Perkembangannya cukup memberangsangkan dari setahun ke setahun dan sehingga kini dianggarkan terdapat 1,000 pusat tahfiz di seluruh negara. Namun berdasarkan rekod, hanya 618 daripada jumlah itu yang berdaftar dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Selebihnya tidak berbuat demikian.

Begitu juga dengan JAIN yang kebanyakannya juga mempunyai pusat tahfiz sendiri. Bagi pusat tahfiz yang dimiliki oleh Jakim atau JAIN, tiada banyak masalah yang dihadapi kerana segala urusan seperti prasarana serta gaji tenaga pengajar diuruskan oleh pihak kerajaan.

Berbanding pusat tahfiz yang diuruskan oleh institusi swasta dan persendirian, terdapat kekangan terutama dari segi kewangan dan itu yang menyebabkan ada pusat-pusat tahfiz yang boleh dianggap daif dan perlu dibantu.

Penulis terpanggil untuk membincangkan isu ini kerana ada keperluan untuk pusat-pusat tahfiz yang seperti ini diberikan bantuan sewajarnya oleh kerajaan sedia ada seperti mana yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Sebagai contoh, kerajaan BN telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada GiatMara untuk membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang berdaftar selepas negara dikejutkan dengan insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hingga mengorbankan 23 nyawa (14 September 2017) dalam pembentangan Bajet 2018, Oktober tahun lalu.

Secara peribadi penulis yakin kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan usaha tersebut. Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dalam kenyataannya dalam media baru-baru ini telah menyatakan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu institusi tahfiz melalui satu peruntukan khas yang bakal diumumkan dalam Bajet 2019, 2 November ini.

Kenyataan itu bertujuan menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengumumkan sebarang peruntukan kepada institusi tahfiz dalam pembentangan bajet berkenaan.

Menurut Mujahid, apa yang disebut oleh Najib itu adalah tidak benar sama sekali dan kerajaan Pakatan Harapan akan tetap meneruskan langkah tersebut. Bahkan Mujahid seperti yang dipetik dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan selain diteruskan, peruntukan itu juga mungkin akan ditambah. Harap-harap diluluskan.

Apa pun penulis bersyukur dengan perkembangan itu. Yalah dalam situasi institusi tahfiz diserang kanan, kiri, depan dan belakang atas beberapa isu sehingga ada yang mahu institusi itu ditutup, masih ada menteri dalam kerajaan sekarang yang sedia mempertahankannya demi kelangsungan aliran pendidikan berkenaan. Tunggu sahajalah hari pembentangan bajet itu nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, penulis bersetuju dengan Mujahid iaitu keutamaan bantuan akan diberikan kepada pusat-pusat tahfiz berdaftar. Bagaimanapun tidak salah sekiranya, pihak menteri atau Jakim atau JAIN mengadakan pertemuan dengan pengurusan pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar dengan hasrat untuk membantu mereka.

Mungkin mereka kekurangan maklumat hingga menyebabkan pusat-pusat tahfiz tersebut gagal didaftarkan. Demi masa depan anak-anak tahfiz, penulis kira pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar itu perlu disantuni agar isu berkenaan keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar termasuk tenaga pengajarnya sentiasa terbela.

Ada seorang kenalan melontar pandangan, untuk menutupnya agak mustahil kerana tempat untuk anak-anak melanjutkan pengajian ke pusat tahfiz milik kerajaan dan yang berdaftar begitu terhad. Ada benarnya. Sehubungan itu kerajaan perlu berbuat sesuatu agar pusat-pusat tahfiz ini akhirnya boleh didaftarkan sekali gus memudahkan proses pengagihan bantuan.