SYAITAN POLITIK TIDAK DI BELENGGU DI BULAN PUASA

Hari ini 17 orang lagi terbunuh di Syria.Walaupun baru 2 hari Umat Islam merasai nikmat Ramadhan yang mulia ini kerakusan manusia tidak pernah terhenti padahal syaitan sendiri hakikatnya telah dirantai dan tidak berupaya untuk membujuk atau menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan sepanjang bulan Ramadan?

Lihatlah apa yang terjadi di belahan dunia Islam nun jauh di sana iaitu di Syiria dan Irak yang menyaksikan kumpulan militan IS seolah-olah tidak mengenal ‘masa berehat’ sekalipun di bulan suci ini dari bertindak ganas dan melampau.

Semua ini merupakan angkara politik yang menjadikan kekuasaan sebagai matlamat utamanya. Meskipun syaitan telah dibelenggu, nafsu politik telah menewaskan tujuan utama muslim berpuasa yang sepatutnya menjadi medan kepada manusia untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, menyemai nilai kasih sayang, menabur sedekah dan sebagainya.

Apatah lagi dalam konteks politik Malaysia suasana krisis kepimpinan yang berlaku dalam negara syaitan politik tidak dibelenggu  dan golongan ini sentiasa mencari ruang untuk mengungkapkan rasa marah,hasut menghasut,menghina,buruk sangka dan lain-lain sebagainya yang merupakan bentuk-bentuk perbuatan syaitan.Betapa rendahnya tahap puasa golongan ini dan dalam hal ini Nabi saw bersabda yang bermaksud:Barang siapa yang tidak dapat meninggalkan perkataan kotor atau perbuatan kotor maka Allah tidak punya kepentingan apa-apa bahawa orang itu meninggalkan makan dan minum(Hadis Riwayat Bukhari) Dengan kata lain,puasanya akan sia-sia.

Dalam dunia politik hari ini banyak sekali kerosokan masyarakat itu oleh back baiting(serang belakang)dan pengumpatan yang tak pernah reda mahupun dibulan puasa ini. Sebagai seorang muslim apa yang kita harapkan Ramadan yang mulia ini umat Islam tidak dicemari oleh”Syaitan-syaitan politik yang tak terbelenggu”.Ianya juga satu kesempatan yang baik untuk kita merenung bagaimana kita menjaga diri dan membebaskan diri dari penyakit-penyakit saperti itu.

Apatah lagi dengan menumpahkan darah manusia. Sesungguhnya, amalan-amalan ini lah watak syaitan sebenar yang bertopengkan manusia. Bukan lagi manusia yang bertopengkan syaitan.

Al-Quran menyeru supaya kesatuan manusia dijaga dan ia melarang melakukan pembunuhan dan keganasan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

Sesiapa yang membunuh seorang manusia bukan sebagai hukuman terhadap pembunuhan seseorang yang lain atau hukuman terhadap kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi, maka seolah-olahnya dia telah membunuh semua manusia; dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya – (Al-Quran surah al-Ma’idah ayat 32).

Dalam Islam, perang disyariatkan demi mempertahankan diri, kehormatan, harta, tanah air serta menghindarkan daripada kesulitan dan kesiksaan. Allah berfirman yang bermaksud:

Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan alasan yang benar; (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah.” Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya; dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan. Dan (ingatlah) Allah jualah kesudahan segala urusan. – (Surah al-Hajj: 39-41)

Perang bukanlah arena pelampiasan syahwat untuk membinasakan manusia, meskipun kita telah mencapai kemenangan. Namun ada batasnya yang ia harus berhenti, “kerana jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.” (Maksud surah al-Baqarah, akhir ayat 193).

Terorisme adalah suatu tindakan yang dilakukan untuk meraih tujuan yang tidak manusiawi dan buruk serta mengancam segala macam jenis keamanan, dan pelanggaran atas hak asasi yang ditegaskan oleh agama atau manusia.

Islam memandang segala bentuk penyerangan atas mereka sebagai kejahatan besar yang mesti dihukum seberat-beratnya seperti hukuman mati, penyaliban dan sebagainya. Islam menegakkan prinsip tanggungjawab personal dan memandang serangan berupa apa pun terhadap orang yang tidak berdosa sebagai kejahatan besar. Islam berorientasi pada perlindungan pada si lemah, si tertindas dan menyeru jihad untuk melindungi mereka.

Umat Islam diharuskan senantiasa membela orang tertindas hingga mereka mendapatkan hak-hak mereka. Imam Ali a.s memberi nasihat kepada kedua anak lelakinya: “Jadilah kamu penentang para penindas dan pelindung para tertindas.” Beliau juga berkata: “Bagiku orang yang rendah adalah mulia hingga aku memperoleh hak-hak untuk mereka, dan orang yang kuat adalah lemah hingga aku memperoleh hak-hak dari mereka.”

Mungkin kata-kata tersebut seiring dengan al-Quran surah Quraisy ayat 4 yang berbicara mengenai kurnia keamanan.Dan telah membuat mereka bebas dari rasa sakit merupakan bukti terkuat mengenai pentingnya keamanan dalam Islam.

Kemuliaan adalah umum kepada semua manusia, tidak kira keadaan etnik, bangsa, warna atau status sosial atau harta benda. Undang-undang Islam menganjurkan hak kehidupan kepada semua, menjamin keperibadian roh, tubuh dan anak-anak (keturunan), akal, kehormatan, harta dan agama. Hak untuk hidup dijamin dalam firman Allah:

Jangan bunuh jiwa yang Tuhan haramkan, melainkan dengan hak – (Surah Isra ayat 33).

Hukuman ditetapkan kerana melanggar peruntukan ini dalam firman Allah:

Wahai orang yang beriman, hukuman dituliskan kepadamu berhubung dengan bunuh. – (Surah al-Baqarah ayat 178).

Al-sunnah juga telah menetapkan belas kasihan ke atas semua makhluk sama ada manusia, binatang dan lain-lain.Sehubungan itu Rasulullah s.a.w. telah menceritakan mengenai seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh seekor kucing yang dikurungnya tanpa memberikan kucing itu makan atau minum. Wanita itu tidak juga melepaskan kucing kurungannya itu supaya dapat memakan binatang-binatang kecil lain yang berkeliaran di atas tanah. Baginda juga menceritakan tentang seorang wanita pelacur yang dimasukkan ke dalam syurga hanya disebabkan oleh perbuatannya yang memberikan air kepada seekor anjing yang haus yang tidak dapat mencapai air di dalam perigi. Baginda juga melarang perbuatan memaki hamun ayam jantan dengan sabda baginda yang bermaksud:

Janganlah kamu memaki ayam jantan, kerana ia menyedarkan manusia dari tidur untuk bersembahyang. Ini semua berkaitan dengan binatang.

Perkara di atas tidak terbatas kepada orang Islam sahaja bahkan meliputi orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi orang-orang Islam. Sehubungan itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang membunuh seseorang dari golongan zimmi, dia tidak akan mencium bau syurga.

Manakala dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah berfirman yang bermaksud:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu.

Ramai yang tertanya-tanya apakah jalan yang terbaik untuk menangani permasalahan golongan pelampau yang telah memburukkan nama agama Islam dan menyebarkan kebimbangan serta keganasan dan pertumpahan darah.

Kita perlu menyedari bahawa golongan pelampau ini berselindung di sebalik nama Islam. Mereka sentiasa mengemukakan idea yang jauh tersimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply