ini ialah mereka merasa terpuji dengan meminum arak. Ini bukan kerana mereka berbangga dengan minuman arak itu tetapi sebaliknya arak adalah jalan untuk mereka mendapatkan sifat pemurah itu, dan ia adalah cara mudah untuk seseorang itu berkorban diri. Disebabkan itu, mereka menamakan pokok anggur dengan panggilan al-karm (mulia, pemurah), sementara arak dinamakan bintu al-karm (anak kemuliaan, kemurahan). Apabila dilihat pada dewan syair-syair jahiliah, akan didapati satu bab yang memuatkan syair pujian dan kemegahan tersebut. Antara lain, disebut oleh Antarah bin Syadah al-Absiy:

Telah kuminum tegukan arak dengan piala yang berkilau

Setelah hari yang terik berlalu pergi

Dalam gelas kaca kekuningan lambang kekeluargaan

Lantas memukau dengan gemilang cereknya

Bila kuminum hanya harta yang kuhabiskan

Sedang kehormatanku tetap utuh tidak menyumbing

Bila kusedar maka tidak kuabaikan kemurahanku

Penuh sedar tentang kebaikan dan kemuliaanku

Sifat pemurah itu juga memberi kesan kepada penglibatan mereka dalam perjudian. Mereka berpendapat bahawa judi merupakan satu cara untuk memperolehi sifat pemurah. Ini kerana mereka memberi makan orang miskin dari hasil keuntungan judi atau dari lebihan yang disumbangkan oleh mereka yang menang judi. Kerana itulah al-Quran tidak menolak bahawa arak dan judi ada manfaatnya, namun al-Quran menyebut:

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah, ‘Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu, ‘Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?’ Katakanlah, ‘Dermakanlah apa-apa yang berlebih dari keperluan (kamu).’ Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.”

(Al-Baqarah: 219)

Menunaikan janji: Bagi orang Arab, perjanjian adalah seperti agama yang perlu dipegang kemas. Demi mengotakan janji, mereka sanggup meremehkan hal pembunuhan anak-pinak dan pemusnahan kampung halaman mereka. Untuk lebih memahami perkara ini, memadailah dengan menyoroti kisah-kisah Hani bin Maud al-Shaybani, Samual bin Adiya dan Hajib bin Zurarah al-Tamimiy.

Berbangga dengan diri dan tidak sanggup dihina serta dizalimi: Sikap ini menimbulkan keberanian dan kecemburuan yang berlebihan serta sikap yang terlalu agresif. Mereka pantang mendengar sebarang tutur kata yang mengandungi bau penghinaan melainkan mereka akan segera menghunus pedang serta tombak, dan tampil untuk berperang. Demi menjaga kemuliaan diri, mereka sangggup mengorbankan jiwa mereka.

Tekad dan keazaman yang kuat: Apabila mereka berazam melakukan sesuatu yang mulia dan dapat dibanggakan pada pandangan mereka, maka tidak ada yang boleh menghalang keazaman itu, malah mereka sanggup mengambil risiko demi melaksanakan keazaman tersebut.

Kesabaran: Mereka merasa senang dengan sikap menahan sabar ini, akan tetapi sikap ini banyak dibayangi oleh tabiat mereka yang suka membangga diri, terlalu berani dan cepat menyahut panggilan untuk berperang.

Nilai murni kehidupan Badwi: Cara hidup mereka tidak tercemar dengan pencemaran-pencemaran akibat perubahan tamadun dan jerangkap-jerangkapnya. Disebabkan terlalu kuat berpegang kepada cara kekampungan Badwi ini, maka lahirlah sifat benar, amanah, tidak suka menipu dan membelot dalam kalangan bangsa ini.

Dengan akhlak-akhlak yang positif ini – di samping kedudukan geografi Tanah Arab berbanding negara-negara lain – dapat disimpulkan mengapa bangsa ini terpilih untuk memikul amanah membawa risalah yang universal ini, dan memimpin umat serta masyarakat manusia keseluruhannya. Ini kerana, walaupun akhlak mereka sebahagiannya menjurus kepada kejahatan dan menimbulkan insiden yang menyakitkan, akan tetapi akhlak mereka itu sendiri dapat mendatangkan manfaat kepada masyarakat manusia jika disertakan dengan perubahan. Maka, inilah yang dilakukan dengan kedatangan Islam.

Boleh jadi akhlak paling berharga dan paling agung yang mereka miliki selepas berpegang kepada janji ialah merasa megah dengan diri sendiri dan bersungguh-sungguh melaksanakan azam. Ini kerana, adalah tidak mungkin dapat dibendung kejahatan dan kerosakan, serta tidak mungkin ditegakkan sistem yang adil dan baik melainkan dengan daya yang perkasa serta keazaman yang kental begini.

Selain nilai akhlak yang disebutkan di sini, mereka juga turut memiliki akhlak mulia yang lain, namun, penulis tidak bermaksud untuk menghuraikan secara panjang lebar berkaitan perkara tersebut.

No Comments

    Leave a reply