SYAITAN POLITIK BOLEHKAH TERHAPUS DI BULAN RAMADHAN ?

BULAN Ramadan, bulan mulia, barakah, rahmat dan menjadi landasan perubahan bagi Muslim untuk mewujudkan diri sebagai insan kamil serta menjauhkan manusia daripada malapetaka. Namun hakikatnya kerakusan manusia tidak pernah terhenti padahal syaitan hakikatnya telah dirantai dan tidak berupaya untuk membujuk atau menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan sepanjang bulan Ramadan?

Dendam politik harus dihentikan segera dan perpaduan ummah wajib diteguhkan tak kira aliran mana sekalipun.

Bulan Ramadan yang penuh rahmah dan kasih sayang ini tidak menjadikan mereka berdendam dan bertindak melulu keatas musuh politik dan jika ia berlaku amat bertentangan dengan ajaran murni Islam.

Semua ini merupakan angkara politik yang menjadikan kekuasaan sebagai matlamat utamanya. Meskipun syaitan telah dibelenggu, nafsu politik telah menewaskan tujuan utama Muslim berpuasa yang sepatutnya menjadi medan kepada manusia untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, menyemai nilai kasih sayang, menabur sedekah dan sebagainya.

Apatah lagi dalam suasana krisis kepimpinan yang berlaku dalam negara, syaitan politik tidak dibelenggu dan golongan ini sentiasa mencari ruang untuk mengungkapkan rasa marah, menghasut, menghina, buruk sangka dan sebagainya yang merupakan bentuk-bentuk perbuatan syaitan. Betapa rendahnya tahap puasa golongan ini dan dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak dapat meninggalkan perkataan kotor atau perbuatan kotor maka Allah tidak punya kepentingan apa-apa bahawa orang itu meninggalkan makan dan minum.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dengan kata lain, puasanya akan sia-sia. Dalam dunia politik hari ini banyak sekali kerosokan masyarakat akibat perbuatan serang dari belakang dan pengumpatan yang tak pernah reda mahupun pada bulan puasa ini. Sebagai seorang Muslim apa yang kita harapkan Ramadan ini, kita tidak dicemari oleh “syaitan-syaitan politik yang tak terbelenggu”. Ia juga satu kesempatan yang baik untuk kita merenung bagaimana kita menjaga diri dan membebaskan diri daripada penyakit seperti itu.

Sesungguhnya, amalan-amalan inilah watak syaitan sebenar yang bertopengkan manusia.

Oleh Mohd Shauki Majid

No Comments

    Leave a reply