Saya yakin, banyak orang boleh berbagi momen indah mereka bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Melayari jejaring teknologi sebaik kemangkatan Almarhum diumumkan pada Rabu, 22 Mei 2019, ramai sekali yang berbagi duka.

Tanyalah kepada mereka dalam kalangan orang kaya dan berkedudukan tinggi hingga­lah kepada rakyat jelata, masing-masing pasti pernah merajut kenangan dalam kisah yang hampir sempurna bersama Almarhum. Bertemu dengan figura seorang Raja yang disirami pujian ini sudah tentunya menjadi keinginan semua termasuk diri saya; rakyat marhaen yang sangat kerdil.

Sungguh! Ada euforia tersendiri bagi diri seseorang saat bertemu secara langsung dengan Almarhum yang memiliki sahsiah dan indahnya peribadi.Pertemuan pertama saya dengan Almarhum Tuanku berlangsung pada awal tahun 2003 sewaktu membuat liputan keberangkatan Almarhum ke Pulau Tioman, Pahang selepas ia diiktiraf sebagai Pulau Bebas Cukai.

Pada sidang media usai lawatan, Almarhum meminta para wartawan memperkenalkan diri sebelum mengajukan soalan.

Masih segar dalam ingatan, selepas memperkenalkan diri, dalam nada tegas Almarhum bertitah; ‘’Kamu Ketua Biro Utusan Malaysia Pahang yang baru dilantik kan? Kamu yang tulis rencana mengenai penduduk Tioman yang tidak setuju dengan pembangunan pulau ini. Betul?”

Saya yang tersentak dan terkejut hanya mampu meng­an­gkat sembah. Bisik sahabat media saya, Datuk Nik Naizi dari akhbar The Star dan Mohd. Rasol Mat Seman dari RTM, dari reaksi mungkin Almarhum murka dengan tulisan saya yang disiarkan sebelum ini. Hati saya ketika itu bersarang perasaan takut dan cemas dan beberapa hari kemudian, saya dititah untuk menghadap Almarhum di Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Pekan.

Sepanjang perjalanan penuh debaran dari Peja­bat Utusan Malaysia di Jalan Bukit Ubi Kuantan menuju Bandar Diraja, saya berkata kepada diri sendiri; Bersedialahlah kalau ditukarkan dan diarah balik semula ke Ibu Pejabat Utusan. Pada kesempatan yang sangat berharga itu, saya jelaskan kepada Almarhum tentang artikel saya tentang Pulau Tioman.

Pada hari yang bersejarah itulah, saya mula melihat bagaimana sosok seorang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang sangat ikhlas, sederhana tetapi telah mencipta maha karya rasa cinta yang begitu kental, begitu hangat dan begitu tulus kepada rakyat di negeri jajahan. Almarhum menunjukkan reaksi mahu tahu dengan lebih dekat segala yang berlaku di luar tembok istana.

Sungguh! Hingga ke hujung nyawa, saya tidak akan pernah lupa titah dan nasihat Almarhum kepada saya; “Ingat, yang harus ada pada seorang wartawan selain perlu berpengetahuan luas adalah ‘ilmu jiwa kemanusiaan`. Kalau kamu pegang azimat itu, kamu akan pergi lebih jauh lagi selepas ini.’’

Daulat seorang raja! Pada Mac 2008, saya ditawarkan jawatan sebagai Setiausaha Akhbar Kepada Menteri oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan ketika itu dan baginda adalah insan pertama tempat dirujuk.

Pada awal jelas nampak di pelupuk mata Almarhum, tidak setuju saya meninggalkan akhbar keramat Utusan Malaysia dengan titah; “Kenapa kamu mahu berhenti? Kamu antara pengarang wanita kanan di Utusan Malaysia. Patutnya kamu bangga.’’

Setahun kemudian, adinda Almarhum, Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar memaklumkan bahawa Almarhum berkenan mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ kepada saya.

Bebe­rapa minggu sebelum istiadat berlang­sung, saya meng­­ha­­dap Almarhum di ibu negara. Saya menyem­bah rasa menjunjung kasih di atas segala kurniaan. Saya luah kepada Almarhum; “Tuanku, patik ini orang biasa-biasa. Anak seorang pemandu teksi sahaja. Patik bukan siapa-siapa!’’

Demikian dua jiwa meng­ung­­kap kisah – Almarhum dari istana, saya insan marhaen dari kalangan rakyat jelata. Namun, sifat kasih dan sayang, adil serta bijaksana Almarhum berupaya membuatkan ‘siapa-siapa sahaja yang merasakan dirinya biasa-biasa, menjadi istimewa’.

Mengenang segala liputan media yang pernah saya buat untuk Almarhum merupakan antara takdir Allah yang paling indah dalam hidup saya. Almarhum bagi saya seorang raja yang penuh karisma dan pesona!

Semoga Allah SWT mencu­curi rahmat dan maghfirah ke atas roh Almarhum dan menem­­patkan Almarhum di syurga. Almarhum umpama pur­na­ma gemilang, tempat rak­yat dan saya pernah me­numpang cahaya dan terang.