TABUNG HAJI DIKAGUMI JEMAAH LUAR

“MALAYSIA bagus sebab ada Tabung Haji.” Itulah yang dilafazkan oleh seorang jemaah haji dari Thailand apabila penulis memperkenalkan diri dari Malaysia.

Menurut jemaah haji tersebut, kewujudan Lembaga Tabung Haji yang menguruskan umat Islam menunaikan ibadah itu sangat mengagumkan dan sukar ditan­dingi oleh negara lain.

Malah kesediaan kerajaan Malaysia yang memberikan subsidi sebanyak RM8,910 bagi setiap jemaah haji juga turut mengagumkan beliau.

Sebenarnya itu bukanlah kali pertama penulis mendengar warga asing memuji Tabung Haji, malah sejak hari pertama lagi perkataan ‘Malaysia bagus’ sering sahaja diluahkan oleh warga Madinah apabila menyebut negara kita.

Jemaah haji Malaysia dilihat bertuah kerana dilayan dengan begitu istimewa oleh Tabung Haji dan kerajaan.

Oleh itu mereka sepatutnya berbangga kerana membawa bendera negara ke Mekah dan Madinah.

Sepanjang berada di sini sejak 28 Julai lalu, penulis dapat melihat sendiri bagaimana petugas-petugas Tabung Haji bertungkus-lumus membuat persiapan bagi menguruskan jemaah haji.

Mereka berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji yang mula tiba di Madinah sejak Khamis lalu.

Setiap aspek diambil kira bermula dari ketibaan jemaah hingga mereka pulang.

Atas sebab itulah umat Islam Malaysia perlu bersyukur terutamanya dari segi kesediaan kerajaan memberikan subsidi kepada jemaah haji.

Penulis diberitahu oleh jemaah haji dari negara jiran bagaimana mereka perlu membayar penuh kos menunaikan haji antara RM20,000 hingga RM30,000 sedangkan umat Islam Malaysia hanya perlu membayar RM9,980 berbanding kadar sebenar RM18,890.

Namun begitu penulis difahamkan ada dalam kalangan umat Islam di Malaysia masih bersungut mengatakan kadar itu masih mahal sedangkan mereka sepatutnya bersyukur dengan kadar yang ditetapkan oleh kerajaan setelah subsidi diberikan.

Justeru penulis mencadangkan kepada jemaah haji Malaysia berbual dengan jemaah haji dari negara lain supaya mereka dapat menceritakan kepada sanak saudara di tanah air bagaimana kagumnya rakyat asing terhadap Tabung Haji.

Zulkifli Bakar, Utusan Malaysia.

No Comments

    Leave a reply