Sudah tiba masa negara Islam suarakan bantahan kepada China

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak supaya negara Islam tidak lagi mendiamkan diri terhadap penderitaan umat Islam terutamanya etnik Uyghur di China.

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan beliau.

Malah katanya, berita bergambar yang menunjukkan penyiksaan sangat brutal dan tidak berperikemanusiaan terhadap etnik Uyghur Muslim di China tidak lagi boleh dibiarkan.

“Mapim kesal negara-negara Islam masih lagi mengutamakan hubungan perdagangan lebih dari membela nasib umat Islam yang dizalimi di China.

“Semua pemimpin negara Islam diingatkan bahawa tuntutan membela saudara Islam yang ditindas adalah kewajiban setiap individu, bahkan tuntutan ini lebih berat dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin negara Islam.

“Kami menolak hagemoni negara barat terutamanya Amerika Syarikat ke atas China, namun kami tidak dapat menerima sikap pasif pemimpin-pemimpin Islam terhadap nasib etnik Uyghur di China,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, berita kerajaan China kini mengarahkan pelbagai tindakan menyekat amalan agama Islam dalam kalangan rakyatnya mesti dikecam.

“Proses ‘pengchinaan Islam’ iaitu menukar amalan Islam sesuai dengan budaya China termasuk larangan berpuasa, mengguna papan tanda Halal, solat di masjid, berjubah, bertudung, berjanggut, mengajar agama kepada anak-anak Islam mesti dibantah oleh setiap pemimpin Islam.

“Ini merupakan usaha untuk melenyapkan identiti Islam dalam kalangan umat Islam di China.

“Tindakan kerajaan China yang secara brutal melancarkan program kononnya ‘de-radikalisasi’ ke atas lebih sejuta warga Uyghur di puluhan kem tahanan di Xinjiang dilaporkan sangat kejam,” ujarnya.

Beliau juga berkata, memaksa makan daging babi, minum arak, menuai organ dari tubuh badan mangsa tahanan, memaksa mengisytiharkan keluar Islam, kahwin paksa gadis Uyghur dengan lelaki komunis dan menyiksa mereka dengan sangat zalim kerana tidak memberi maklumat yang dikehendaki, merupakan antara kengerian testimoni yang disampaikan oleh ramai mangsa kezaliman China yang telah dapat melarikan diri.

Sehubungan itu tambah Mohd Azmi lagi, negara-negara Islam adalah didesak supaya bersatu menyatakan bantahan secara terang-terangan kepada China atas isu Uyghur khususnya dan kedudukan umat Islam di China secara amnya.

Tegasnya, Mapim tidak boleh menerima alasan negara-negara Islam bahawa menjaga hubungan diplomatik dan perdagangan dengan China perlu diutamakan dan dengan ini menyebabkan nasib umat Islam di China diketepikan.

Oleh MOHD ALI HASHIM

Sumber : malaysiadateline.com

No Comments

    Leave a reply