SYRIA PENTING BAGI UMAT ISLAM

NEGARA Syria sememangnya bersejarah bagi umat Islam. Di buminya itulah dahulu dinamakan Syam. Bagi anak-anak Islam di seluruh dunia yang mempelajari sirah Nabi, mereka pasti mengenal bumi Syam.

Sememangnya dari segi sempadan, negeri Syam ini tidaklah bertepatan dengan negara Syria moden. Wilayah Syam lebih luas daripada Syria. Ia meliputi juga Iraq, Lubnan, Palestin (termasuk Israel) dan Jordan hari ini.

Nabi Muhammad s.a.w seperti diketahui oleh anak-anak Muslim di seluruh dunia telah berniaga di Syam. Pada mulanya bersama bapa saudaranya, Abu Talib. Kemudian menjadi saudagar bagi pihak bakal isterinya, Saidatina Khadijah Khuwailid.

Semasa dalam perjalanannya dengan Abu Talib, Rasulullah s.a.w telah ditemui oleh seorang paderi dan ilmuwan Kristian bernama Buhaira yang mempunyai biara dan perpustakaan di pekan Bokhra di Syam.

Kini Bokhra berada dalam negara Syria dan reruntuhan biara Buhaira masih wujud walaupun tentunya perpustakaan dan kitab-kitab yang berada di dalamnya telah musnah. Sesungguhnya bumi Syam telah dan masih menjadi medan pertempuran.

Di situlah buat pertama kalinya, saudagar-saudagar Mekah diberitahu mengenai keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w yang disifatkan akan menjadi rasul akhir dan mungkin diperangi oleh pihak Yahudi.

Beliau memberi gambaran bahawa orang Yahudi yang juga menanti tokoh penyelamat mereka tidak akan dapat menerima rasul akhir yang bukan di kalangan mereka.

Malah Nabi Isa a.s yang berketurunan Yahudi idak diterima oleh mereka sebagai Masihi atau penyelamat. Malah mereka juga berusaha membunuh Nabi Isa a.s dengan mengkhianati baginda kepada penguasa Palestin ketika itu iaitu Rom. Ketika itu Rom menganut agama dewa-dewa Yunani.

Penentangan orang Yahudi menolak Nabi Isa a.s ketika itu adalah kerana baginda menolak agama yang diamalkan oleh mereka kerana telah menyeleweng hingga menjadi korup.

Ketika Nabi Muhammad membesar, orang Yahudi masih dijajah Rom, termasuklah bumi Syam. Tetapi Rom sudah menjadi Kristian dengan ibu kotanya berpindah ke Constantinople, kini Istanbul.

Constantinople ini menjadi Rom Timur, juga dikenali sebagai Byzantine  yang muncul sebagai sebuah kerajaan besar dan akhirnya menyumbang kepada penyelewengan dalam beragama untuk menjadi korup.

Dalam keadaan inilah sebilangan paderi beranggapan bahawa akan muncul nabi atau penyelamat umat manusia, khususnya kalangan Kristian.

Termasuk dalam golongan ini ialah Buhaira yang melihat Muhammad s.a.w ialah nabi yang ditunggu-tunggunya. Bagaimanapun arus perdana paderi Kristian menganggap pegangan Buhaira ini sebagai sesat.

Tetapi apabila pejuang-pejuang Islam dari Madinah dan menguasai Syam, baik Baitulmakdis mahupun Damsyek yang merupakan ibu wilayahnya, penduduk-penduduk Kristian dengan mudah meninggalkan agama mereka untuk memeluk Islam.

Gabenor pertama Damsyik ialah sahabat Nabi, Muawiyah. Selepas Saidina Ali meninggal dunia, Muawiyah menjadi khalifah dan baginda mewujudkan Khilafah Umayyah.

Kemunculannya yang membawa kepada pemindahan pusat kuasa Islam dari Madinah ke Damsyek adalah di atas pertembungan antara Bani Umayah dan Saidina Ali Abi Talib. Maka di sinilah kemudian muncul apa yang disebut sebagai mazhab Syiah dan Sunnah wal Jamaah.

Ia menyemai bibit pemberontakan dan akhirnya Bani Umayyah dikalahkan oleh Bani Abbas yang mendapat sokongan daripada golongan Syiah.

Ekoran daripada itu, Bani Umayyah berhijrah ke Andalusia dan menubuhkan kerajaan Islam yang gemilang di Cordova. Bani Abasiah memindahkan kota pemerintahannya dari Damsyik ke Baghdad. Ada ketika Khalifah-khalifah Abbasiah menganut mazhab Muktazilah. Pada waktu lain, mereka tetap sebagai Sunnah Wal Jamaah. Namun begitu mereka bertoleransi pada golongan Syiah.

Selepas Abbasiah, Syam dikuasai oleh Khilafah Uthmaniah. Sebelum Uthmaniah betul-betul berkuasa, tentera Salib ada menguasai beberapa bahagian kawasan Syam termasuk Baitulmakdis.

Beberapa bahagian yang dikuasai tentera Salib itu kemudian menjadi Lubnan apabila Perancis dan Britain menguasai Syam selepas kejatuhan Uthmaniah.

Perancis bertanggungjawab mewujudkan negara yang kini dikenali sebagai Syria. Tetapi mereka mengeluarkan Lubnan menjadi negara berasingan.

Gerakan kebangsaan Arab muncul di Syria dengan berasaskan fahaman Baathisme yang diasaskan oleh Michel Aflaq, seorang Kristian. Namun begitu, golongan Baathis yang memperoleh kuasa di Syria adalah seorang dari kalangan Alawiyah, suatu cabang fahaman dalam Syiah.

Ketika Perang Dingin, Syria berada di pihak Soviet Union dalam penentangannta terhadap Amerika Syarikat dan Israel. Syria menakluki Lubnan dan bekerjasama dengan Iran membantu Hizbullah yang merupakan kalangan Syiah dalam peperangannya menentang Israel.

Apabila Soviet tumbang, Rusia menggantikannya sebagai sekutu Syria. Tetapi Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia membuka jalan baru bagi Amerika Syarikat untuk bertapak di negara itu.

Maka di situ muncullah medan perang yang kompleks. Di satu lapis kelihatan ia merupakan medan pertempuran antara pejuang demokrasi menentang autokrasi.

Di pihak lain pula, ia medan bertempur antara Amerika dan musuh-musuhnya yang bersatu. Rusia, Iran dan Hizbullah bersama kerajaan Bashar Al-Assad menghalang Amerika, Israel dan sekutu-sekutunya.

Di lapisan lain pula, ia pertempuran antara mazhab. Syiah termasuk Alawiah menentang Sunnah Wal Jamaah yang di dalamnya terdapat Ikhwanul Muslimin disokong oleh Turki, Mesir dan Arab Saudi.

Pada sudut akar pula, rakyat Syria, tidak kira agama, mazhab dan fahaman politik menderita kerana kematian, kesakitan dan kemiskinan. Mereka merindukan keselamatan, keamanan dan kemajuan.

Oleh Zin Mahmud

No Comments

    Leave a reply